Semoga kita dinaungi di bawah pimpinan ulamak
(Artikel saya ini terbit dalam ruangan "Menongkah Arus" Harakahdaily)
Bulan Ramadan ini sesungguhnya adalah bulan terbaik untuk bermuhasabah. Dalam keadaan berlapar dan berdahaga maka wajarlah kita bawa hati kita untuk mengkaji semula tindakan dan perbuatan kita selama ini apakah ianya telah memberikan manfaat dan faedah khasnya buat Islam ataupun kita rupa-rupanya selama ini berada dalam keadaan merugi dan membawa padah kepadanya.
Memang sukar untuk berterus terang walaupun terhadap diri sendiri, tetapi mudah-mudahan keberkatan Ramadan akan mencetuskan keikhlasan sehingga membawa kita untuk mudah berterus-terang dan meneropong diri tanpa prejudis.
Di bulan inilah kita perlu mencuri peluang untuk banyak membaca dan mengikuti kuliah dan program agama bagi memantapkan kefahaman agama kita disamping memperbanyakkan membaca al-Quran, bersolat sunat, beriktiqaf dan berdoa.
Ia laksana suatu persediaan bagi membolehkan kita mengharungi dengan jayanya bulan-bulan berikutnya di luar Ramadan nanti. Mengkoreksi diri setelah bermuhasabah adalah latihan paling mulia jika kita mampu melalui dan melaksanakannya.
Kalau sebelum ini kita berselisih pandangan, berlainan fikiran berhubung kaedah dan pendekatan, bercanggah fikiran, maka di bulan yang Allah perturunkan al Quran inilah sepatutnya kita bersedia membongkar kembali segala-galanya, serahkan penyelesaian kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w., berdasarkan firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dikalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalams esuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya" (an Nisaa: 59)
Dan siapakah jika tidak yang lebih baik untuk kita gantungkan penyelesaian tadi selain mereka yang ahli di dalamnya. Tidakkah Rasulullah saw telah berpesan kepada kita bahawa ulamak itu adalah pewaris para Nabi.
Dalam ketiadaan Nabi dan Rasul maka ulamak Islam yang ikhlas dan beramal dengan ilmunya itulah yang sewajarnya menjadi rujukan kita, tanpa menafikan ada juga ulamak yang sebaliknya yang harus kita berwasapada darinya.
Bagi yang beramal dengan ilmunya dan menjiwainya pula itulah maka Allah telah meletakkan mereka pada makam yang istimewa dari kita yang awam ini. Tidak, mereka tidak maksum tetapi mereka dicampakkan dengan kelebihan dekat pada Allah lantaran ilmu dan amalan mereka itu. Allah SWT berfirman (Faatir : 28):
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah para ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun'"
Ulamak jenis ini adalah murrabi, mu'addib dan rabbani. Murrabi dalam ertikata mereka berusaha meningkatkan ketaqwaan kita bagi menagih janji Allah dalam Al Quran iaitu untuk mendapat pembelaan-Nya dan untuk memperoleh kesejahteraan dunia dan Akhirat.
Mu'addib pula iaitu pendidik yang mendidik kita sebagai manusia yang benar-benar beradab, sama ada beradab dengan Tuhan mahu pun beradab dengan manusia atau makhluk. Manakala Rabbani pula adalah mereka ini dekat dengan Allah, llmu mereka langsung diberi oleh Tuhan. llmunya bukan sahaja dimiliki, malah diamal dan dihayati.
Lantas dalam dunia yang serba penuh dengan pancaroba dan dugaan ini, selain kita bergantung hidup pada fakta, ilmu dan logik akal, sebagai seorang Muslim, kita terikat untuk tidak melepaskan diri dari tali ikatan kita dengan Allah SWT. Bagaimana caranya jika tidak kita berada bersama para ulamak dalam setiap suasana dan ketika. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan jalan dan laluan, kini terpulanglah kepada kita untuk memilihnya ataupun tidak.
Allah SWT berfirman (al Ahzab: 1-3):
"Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu."
Dan ayat-ayat Allah ini diakhiri dengan ayat ke 4 yang berbunyi:
(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya.
Saya berpeluang mengikuti kuliah subuh yang dipimpin oleh Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh pagi tadi yang telah menghurai dan menjelaskan dengan sungguh terperinci ayat-ayat di atas. Lalu apabila saya pulang sempat saya mendapatkan Tafsir al Jalalayn yang menghuraikan ayat ke 4 diatas sebagai:
Allah tidak meletakkan dua hati dalam tubuh mana-mana manusia. Ayat ini bermaksud menafikan tohmahan golongan musuh yang kononnya mereka memiliki dua hati lantas melaluinya mereka dapat berhujah lebih baik berbanding Muhammad yang punya hanya satu minda.
(God has not placed two hearts inside any man: [this was revealed] in order to refute those disbelievers who said that they each had two hearts with which they could reason better than Muhammad's single mind)
Mudah-mudahan kita terus diberi peluang untuk bernaung di bawah para ulama yang seumpama ini. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya, selamat menjalankan ibadat puasa Ramadan.
5 comments:
Terima kasih kerana peringatan ini.
Saudara, dinaungi ulamak adalah satu rahmat buat ummat ini. Tapi ada seorang tu berani betul dia kata golongan alim yang masih muda-muda tak cukup memuaskan. Gila ke apa? Apa dia ingat dia tu bagus sangat. Orang macam dia tu memang tak layak diberi apap-apa jawatan dalam PAS. Kalau memang tak memuaskan buat apa nak bagitau kat semua orang, pi jumpa le ustaz-ustaz yang muda tu. Berhujjah dengan mereka. Apa-apa pun selagi bersama dengan orang alim adalah lebih aku cintai dari bersama dengan seorang yang kaki pembelit.
Sdr. Roslan,
Lama tak melayari laman ini kerana internet di rumah 'rosak'. Sudah lama kita ditipu dek puak munafikun. Di dunia ini sebagai seorang muslim, kita hanya pegang kepada Al-Quran dan Hadith sahaja. Doktorin yang lain hanya menambahkan ilmu dan tidak seharusnya dijadikan rujukan mutlak.
Hari ini sebagai orang Islam di Malaysia, kita dicabar oleh orang bukan Islam kerana kita tidak pegang betul-betul pada ajaran agama kita sepenuhnya. 'Orang Islam' sendiri mengamalkan perkauman, rasuah, zalim dan sifat-sifat yang bertentang dengan ajaran agama kita. Hari ini di negara kita yang mengamalkan MALAYSIA BOLEH akan berbuat apa saja untuk menghalalkan cara. Orang yang baik dicaci manakala yang bohong, jahat dan munafik disanjung. Tidak hairanlah Raja Petra mengatakan 'orang Islam' sebenarnya 'jahat' tapi berlagak 'alim' dan 'baik'. Tengok saja bagaimana 'ulamak' kita menjelaskan cara Saiful Buntut bersumpah. Jijik dan loya telinga aku bila mendengar penjelasan mereka yang mana boleh mengelirukan kebanyakan orang Islam kita. Inilah 'orang Islam' yang sejahat-jahatnya. Ada ilmu tetapi memutarbelitkannya. Munafik seperti yang tercatat dalam Al-Quran. Kenapa kita masih menyanjungi mereka?
Lihat saja baru-baru ini yang berlaku di Permatang Pauh, orang bukan Islam sudah tentu tertawa melihat geligat orang Islam kita dari TPM sampailah ke Ketua Bahagian AMNU Bukit Bendera. Seharusnya ingat kita semua adalah pendatang ke dunia ini. Dunia ini hanya sementara sahaja. Tiada yang kekal.
Lihat saja sejarah Islam bagaimana sahabat-sahabat baginda yang mengamalkan peribadi yang mulia, telus, ikhlas dan adil memikat orang bukan Islam menganut agama kita? Kenapa hari ini kita tidak melakukannya sedemikian? Hari ini kita dicabar semata-mata kerana kelemahan kita dalam mengamalkan agama kita? Sejak dulu, manusia akan suka pada orang yang mengamalkan keadilan tetapi sekarang apa dah jadi? Dunia dah terbalik. Keadilan dapat memuaskan nafsu manusia tetapi 'dunia'tak dapat memuaskan nafsu manusia.
sdr
saya amat tertarik dengan artikel ini dan tahniah kerana tulisan yang amat positif dan bermakna.dalam sejarah islampun perkara ini telah menjadi sunnah dimana ulamak adalah pelopor kepada dakwah,perkembangan islam,mempertahankan islam dan banyak lagi.lihatlah sejarah islam dan ulamak sentiasa berada di saf hadapan.di malaysia(dulu tanah melayu ) perkara yang sam juga berlaku.teramat ramai ulamak,tok-tok guru yang berjasa,ilmu yang tinggi,menulis kitab, dan lain-lain.sumbangan mereka tak ternilai.mudah-mudahan keberkatan mereka melimpahruah kepada kita semua.amin
sekian
Ya Allah ! gagalkan niat jahat meruntuhkan kerajaan Malaysia oleh makhluk nama Anwar !
jadikan tipudayanya dikalahkan oleh tipudaya Mu yang maha Agung.
Bukakan pintu hati semua agar nampak kebenaran yang sudah kelam ditutup dengan fitnah dan akuan sumpah serta berita palsu ini.
Dengan berkat Ramdhan dan Penghulu Ramadhan dan kekasihMu maka kabulkan doa ini.
Jangan biarkan agamaMu dihina mereka yang berselindung di belakang nama politik.
Sedangkan mereka berniat jahat ingin merosakkan kesucian Islam di Malaysia yang telah menjadi paksi keamanan selama usia merdeka.
Amin.
Penulis Cyber
http://beritamalaysiakini.wordpress.com/
Post a Comment