Monday, September 01, 2008

Kerajaan Malaysia segera bertindak!

Dalam kita merayakan Hari Kemerdekaan negara disamping mengharungi bulan Ramadhan yang penuh barakah di awal-awal harinya ini kita terus sayu memikirkan nasib saudara-saudara kita anak-anak Malaysia yang ditawan oleh lanun-lanun di perairan Laut Arab.

Bukan satu tetapi kini dua kapal tangki milik MISC telah ditawan oleh lanun-lanun yang tidak bertanggungjawab itu. MT Bunga Melati 5 yang sarat dengan 30,000 metrik tan petrokimia ditawan dalam perjalanannya ke Singapura selang 10 hari setelah MT Bunga Melati 2 ditahan dalam perairan yang sama.


MT Bunga Melati 5
Bunga Melati 5 membawa 41 anak kapal iaitu 35 Malaysia dan bakinya warga Filipina, manakala Bunga Melati 2 membawa 39 anak kapal, 29 Malaysia dan bakinya Filipina. Ini bermakna disaat dan ketika ini 64 orang warganegara Malaysia ditawan sebagai tebusan oleh gerombolan pengganas dipercayai dari Somalia.

Ini merupakan krisis tawanan terbesar melibatkan rakyat warganegara kita, saya yakin rakyat Malaysia keseluruhannya mahu tahu apakah perkembangan kes ini, apakah usaha dan langkah yang telah dan sedang kerajaan Malaysia lakukan bagi memastikan kesemua tawanan dapat kembali dengan selamat kepengakuan keluarga masing-masing di tanahair?

Kita wajar mendesak kerajaan mengambil langkah segera, kerana menurut maklumat seorang warga Filipina atas Bunga Melati 2 dilaporkan telah terbunuh akibat “kemalangan”.

Biar rakyat Malaysia tahu akan perkembangan ini. Ini bukan isu politik dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak dalam negara. Nyawa dan keselamatan 64 orang warga kita terancam, kaum keluarga mereka di tanahair pasti gundah gulana, begitu juga saudara-mara dan yang mengenali mereka tambah-tambah kita sedang menjalani ibadat puasa dan akan berhari raya dipenghujungnya nanti.

Peritiwa ini mengingatkan saya akan insiden melibatkan pesawat boeing 747 milik Israel, El Air yang ditawan semasa dalam penerbangan dari Israel ke Greece pada tahun 1976 yang melibatkan 246 orang penumpang. Ia akhirnya dipaksa mendarat ke Entebbe di Uganda. Apa yang mahu saya paparkan adalah keprihatinan kerajaan rejim haram Israel yang begitu mengambil berat akan nasib warga mereka yang ditawan itu. Akhirnya sekumpulan komando Israel telah diterbangkan secara senyap ke Entebbe dan menggempur pesawat berkenaan.

Saya bukannya mahu mengesyorkan penyelesaian yang sama (kecuali perlu) tetapi apa yang penting adalah kita perlu ke hadapan dan terlibat secara langsung dalam perundingan ini membebaskan warga kita ini.

Sepatutnya kabinet Malaysia berbincang dan mengirim seorang Menteri ke sana untuk berunding dengan gerombolan pengganas ini. Menteri tadi perlu diiringi oleh pakar-pakar terbaik perundingan kita dan para pegawai tertinggi tentera kita untuk menimbangkan apakah opsyen yang ada.

Demi Allah, keselamatan rakyat kita itu adalah tanggungjawab kita, bayangkan bagaimana nasib mereka sekarang ini, kita duduk dengan aman dan selesa di sini, bebas melakukan ibadat puasa dan berbuka, sedangkan nasib mereka dihujung rifel dan senjata pihak pengganas.

Ayuh kita serius dalam menyelamatkan anak-anak bangsa kita yang ditawan itu. Maruah negara kita kini tercabar!

5 comments:

Anonymous said...

bro roslan,

Pelik sungguh pemimpin kjaan malaysia ni. Bukan satu, dah dua kapal kena tawan tapi masih lagi tidak ambil serius nasib rakyatnya! Nak tunggu satu demi satu terkorban kot baru kelam kabut pi rescue!

Kepada seluruh keluarga mangsa, bersabarlah dan byk2 lah berdoa di bulan ramadhan yang penuh barakah ini.

TAKBIR!!

..manshahirfriends..

p/s lu x nak jd negotiator ngan pirate tu ke? Bisnes tu! hahaha

Anonymous said...

erm... perairan laut arab berkenaan juge perlu dijalankan langkah kawalan keselamatan... kira kapal milik misc tu perlu aktifkan radar 24jam dan kawalan monitoring perlu diperketatkan.. jika perkara ini dilakukan lebih awal tentu risiko dpt diminimakan..

kedaiutama.com

Anonymous said...

hanya orang yg pernah belayar saja tahu bagaimana senangnya sesebuah kapal dihijack..tak perlu bagitau camana cara nak minimakan..diorang lebih tahu,yg penting rakyat malaysia perlu suarakan kebimbangan kepada kerajaan yg nyawa rakyatnya dlm bahaya,jgn biar peristiwa MT Petro Tanker berulang lagi..MISC dan Petronas mesti lakukan sesuatu.

Ex-Seaman

Anonymous said...

Kerajaan Malaysia(Badawi): Kami akan pantau saja dan pastikan mereka semua selamat dari sini...

nbn said...

Kita tunggu sehingga kapal ketiga MISC pula dirampas. Mungkin barulah kita akan memikirkan jalan penyelesaiannye. Atau cukupkan 5 buah kapal lagi sekaligus, senang sikit nak negotiate...

Lanun cetak rompak kat tanahair sendiri pun payah nak hapus, inikan kat nun jauh di perairan negara orang..