Jangan pinggirkan adab dan akhlak berjemaah
Semakin jauh perjalanan kita mengharungi bulan Ramadhan yang penuh barakah ini rupanya cabaran dan ujian disekeliling kita juga semakin menduga dan mencabar. Berbeza sungguh Ramadhan kali ini, besar sungguh ujiannya terhadap mereka yang menggalas perjuangan Islam yang diterokai oleh junjungan besar Rasulullah saw.
Bulan ini adalah bulan ibadah, bulan ini adalah bulan amal. Di bulan inilah kita semakin cuba mendekatkan diri dengan Allah dengan mempertingkatkan ibadah dan amalan. Dalam pada itu sebagai anggota Hizbullah jangan kita lupa atau terlupa akan adab dan akhlak berjemaah sambil kita menempuh bulan yang padanya Allah swt menurunkan al Quran:
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al Baqarah:185)
Kita meraikan perbedaan pandangan sesama satu jemaah, namun apabila ianya berlaku kita terdidik untuk merujuk dan mencari penyelesaian, dan tiadalah sumber penyelesaian yang lain bagi kita selain merujuk kepada kitab yang Allah turunkan di bulan ini selain kepada Sunnah Rasul Nya saw.
Inilah yang membezakan antara kita dengan kumpulan atau entiti yang lain.
Kita tidak dilatih berbeza pandangan dengan menyerang individu yang memberi tafsiran atau pandangan yang berbeza. Kita perlekeh ia, kita jatuhkan maruahnya, kita letakkan ia lebih rendah dari musuh, ini bukan amalan kita. Jika kita demikian sedangkan di bulan ini adalah bulan ibadah dan amal maka dimanakah sebenarnya letak duduk kita?
Kita semua cintakan perjuangan ini kerana matlamatnya adalah matlamat yang dituntut oleh Allah dan Rasul Nya saw. Kerana itu kita berada dalam jamaah ini. Kerana itu kita bersama-sama berjuang dalam satu saf, kita berbeza pandangan dalam tempat yang diizinkan, tetapi tidak sekali-kali kita menghalakan pedang ke arah sesama kita. Allah swt berfirman:
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar. (al Fath:29)
Jangan sampai hilang ruh perjuangan itu dalam jiwa kita.
No comments:
Post a Comment