Thursday, September 18, 2008

Apabila dua veteran bertemu

Pertemuan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato Mustapha Ali dengan Mursyidul Am Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz pagi semalam bukan sekadar telah dilaporkan oleh media PAS tetapi turut juga dilaporkan oleh beberapa media arus perdana.

Memang sebelum ini beberapa media khasnya media alternatif melaporkan darihal pergeseran pandangan antarta kedua-dua tokoh veteran itu. Malah ada beberapa pihak yang nakal cuba mengeruhkan suasana dengan mengadu-domba dan menaburkan pelbagai fitnah bagi mengenakkan lagi rencam tulisan mereka.

PAS sudah masak dengan perbedaan pandangan. Sepanjang sejarahnya yang lebih 50 tahun itu, demi mendaulat dan mempertahankan Islam, akan ada sahaja perbezaan pandangan dan pendekatan, namun rata-rata semuanya selesai dan dilurutkan menurut disiplin dan akhlak Islam.

Contohnya kemasukan Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy ke dalam PAS dahulu pernah dibahasakan dengan hangat dalam JK PAS Pusat. Ada yang berpandangan Dr Burhanuddin akan membawa idea kiri dan sosialis malah kominis ke dalam parti. Tetapi akhirnya pandangan Almarhum Ustaz Hasan Adli diterima dan ternyata Dr Burhanuddin masuk dan menerajui PAS sehingga mencipta rekod yang gemilang.

Segala-galanya telah selesai dan jelas kata Mustapha setelah selesai pertemuan beliau dengan Tok Guru. Beliau dan Tok Guru merupakan dua orang tokoh veteran serta bertanggungjawab dalam mencorakkan PAS pada hari ini. Gandingan beliau selaku Ketua Pemuda dan Tok Guru sebagai Ketua Dewan Ulamak satu ketika dahulu telah banyak menyumbang ke arah kemajuan PAS pada hari ini.

Mustapha dan Tok Guru mengenali satu dengan lain berdekad-dekad lamanya, jauh lebih lama dari kehadiran beberapa dikalangan kita dalam PAS sendiri, apa lagi beberapa pengkritik yang baru mahu bertatih dalam parti.

Kerana itu biarlah kita semua berlapang dada, jangan terlebih sudu dari kuah. Beginilah cara pemimpin Islam meleraikan kekusutan dalaman. Soal apa yang dibincangkan dan apa yang telah dipersetujui tidak penting, biarlah ia berligar disekitar pengetahuan mereka berdua, apa yang penting parti perlu terus berdiri kukuh dan matlamat serta prinsip perjuangan parti dipertahankan.

Kata Tok Guru: “Ia seumpama kiambang bertaut merapatkan kembali hubungan kepimpinan dalam PAS”.

Bagi kita yang lain, peliharalah adab dalam berjemaah, taat dan wala’ pada pimpinan selagi mana mereka tidak melanggari syarak.

4 comments:

Anonymous said...

MashALlah bila dua pemimpin Islam bertemu dapat menyelesaikan kerana Allah!

Seroding said...

Tuan blogger,

Apa yang terpapar dalam berita samada arus perdana atau alternatif adalah hasil dari pertemuan tersebut.

Tetapi apa yang menarik untuk diketahui oleh umum adalah pokok perbincagan antara dua tokoh veteran ini.
Mungkin saudara mempunyai sedikit maklumat danboleh berkongsi disini untuk dijadikan panduan kepada ahli jamaah.

kalam said...

"Mustapha dan Tok Guru mengenali satu dengan lain berdekad-dekad lamanya, jauh lebih lama dari kehadiran beberapa dikalangan kita dalam PAS sendiri, apa lagi beberapa pengkritik yang baru mahu bertatih dalam parti. - er, saya mengesan ada sedikit unsur merendah2-kan orang lain dalam ayat di atas. jangan la begitu.....

roslan sms said...

Sdr KALAM

Subhanallah, saya tidak bermaksud merendah-rendahkan mereka apabila saya menyebut begitu. Cumanya jika sdr mengikuti polemik Cikgu PA/ Tok Guru ini sdr akan terserempak beberapa ulasan dan komentar dari beberapa kalangan yang saya anggap terlalu extreme sehingga mengecap seseorang pro Umno atau sudah mahu masuk Umno, sudah perlu berhenti, perlu keluar PAS dan berbagai sedangkan Cikgu Pa/ Tok Guru sudah bertarung dan berjuang dalam PAS demikian lama and dont deserve such bad remarks.

Kita yang baru bertatih dalam perjuangan bukannya tidak boleh mengkritik tetapi jika kita tahu adab dan akhlak berjemaah alangkah lebih baik kita menimba pengalaman dan ilmu serta membukti diri terlebih dahulu.

Maaf jika tulisan begitu bagi sdr tampak bagai ada unsur merendah-rendah orang lain, tidak, tidak begitu. Wallahualam. Tkasih