Memikul amanah kebebasan yang tidak pernah mutlak
Saya lega dengan keputusan kabinet mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas semua laman web dan blog (termasuk Malaysia Today) dengan serta-merta. Kita tidak mahu negara ini setaraf dengan negara-negara kukubesi dan diktator yang lain umpama Korea Utara dan China yang menyekat
dan mengawal penggunaan dan penyaluran maklumat melalui internet oleh rakyatnya.
Sebagaimana yang pernah saya utarakan dalam blog ini, sebarang pemilik laman web dan blog seharusnya akur dan mentaati undang-undang dan peraturan negara yang sedia ada. Jika ada diantara mereka menyalurkan maklumat yang berbau perkauman dan rasis, mengadu-domba dan menghasut masyarakat, memainkan isu-isu sensitif agama atau menabur fitnah, maka siasat dan lakukan pendakwaan ke atas mereka mengikut proses undang-undang terbuka.
Biarlah media internet di Malaysia ini digunakan benar-benar untuk memupuk kreativiti penulisan, penyaluran maklumat, analisa, bertukar-tukar pandangan dan percambahan minda bukannya alat untuk menghasut dan menjahanamkan agama , bangsa dan negara.
Saya sendiri sejak memulakan blog ini pada tahun 2004 dahulu sedar bahawa saya memikul tanggungjawab yang besar. Jika saya bermain api maka saya perlu memikul risiko tangan saya mungkin terbakar. Disini bukan tempatnya untuk baling batu sembunyi tangan, jika kita berani berhujah dan mengeluarkan pendapat maka kita juga mesti berani memikul tanggungjawab.
Tiada kebebasan mutlak dimana-mana pun, apa-apa pun seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah melainkan telah disabit kesalahannya. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.
No comments:
Post a Comment