Saturday, September 27, 2008




Bahang Eidul Fitri semakin terasa. Ada dikalangan sahabat-sahabat samada sudah sampai ke kampong halaman masing-masing ataupun masih dalam perjalanan, berhati-hati di jalanraya.

Saya terus menerima ucap salam Eidul Fitri dari sahabat-sahabat yang sudi. Antaranya:

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Buat semua sahabat seperjuangan .

Saya sekeluarga mengambil kesempatan di hari yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini , terlebih dahulu untuk memohon maaf atas segala salah dan silap . Semoga ukhuwwah fillah dikalangan kita anggota Gerakan Islam terus bersemi tanpa sebarang ruam yang hanya mencacat hubungan persahabatan antara kita.

Tiada dinafi , terlalu sukar mengawal emosi dan terlalu payah membendung rasa tetapi jauh lebih sukar dan payah untuk memutus hubungan persahabatan yang telah kita bina bersama dengan sumpah perjuangan ini. Mudah – mudahan seketika nanti , akan tiba detik kita kembali bertaut kasih tanpa curiga .

Apa yang perlu kepada kita agar bersabar buat sementara dengan tidak melakukan sebarang tindakan luar jangka yang membuatkan musuh bertepuk tangan melihat kita berantakan .
Mohonlah kepada Allah swt. agar saff perjuangan ini kian rapat , memimpin tindakan yang terarah memacu hala tuju yang jelas ke arah mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini .

Turut menginsafi kemelut yang melanda jamaah semakin hari semakin sulit situasinya , maka saya sangat mengharapkan agar bulan Syawal yang bakal menjelma akan menjadi Pelan Damai buat semua . Atas nama kalimah tauhid kita beriman , atas nama kalimah tauhid kita berjuang maka atas nama kalimah tauhid yang di laungkan di pagi raya kelak menjadikan kita erat dan utuh bersatu .






Nasrudin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Turut tidak ketinggalan adalah rakan blogger dan seorang pendakwah yangs entiasa berani mencuba sesuatu yang baru, sahabat karib ana Ustaz Hishamuddin:

Akhi Roslan...

Terima kasih kerana menjemput ana membuat ucapan ini.

Ingatan anta itu satu pengiktirafan yang sebenarnya menyuntik semangat untuk ana meneruskan sumbangan kecil ana terhadap perjuangan ini.

Akhi…

Tahun ini, Ramadhan menjenguk lagi seperti sebelumnya; bersama Rahmat Tuhan yang tak terhitung banyaknya.

Kita sewajibnya bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala kerana masih direzkikan dengan Ramadhan kali ini, sedangkan di sana telah ramai saudara mara serta sahabat handai yang tidak lagi berkesempatan bertemu dengan Ramadhan kali ini.

Akhi…

Setiap tahun ana selalu menyebut di dalam ceramah-ceramah dan tazkirah-tazkirah Ramadhan ana; bahawa tiada siapa yang dapat menjamin, dia masih ada pada Ramadhan tahun hadapan. Selalu juga ana menyebut bahawa boleh sahaja terjadi, Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan terakhir kita.

Ketahuilah wahai saudaraku Roslan, bahawa saban tahun, kebimbangan itu semakin bertambah. Terasa bahawa saat yang disebut-sebut itu semakin hampir.

Kita perlu selalu bermuhasabah, berjayakah kita merebut kelebihan Ramadhan yang dianugerahkan Allah subhanahu wa ta’ala itu? Ataukah kita tetap terleka membiarkan Ramadhan pergi tanpa kita benar-benar dapat mesra dengannya.

Kebimbangan kita bahawa Ramadhan kali ini mungkin sahaja yang terakhir bagi kita, sepatutnya membuatkan kita banyak berdoa agar diberikan lagi tempoh dan peluang oleh Allah.

Kita bukannya benci untuk mati kerana mati itu membawa kita pulang ke pangkuan kekasih kita, Allah subhanahu wa ta’ala. Tapi kita sebenarnya merasa masih belum bersedia untuk dihisab di hadapan Allah subhanahu wa ta’ala. Sudah bersediakah jiwa kita untuk itu?

Akhi…

Apa yang pasti, tahun ini keyakinan ana kepada perjuangan Islam semakin bertambah, sebagaimana ia telah wujud di tahun-tahun sebelumnya.

Ana dapat menyaksikan bagaimana Allah subhanahu wa ta’ala memelihara dan memantau perjuangan Islam ini.

Bagaimana Allah menyusun perancangan demi perancangan yang membawa perjungan Islam ini maju setapak demi setapak.

Apa yang berlaku ini memantapkan lagi prinsip yang ana yakini sebelum ini bahawa Allah subhanahu wa ta’ala pasti akan mentaqdirkan yang terbaik untuk pejuangan Islam.

Akhi Roslan…

Sebagaimana kemenangan memimpin (futuh) Makkah adalah berpunca dari perjanjian Hudaibiyyah 2 tahun sebelumnya (ini disebutkan Allah di dalam surah al-Fath), maka begitu jufgalah `kejayaan’ yang `kita’ capai kali ini.

Apa yang kita capai hari ini bukanlah hanya kerana apa yang kita usahakan hari ini. Perjanjian Hudaibiyah dan Futuh Makkah memahamkan bahawa apa yang kita capai hari ini, sebearnya bermula dari apa yang diusahakan sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu.

Sebab itulah di dalam menghayati kejayaan hari ini, kita tidak boleh melupakan mereka yang telah mengasaskannya `semalam’….

Hishamuddin Abd Aziz

Saya masih terus membuka ruang untuk sesiapa yang sudi bagi mengirim ucap salam Eidul Fitri untuk saya siarkan di blog ini. Sudilah mengirim ucap selamat masing-masing ke:

roslan _ s @ yahoo.com

No comments: