Friday, September 26, 2008

Mutiara dari Pulau Melaka

Saya sentiasa kagum dan terpegun membaca tulisan sahabat-sahabat terutama yang kaya dengan ilmu agama walaupun mereka dikalangan adik-adik saya. Seorang penulis yang baik mungkin boleh menambat isi hati pembacanya dengan lenggok tulisan yang diperolehi dari pengalaman dan pengamatan serta pembacaan yang kaya, tetapi ia tidak akan sehebat penulis yang memiliki ilmu agama.

Alhmadulillah kebelakangan ini lahir ramai anak-anak muda yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, yang menyumbang menulis di alam maya. Saya salute mereka ini kerana sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi, berdakwah bukan sekadar berceramah di masjid dan surau serta majlis-majlis ilmu atau sekadar menulis buku dan di majalah atau akhbar. Hari ini ia perlu dilontarkan sekali hingga ke alam maya barulah luas pencapaiannya.

Antara adinda-adinda saya ini yang berbakat termasuklah Ustaz Nik Abduh, Ustaz Nasruddin, Ustaz Yusainie dan beberapa yang lain yang masing-masing memiliki blog sendiri. Mereka bukan sekadar menulis berdasarkan ilmu tetapi mampu mengolah isu-isu semasa berdasarkan ilmu Islam yang dipinjamkan kepada mereka oleh Allah swt.

Keupayaan seumpama inilah yang sewajarnya ditonjolkan semoga masyarakat sentiasa terbimbing dan tidak mudah melompat atau menerkam apabila ditampilkan satu-satu isu ke tengah.


Diantara ketiga-tiga mereka itu adinda Nik Abduh lah kelihatan yang paling liat meng “update” blognya. Beliau ini seorang romantis, makhluk seni berlainan dengan dua pejuang lain itu. Tetapi sekali-sekala abila beliau menyentuh satu-satu isu, tikamannya pedih dan sampai ke ulu hati.. Saya perhatikan dalam liat-liat beliau hari ini sahaja, beliau membuat dua posting dalam blognya “Masanya memilih jalan yang lurus”. Mungkin setelah ditegur kawan-kawan ideanya kembali menyegar……

Saya tertarik dengan postingnya bertajuk: Islam, ulamak dan syura. Sungguh komprehensif , mudah difahami tetapi sarat dengan pengertian. Beliau menulis:

Ulama besar sungguh di sisi Islam. Ia menjadi besar kerana tiada lagi nabi hari ini. Tiada lagi utusan langsung dari langit atas sebagaimana zaman dahulu kala sebelum kedatangan rasul akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Zaman mana ada nabi, tiadalah ulama menjadi besar sebagaimana hari ini yang tiada lagi nabi.

Ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua.
Ulama mewarisi ilmu dan perjuangan para nabi. Bebanan ulama tak sama dengan bebanan kita orang biasa. Mereka mesti menjaga ugama. Mereka mesti menjaga dakwah. Mereka kena menarik kemalahatan kepada ummah dan menolak kemudharatan daripada mereka.

Begitu ugama ini dijaga daripada kebatilan dan kerosakan. Ia mesti kekal sebagai ugama suci untuk dianuti jiwa yang mahukan kesucian di dunia ini.

Di sinilah pentingnya PAS menobatkan Kepimpinan Ulamak, bukan kerana keperibadian masing-masing tetapi kerana ilmu yang mereka kuasai serta amalan mereka berdasarkan ilmu itu. Beliau lalu menjelaskan:

Nabi Muhammad diarah untuk meladeni para sahabat yang akan mewarisi ugama ini daripadanya dengan menjadikan mereka ahli mesyuaratnya. Siapalah para sahabat yang penuh kekurangan untuk diambil timbang pandangan mereka di hadapan ar Rasul yang penuh maksum? Tidakkah cukup sudah segala jawaban jika ianya datang walaupun hanya dari seorang seperti ar Rasul? Apalah gunanya lagi pandangan para sahabat?

Namun begitulah Allah mempersiapkan jawaban buat mengisi kelompangan besar antara kedua - duanya. Betul, al Rasul cukup dengan wahyu dan Allah di sisinya untuk menjaga ugama tanpa pandangan dan jawaban para sahabat, tetapi begitulah amalan syura dihidupkan seawal zaman nabi masih di persada kehidupan buat memahamkan kita bahawa syura ulama adalah pewaris ugama ini.
Seorang nabi tidak diwarisi oleh seorang ulama. Seorang Muhammad yang menjaga ugama itu diwarisi ilmu ugama dan perjuangannya oleh sejumlah ulama yang membentuk syura yang muktabar.

Jumlah yang ramai itulah yang menjadi penyelamat sepanjang zaman kepada perjalananan ugama suci ini untuk terus kekal suci sampai kiamat.

Syura mesti daripada ulama yang mewarisi ilmu al Quran. Ia mesti dipilih oleh para ulama daripada kalangan mereka atau dengan keputusan mereka. Demikian ugama ini menjadi kebal untuk dibolosi anasir - anasir yang akan mencacatkan dan mengotorkan agama suci ini.

Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.
Kerana itulah barangkali Tuan Guru Presiden PAS membentangkan dalam ucapan dasarnya baru-baru ini bahawa Majlis Syura bukannya terompah kayu. Ia suatu institusi yang melahirkan keputusan berdasarkan syarak, bukannya atas kepentingan atau kemahuan mana-mana pihak. Di sinilah bezanya PAS dengan mana-mana parti atau kumpulan lain.

Beliau menambah lagi:

Betul, setiap ulama adalah bintang yang bercahaya. Anda menikmatinya saat langit malam itu cerah, aman dan sejahtera. Namun, apabila awan mula menggulung - gulung dan petir memanah - manah, anda kehilangan petunjuk bintang itu.

Begitulah, anda kehilangan individu ulama itu saat fitnah menyerang umat. Anda memerlukan petunjuk yang lebih jelas dan tepat. Itulah syura ulama yang pasti menunjuki.
Cuma istimewanya adinda Nik Abduh ini adalah kerana ayahnya kebetulan adalah Mursyidul Am PAS, seorang tokoh yang disegani kawan dan lawan. Selaku anak beliaulah yang layak mencedok apa sahaja yanh berguna dari ayahandanya untuk dikongsi bersama kita. Beliau memetik ayahnya sebagai berkata:

Bagaimana mereka boleh memisahkan kepimpinan Islam dengan kepimpinan ulamak?

Dalam ertikata lain kepimpinan Islam itu mestilah berteraskan ulamak. Setinggi mana pun ilmu kita jika tidak dipadukan dengan ilmu para ulamak maka disitulah bermulanya masalah. Saya kira adinda Nik Abduh bijak apabila beliau menamtakan psotingnya dengan menyebut:

Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.
Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.

Kita dalam PAS jangan jadi budak - budak nakal. Malu kita..
Lainlah kalau kita memang jenis yang tidak tahu malu, wallahualam.

2 comments:

najmi said...

inilah bahana ajaran wahabi.. menafikan ketokohan para ulama dengan hujah ringkas..ulama tidak ma'sum..
bermula dari kononnya ulama tak pandai tapis hadis dhoif lalu berlarutan hingga ke mempertikaikan kepimpinan ulama..

Kalaulah satu hari nanti, pesakit2 mula mempertikaikan cara doktor mengubat mereka.. baru doktor2 ni faham kot?

Anonymous said...

Ini yang merisaukan nih! Mutiara akan kembali pada Pencipta, galang gantinya? Tok Kenali pergi tanpa pengganti....terbaru TG Hj Lah pergi juga tidak berganti....ulama' makin pupus di akhir zaman, Wallahu alam