Iktibar Ramadhan: rahsia kekuatan aqidah ummah
Dalam beberapa posting saya yang terdahulu saya mengajak para pembaca semua agar menghyati benar-benar bulan Ramadhan yang sedang kita tempuhi ini dengan penuh sabar dan keimanan ini. Perbanyakkan solat, membaca al Quran, berfikir, mengaut ilmu, berdoa kerana sesungguhnya bulan ini lebih besar dan penting dari bulan-bulan lain.
Kini kita menjejaki fasa kedua Ramadhan iaitu fasa maghfirah atau keampunan sebagaimana yang pernah disebut oleh Rasulullah saw dalam hadisnya.
Saya terpanggil untuk berkongsi akan apa yang ditulis oleh Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam bukunya: Fiqh al Harakah dari sirah Nabawiyah (Jilid 2) di bawah tajuk "Kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan" (Tuan Guru adalah salah seorang Presiden PAS yang paling banyak menghasilkan kitab-kitab samada dalam bahasa Melayu atau Arab).
Menurut Tuan Guru, puasa Ramadhan (menurut riwayat Ibn Jarir) diwajibkan pada bulan Syakban tahun kedua Hijrah iaitu ketika Rasulullah saw berada di Madinah. Perintah ini diturunkan setelah umat Islan mempunyai kekuatan aqidah dimana mereka telah mantap dengan ibadat solat serta sentiasa bersedia menerima perintah Allah swt dan melaksanakannya.
Kata Tuan Guru puasa Ramadhan ini dan perubahan arah qiblat adalah antara fardhu yang membedakan antara orang Islam dan ahli kitab. Adakah kita menghargai perbedaan itu, atau tidak merasakan apa-apa pun? Menurut Tuan Guru:
Ianya merupakan langkah ke arah meningkatkan kekuatan rohani dimana kekuatannya amat penting bagi seseorang Muslim dalam menghadapi cabaran dari luar dan dalam. Kedua perintah ini merupakan satu kepatuhan yang mutlak seseorang hamba kepada Allah swt dan Rasul Nya saw dan menolak kepatuhan kepada yang lain dari Nya. Oleh itu ia tidak boleh dijual-beli dengan sebarang bentuk habuan di dunia atau ugutannya kerana kepentingan mematuhi perintah Allah dan Rasul Nya adalah lebih berharga dari segala-galanya.
Betapa halus dan tersusunnya tarbiyah yang diberikan kepada hamba-hamba Nya. Mampukah kita menjiwai falsafah dan pengajarannya atau kita sekadar berpuasa dan melaksanakan ibadah-ibadah lain tanpa mampu menyelami mesej besar yang dipaparkan oleh Allah dan Rasul Nya itu? Sudahkah tertunjam kemas dalam jiwa kita bahawa kepatuhan terhadap perintah Allah dan Rasul Nya itu adalah "absolute" atau mutlak, paling mahal diluar penilaian manusia dan seluruh isi dunia?!
Semoga kita beroleh iktibar dan pengajaran. Tuan Guru menerangkan lagi:
Oleh itu mereka menerima perintah tersebut dengan penuh yakin tanpa berdetik sedikitpun dihati mereka perasaan ragu. Perintah tersebut telah menambahkan semangat mereka untuk berjihad fi sabilillah dan meningkatkan kerohanian mereka dalam menghadapi musuh dalam sebarang pertempuran penentu antara yang haq dan batil. Mereka sangat meyakini bahawa apa yang datang dari Allah merupakan al haq dan yang lain darinya adalah batil dan mesti dijauhi dan ditentang.
Sungguh berat dan besar rupanya tugas dan tanggungjawab kita. Mampukah kita membongkar pengajaran dan rahsia dari Allah dan Rasul Nya ini jika tidak kita menadahnya dari mereka yang berilmu dan beramal dengan ilmu mereka itu? Lebih malang lagi kita memandang rendah mereka itu lantaran kehebatan peribadi kita yang rupanya pada kita lebih mahal dari segala-galanya.
Janganlah kita sombong dengan apa sahaja ilmu yang ada pada kita sehingga kita merasakan layak untuk mentafsir dan menghuraikan khazanah ilmu Allah dan Rasul Nya dari kononnya kekuatan minda dan intelek kita itu tanpa bersandarkan disiplin ilmu Islam yang rata-rata dimiliki oleh para ulamak yang beramal dengan ilmu mereka. Kembalilah kepada kebenaran.
No comments:
Post a Comment