Mampukah kita beroleh kejayaan Tentera Badar?
Kisah Peperangan Badar yang dihuraikan oleh Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang (dalam kitabnya: Fiqh al Harakah dari Sirah Nabawiyyah) terus memaku perhatian saya berkebetulan kita menghampiri tarikh keramat 17 Ramadhan. Peperangan besar pertama yang dikepalai oleh Baginda Rasulullah saw ini sesungguhnya punya banyak rahsia dan pedoman yang sewajarnya kita teliti, fahami dan turuti.
Golongan Islam yang menepati cirri-ciri yang ditentukan oleh Allah swt pasti diberikan kemenangan dan kejayaan kadangkala melangkaui logik akal dan perhitungan manusia. Kerana itu sandaran para pejuang Islam sebagaimana yang digambarkan oleh peristiwa Badar ini hanyalah semata-mata pada Allah dan Rasul Nya saw, dan tiada yang lain. Tatkala ikatan itu terjalin dengan penuh keyakinan dan keimanan, maka ketika itulah turunnya pertolongan Allah swt dari ceruk dan pelusuk yang tidak pernah diduga atau dibaca oleh sesiapa pun.
Kerana itu gerakan Islam yang menuntut kememangan dunia dan akhirat perlulah berpandukan Allah dan Rasul sebagai petunjuk dan pedoman pada setiap masa dan ketika, dan siapakalah lagi yang paling cocok untuk mengemudi panduan itu jika tidak para ulamak yang merupakan pewaris para Nabi.
Satu demi satu kurnia Allah swt disalurkan kepada tentera Badar, lantaran kasih Nya Allah swt pada mereka. Dengan kekuatan yang sangat kecil namun semangat dan disiplin yang menggunung, Allah swt berikan sokongan dan kekautan kepada mereka.
Setelah berpenat lelah meredah padang pasir menuju ke Badar, di malam 17 Ramadhan itu, dalam serba keletihan Allah swt telah menurunkan hujan ke atas tentera Badar, lantas menyamankan tidur mereka. Tuan Guru merakamkan:
Pada malam itu Allah swt menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada orang-orang beriman dan bencana kepada orang-orang musrikin sebagaimana firman Allah swt:
Ingatlah ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu kemenangan daripada Nya dan Allah menurunkan kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu, dan menghilangkan dari gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hati kamu, dan memperteguhkan dengannya tapak kaki kamu. (al Anfal:11)
Kita mungkin memandang kecil hujan yang turun pada malam 17 Ramadhan itu, tetapi Badar bukan Kuala Lumpur, Kota Bharu atau Kuala Terengganu yang panas dan hujan sepanjang tahun. Hujan di padang pasir jarang-jarang berlaku, dan Allah menghendaki ia turun di malam 17 Ramadhan ketika Rasulullah saw sedang tidak henti-henti bermunajat pada Nya.
Tuan Guru merakamkan:
Walaupun berada dalam keadaan yang mencemaskan pada sebelah malamnya Rasulullah saw bersembahyang seperti biasa dan para sahabat r.a tidur dengan nyenyak (kerana dingin hujan tadi). Kesemuanya berlaku atas keizinan Allah swt sebagai pertolongan awal bagi memberi kerehatan kepada bala tentera Islam yang akan bertempur dengan tentera jahiliyyah yang besar dan ganas itu.
Dapatkah kita dikurnia oleh Allah swt anugerah dan pertolongan yang sama dalam keadaan kita juga berdiri sebagai para pejuang agama Nya? Apakah kita sudah segagah tentera Badar sehingga kita layak dikurnia kemenangan oleh Allah swt? Semoga taat dan lapar kita di bulan barakah ini membakar semangat kita untuk membentuk diri sebagai seorang tentera Badar.
Menurut Tuan Guru dipagi 17 Ramadhan itu apabila Rasulullah saw melihat kedatangan mereka (tentera musyrikin) Baginda berdoa:
Ya Allah, Tuhanku, ini dia Quraisy, mereka tiba dengan sombong dan megah. Mereka menentang Mud an membohong Rasul Mu. Ya Allah, Tuhanku, kurniakan kemenangan yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Tuhanku, binasakanlah mereka pada pagi ini.
Apapun Badar mengajar kita bahawa selagi mana kita berjuang menjunjung dan memegang se erat mungkin peraturan Allah dan Rasul Nya, maka selagi itulah kita tidak akan sesat dans elagi itulah kita berhak menuntut janji-janji Nya.
3 comments:
Terdapat kesilapan menaip:
1)Mereka menentangMu dan membohong RasulMu BUKAN Mereka menentang Mud an membohong Rasul Mu.
2)..selagi mana kita berjuang menjunjung dan memegang se erat mungkin peraturan Allah dan Rasul Nya, maka selagi itulah kita tidak akan sesat dan selagi itulah kita berhak menuntut janji-janjiNya BUKAN ...selagi mana kita berjuang menjunjung dan memegang se erat mungkin peraturan Allah dan Rasul Nya, maka selagi itulah kita tidak akan sesat dans elagi itulah kita berhak menuntut janji-janji Nya.
Otherwise, artikel ini menarik. Teruskan berjuang @ berdakwah sampai syahid.
Kemenangan Ahli Badar adalah kerana keyakinan mereka dengan pertolongan Allah SWT yang sangat tinggi walau bilangan mereka sedikit sekalipun. Pergantungan mereka hanya pada AllaH SWT. Satu lagi, faktor kepimpinan adalah antara sebab kemenangan muslimin. Kepimpinan Badar yang sabar, kuat semangat, jelas dengan tujuan perjuangan, sanagat memahami waqi' dan yang paling penting ialah 'qiyadah rashidah' (memimpin dengan petunjuk Allah bukan nafsu). Rasulullah SAW dalam perang Badar, tidak henti2 bermunajat memohon pertolongan Allah SWT. Jika kita hari ini hanya bergantung kepada strategi dan bertuhankan manusia, niscaya tidak akan menjelma kemenangan kerana ia milik mutlak Allah. Berusaha untuk menang pun mesti mengikut acuan Allah. Nafsu untuk memerintah walau dengan menggadai prinsip perjuangan hanya akan mengundang bala dan kemusnahan. Nampaknya, janji 16 Sept sudah tidak tertunai kerana tiada lansung 'insya Allah' dalam janji tersebut. Hebat mcmanapun seorang manusia, hakikatnya dia adalah hamba Allah! - Ulama' Perlis.
Syabas Sdr Roslan Dato' Shahir! Teruskan perjuangan. Kita akan bertembung dengan mukmin yang hasad di akhir zaman. Itu janji Rasul. Bersabarlah...kemenangan dan kebenaran pasti akan terzahir jua. Sekarang ni, proses penapisan akan berlaku. Kata ibn Umar, tidak seseorang itu berkata berlainan dengan pemimpinnya bila berada di belakang mereka melainkan itulah kemunafikan.
Post a Comment