Sunday, September 07, 2008

Mampukah kita berjaya menempuh ujian Allah?

Pagi tadi saya sempat mengikuti Kuliah Subuh di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya yang telah disampaikan oleh Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh dari Terengganu (beliau juga adalah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat). Kuliah hampir sejam itu sungguh menarik dan memang

Ustaz sendiri adalah seorang penyampai yang baik dan berkesan.

Saya tertarik berhubung kisah Peperangan Ahzab yang beliau bawa. Peperangan yang berlaku setelah umat Islam tewas di Uhud. Sudah pastilah ketibaan bala tentera musyrikin Makkah dan sekutu-sekutunya yang besar itu akan menggerunkan hati sesiapa pun tambahan baru pula tewas di Uhud. Mungkinkah umat Islam akan ditewaskan lagi?

Kata Ustaz ada pula golongan pengacau yang menyibarkan perkhabaran bahawa kemenangan di Badar dahulu hanyalah mukjizat Rasulullah saw. Mukjizat yang sama tidak akan berlaku lagi, kerana itu mereka kalah di Uhud dan kerana itu juga mereka akan kalah lagi kali ini.

Suasana menjadi semakin mengancam apabila keadaan bekalan makanan di Madinah menjadi semakin susut. Allah swt menghuraikan suasana ini di dalam firman Nya dalam surah al Ahzab:

(10) Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.

(11) Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat

(12) Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja".

(13) Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).

(14) Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja.

(15) Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). Hanya mereka yang kuat imannya terus kekal dan taat pada Rasulullah saw. Sedangkan yang lain tidak tertahan dengan ujian lantas berlepas lari dan meninggalkan perjuangan.

Bayangkan itu dalam keadaan Rasulullah hidup dan mereka masing-masing melihat tubuh batang Baginda. Mereka hidup dizaman Rasulullah membuka Kota Madinah, menempa kejayaan di Badar, dan diperlihatkan mukjizat baginda oleh Allah swt. Masih juga ada yang lari dari berjuang menegakkan Islam, bagaimana pula kita ini?

Sesungguhnya cabaran dan pancaroba kita lebih besar. Tiada musuh yang bersenjata di hadapan kita, nyawa dan harta kita tidak terancam, makanan kita cukup malah kekadang berlebihan sehingga membazir, namun ramai kita lebih teruk dari keadaan yang diceritakan.
Kesudahan Perang Ahzab telah pun kita ketahui dan Allah swt firmankan dalam surah yang sama, ayat terdahulu:

(9) Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.

Kerana itu kita perlu seret diri ini untuk tidak lari dari al Quran dan Sunnah kerana perjuangan ini jika disandarkan pada logik akal semata-mata maka pastilah ramai yang akan kecundang seperti pada ayat tadi. Dalam bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al Quran ini, marilah sama-sama kita mengikhlaskan diri untuk terus bersama perjuangan Islam dan para ulamak yang iklhas, berilmu serta beramal dengan ilmunya untuk terus memimpin kita.
Semoga kita berjaya dengan Ramadhan yang terbaik buat kita tahun ini, insyallah.

2 comments:

syeikh al yabani said...

Masalah ummat sekarang banyak hanya mengikat diri pada janji Allah tanpa melakukan sunnatuAllah bekerja yang terbaik. Hanya berdoa dan melakukan kerja sambil lewa dgn harapan kerana melakukannya kerja di jalan Allah. Sedangkan yang terbaik melakukan kerja dengan baik cara terbaik dan insyaAllah Allah akan menurunkan bantuan-Nya. kalau sebaliknya kita hanya menipu diri sendiri.

Anonymous said...

Sekiranya saya dapat mentafsir maksud tulisan di atas:

Dalam berusaha menegakkan Islam, PAS janganlah sampai terpesong cara perjuangannya daripada apa yang telah di jelaskan didalam Al-Quran, Sunah Nabi dan contoh dari para Sahabah. Janganlah matlamat menghalalkan cara.