Here I freely share my thoughts. Likewise please feel free to comment or criticize.
Thursday, July 31, 2008
Berikut adalah kenaytaan media Tuan Guru Presiden PAS setelah mempengerusikan mesyuarat JK PAS Pusat siang tadi bersekali dengan Majlis Syura Ulamak PAS:
PAS TOLAK TAWARAN UMNO
TETAPI AKAN TERUSKAN PERBINCANGAN
DEMI KEPENTINGAN NEGARA DAN UMMAH
PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan samada diperingkat Pusat ataupun negeri-negeri. Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama disemua peringkat tidak lagi berbangkit.
Walaubagaimanapun PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik , NGO, institusi-institusi dan mana-mana individu demi kepentingan negara dan ummah.
Dalam pada itu PAS mengulangi pendiriannya kekal bersama Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan yang aktif dan positif selaras dengan perjuangannya.
DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)
31 Julai 2008
Wednesday, July 30, 2008
Mursyidul Am PAS semakin hari semakin memanaskan suasana. Pada awalnya beliau mencadangkan agar Umno dan PAS, kedua-duanya dibubarkan. Kemudian sama-sama dibina satu parti baru berteraskan Islam demi perpaduan agama dan bangsa.
Mungkinkah ini sahaja cara yang terbaik. PAS dan Umno sudah bertelagah lebih separuh abad. Jalan terbaik adalah penyatuan dan tidak ada penyatuan yang lebih adil melainkan kedua-dua parti dibubar dan ditubuhkan parti baru, itu pandangan Tok Guru Nik Abd Aziz. Samada kita setuju atau tidak, itu pandangan beliau, sewajarnya ia diberi barang secebis penghormatan.
Memanglah cadangan itu sukar dilaksanakan. Mana ada orang Umno yang bersedia untuk membubarkan parti keramat mereka itu sebagaimana mana ada orang PAS yang mahu berbuat demikian. Tetapi mustahilkah ianya berlaku? Jika agenda penyatuan ummah itu dikira yang paling penting dan utama, apakah ianya nanti akan menggerakkan seribu satu kemungkinan?
Dalam pada orang ramai terkulat-kulat memikirkan cadangan Tok Guru yang mereka sayangi itu, tiba-tiba hari ini tercetus satu lagi idea dari pemimpin veteran PAS itu. Katanya jika terjadi pergabungan itu nanti, yakni Pas dan Umno, maka Hudud dan Qisas yakni undang-undang jenayah Islam bolehlah ditegakkan.
Sekali lagi cadangan ini pasti menecetuskan gelombang perbahasan yang hangat.
Kata Tok Guru sebagaimana yang dilaporkan oleh MStar Online:
Cadangan pelaksanaan undang-undang itu yang mengikut lunas syariat Islam akan dilakukan kemudian, selepas muqabalah (pertemuan) antara pemimpin kedua-dua parti mencapai persetujuan yang membawa kepada penubuhan satu entiti parti politik yang baru.
Saya pasti ramai makin terpinga-pinga dan terkulat-kulat lagi berikutan kenyataan Tok Guru ini.
Kenapa Tok Guru bangkitkan isu Hudud dan Qisas sekarang? Tidakkah ini nanti akan mencetuskan kemarahan kawan-kawan kita khasnya dari DAP (termasuk MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain). Tidakkah nanti semua pihak akan mula curiga kerana dahlah mereka menentangnya, dan PAS pun kelihatan seakan menikuskan agenda itu, tiba-tiba Tok Guru Mursyidul Am menghidupkannya kembali. Tidakkah nanti akan terganggu sokongan bukan Islam terhadap kita?
Mungkinkah nanti akan ada pula cadangan agar dimasukkan Tok Guru dalam senarai mereka-mereka yang wajar dikorbankan, tak silap dah semakin panjang senarai itu. Semakin pupuslah nampaknya kepimpinan ulamak……..habis semua mahu dinyahkan.
Bagi saya kenyataan terbaru Tok Guru ini sewajarnya difikirkan semasak-masak oleh semua pihak yang cemburukan Islam. PAS ini berjuang untuk apa?
Saya sendiri sudah menerima poster ini melalui kiriman email dari individu yang tidak saya kenali, malah saya rasa ramai dah melihatnya. Anggapan pertama saya bila menerimanya adalah, ianya satu dakyah jahat untuk melaga-lagakan.
Tetapi rupa-rupanya ada juga yang anggap ia serius dan malah menaikkannya dalam blog beliau dengan posting:
http://kula.blogsome.com/2008/07/29/lets-see-the-shadow-government/
In parliamentary governments, the largest opposition party often refers to itself as a shadow government in which top leaders of the opposition are prepared to assume certain ministries should their party come to power in an election.
Lets see our Malaysia PR shadow government…….any comments
Saya tidak tahu apa maksud YB Kulla meletakkannya dalam blog beliau, mungkin gembira kerana begitu ramai Menteri Kabinet dari parti beliau DAP, entahlah.
Saya ingin mengucapkan syabas kepada sahabat saya ahli majlis MPAJ yang membuat cadangan agar majlis berkenaan melarang orang-orang Islam dari mengunjungi pusat-pusat urut di kawasan PBT berkenaan. Cadangan tersebut belum lagi dibincangkan diperingkat majlis tetapi kiranya diluluskan ia nanti akan menjadi “test case” untuk turut dibawa dan diluluskan di PBT-PBT lain seluruh Selangor.
http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story1792464.asp
Menurut laporan cadangan ini dibuat memandangkan pusat-pusat berkenaan kerap menyalahgunakan permit mereka dan acapkali premis digunakan untuk kegiatan maksiat dan dikunjungi pula kebanyakkannya oleh orang-orang Islam. Malah dari beberapa insiden kita perhatikan taukeh-taukeh premis turut menggajikan gadis-gadis Melayu dan Indonesia untuk diratah tubuh mereka kononnya atas nama pusat urut.
Telah beberapa kali saya membuat posting atas isu ini, dan ternyata kiranya cadangan ini memperolehi kelulusan ia nanti bakal menutup satu lagi pintu maksiat yang selama ini terkangkang dan berkembang biak serta diluar kawalan di Selangor ini.
Kebetulan MPAJ mempunyai ahli-ahli majlis yang majoritinya beragama Islam, kiranya “test case” ini bejaya nanti semua PBT termasuklah yang didominasi bukan Islam dapat membawa perkara yang sama atas alasan memelihara kepentingan masyarakat Islam. Keculailah semua masyarakat bersetuju menutup terus premis maksiat seumpama ini kerana tidak mendatangkan manfaat buat semua.
Biarlah pusat-pusat urut yang benar-benar mahu menjalankan kegiatan urut atas sebab kesihatan memperbaiki premis mereka dan memastikan yang urutan untuk lelaki dilakukan oleh lelaki manakala yang perempuan untuk perempuan dengan masing-masing berpakaian sopan dan menutup aurat. Tidak perlu ada ruang-ruang khas atau bilik-bilik khas.
Tuesday, July 29, 2008
Menurut laporan, tengahari tadi di Gua Musang MB Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz dalam satu kenyataannya menggesa Pengerusi DAP, Karpla Singh agar menghormati hasrat PAS untuk mengadakan muqabalah dengan Umno. Kata Tok Guru kepada para pemberita di sana:
“Karpal macam saya juga, usianya telah tua, dan kita hormati dia, maka dia pula perlu menghormati kita,”
Sebelum itu semalam Tok Guru dilaporkan berkata:
"Percakapannya (Karpal) bukan orang politik dan cakap macam itu macam orang kampung. Saya tidak hendak komen panjang, tanyalah dia,"
Sementara itu akhbar-akhbar tempatan hari ini melaporkan yang MB Kedah Dato Seri Ustaz Azizan Abd Razak sebagai berkata:
“Karpal tidak berhak untuk mempertikai sebarang tindakan yang diambil PAS atau meminta PAS merujuk dahulu kepada DAP atau Pakatan Rakyat jika ingin berbincang dengan UMNO. Karpal sendiri pernah menyatakan langkah mayat dia dulu kalau mahu Pakatan Rakyat berunding dengan UMNO. PAS sudah melaksanakannya. Sekarang terpulang kepada dia (Karpal untuk tindakan lanjut).”
Ustaz Azizan menyambung:
“PAS, DAP dan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) hanya bekerjasama sebagai satu Pakatan Rakyat untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya lepas, bukan gabungan macam BN,"
Saya terbaca satu rencana dalam salah sebuah akhbar tempatan hari ini menyatakan betapa rencam politik Malaysia sebenarnya mencerminkan demokrasi “ala” Malaysia yang tidak terdapat di negara-negera lain. Akibat keunikan masyarakat berbilang kaum dalam negara kita, satu-satu kaum sukar berdiri sendiri untuk memegang kekuasaan politik kecuali mungkin di negara-negara majoriti satu-satu kaum. Itu pun contohnya di Pulau Pinang ia memerlukan sekurang-kurangnya gabungan dua parti. Di Kelantan walaupun dominan Melayu tetapi kuasa politik dipegang oleh PAS yang merupakan pembangkang di Pusat.
Semoga apa pun yang direncana serta dilaksanakan, tidak mencetuskan kesusahan kepada rakyat dan huru-hara. Biarlah negara ini terus aman dan makmur dan demokrasi terus subur.
Sunday, July 27, 2008
Saya pasti ramai yang menonton Buletin Utama TV3 malam tadi. Laporan bertulis berkenaan berita tersebut boleh didapati di Malaysiakini, iaitu kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mempersoalkan kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat.
Kata Karpal PAS mengamalkan sifat perkauman apabila berunding dengan Umno atas nama perpaduan Melayu (sebenarnya perpaduan Islam dan Melayu). Lantas tindakan PAS itu tidak lagi sejajar dengan dasar parti beliau Dap dan Pakatan Rakyat katanya. Menurut Malaysiakini lagi:
Karpal turut menyentuh cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam agar Umno dan PAS dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu."Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan dan implikasi yang serius," katanya dalam satu kenyataan.
Mungkin ada yang bersetuju dengan Karpal. Presiden dan Mursyidul Am PAS sepatutunya tidak berpendirian begitu. Bukankah Penasihat Dap Sdr Lim Kit Siang (ketika bangkit isu Pemuda PAS mencadangkan perlaksanaan siyasah syariah dalam negeri-negeri dipimpin PR baru-baru ini) pernah berkata bahawa Pakatan Rakyat ditubuhkan atas keyakinan bahawa Malaysia ini adalah sebuah NEGARA SEKULAR.
Jangan bangkitkan hal perpaduan Melayu, malah perpaduan Islam sekalipun.
Kita tidak boleh marah pada Karpal kerana dia kawan kita. Lalu apabila kawan marah-marah pada Presiden dan Mursyidul Am kita sendiri kita seharusnya bersama kawan dan menentang pemimpin-pemimpin kita yang tidak tahu berpolitik itu. Kita seharusnya menyusun inisiatif agar kepimpinan parti kita nanti tiada lagi yang seperti Presiden dan Mursyidul Am, kerana orang seperti mereka walaupun ulamak dan duduk dalam Majlis Syura kita tetapi hakikatnya tidak menghormati kawan yang telah banyak berjasa dan berkorban pada kita.
Ayuh kita arahkan pimpinan tertinggi kita itu memohon maaf pada Karpal.
Atau bagaimana pendirian saudara?
Saya mendapat maklum terus berkenaan ucapan Tuan Guru Presiden PAS di Perak. Ia banyak menyentuh tentang isu muqabalah dan beberapa penjelasan yang ternyata sebelum ini tidak sampai kepengetahuan ahli-ahli di akar umbi. Sudah pasti mereka yang berada di Majlis Konvensyen PAS Perak ke 13 yang dirasmikan oleh beliau itu bertuah kerana memperolehi maklumat terus darinya.
Di sinilah penting seluruh jentera kita memain peranan menyatakan intipati dan point-point penting dalam ucapan beliau itu semoga kita dapat lebih faham dan maklum akan perkembangan semasa yang sedang berlaku dalam parti kta sendiri.
Tetapi saya kesal kerana melihat tidak banyak saluran media parti yang memetik apalagi menonjolkan point-point yang kritikal itu. Saya harap ianya terjadi begitu kerana kelemahan mereka, tanpa niat. Satu sumber rasmi parti sekadar melaporkan:
PAS bersedia bertahaluf dengan rakan yang berlainan idealogi dan dipersetujui oleh Majlis Syura.Di sana ada titik persamaaan seperti, keadilan, menentang diskriminasi, penindasan. di atas titik yang sama ini Pakatan Rakyat ditubuhkan," jelasnya.
Berilah peluang kepada Presiden untuk memimpin dan mengemudi jemaah kita dalam tempuh kepimpinan beliau ini.
Beberapa perkembangan yang berlaku kebelakangan ini seharusnya mencetuskan naluri kita untuk berfikir dan mengambil sikap. Kita memang sentiasa diunjurkan agar berlapang dada dan bersikap terbuka khususnya dalam hubangan antara dan sesama kaum dalam negara. Kemajuan dan kemakmuran negara hanya akan dapat dicapai kiranya wujud perpaduan kaum. Itu realiti yang penting.
Dalam waktu yang sama oleh kerana orang Melayu dan umat Islam merupakan segmen teras dalam negara, maka toleransi mereka sangat kritikal. Begitu juga sensitiviti yang melibatkan kaum, lebih-lebih lagi anutan dan pegangan mereka perlu sentiasa terpelihara.
Ketua Pengarang akhbar The Star, seorang bukan Melayu, menyentuh darihal tindakan parti Gerakan (komponan BN yang didominasi kaum Cina) menaikan papan tanda berbahasa Cina di beberapa jalan utama di Pulau Pinang (dan kemudiannya diturunkan oleh pihak penguatkuasa PBT). Khabarnya Gerakan bertindak demikian kerana semasa mereka memerintah dahulu DAP telah menaikkan papan tanda yang sama.
Dan dalam mengambil bahagian di dalam polemic inis eorang ADUN Pulau Pinang (anak Karpal) mencadangkan dimasukkan juga bahasa Punjabi sekali.
Dizaman moden ini buatlah sesuka kamu, kenapa tak masuk bahasa Kadazan, Iban, Tagalog, Siam dan lain-lain. Mungkin papan tanda jalan-jalan nanti sebesar billboard raksaksa di Petaling Jaya kerana mahu memasukkan semua bahasa dan dailek yang penting-penting.
Lalu kemana kesudahan kita?
Kalau kita menyatakan biar kekal bahasa Melayu sahaja kerana ia bahasa Kebangsaan dan diperuntukkan dalam Perlembagaan, nanti orang kata kita “ultra” dan cavunis Melayu. Tambah pula di beberapa negeri majoriti Melayu, bahasa Jawi pun terdapat di papan-papan tanda di sana (tanpa menyedari bahawa bahasa Jawi itu adalah abjad Arab yang digunakan oleh orang-orang Melayu sejak sebelum kedatangan bangsa-bangsa lain ke sini).
Saya teringat ketika MB Kedah yang baru meletakkan tulisan jawi pada plat kereta rasmi beliau, ia turut dijadikan isu oleh sesetengah pihak sehingga dibuat laporan kepada JPJ negeri!
Apa ada pada tanda jalan?
Kenali Malaysia, cintai Malaysia.
Friday, July 25, 2008
Saya perhatikan apa yang berlaku di JKR10 dua hari lepas adalah isyarat kepada ahli-ahli PAS agar segera merapatkan saf dan membulatkan tekad. Segala kekeliruan dan kekusutan bagi saya telah berjaya diselesaikan dalam majlis itu, Presiden dan Mursyidul Am telah sepakat, dibayangi pula oleh badan Syura Ulamak PAS.
Presiden PAS walaupun dalam keadaan uzur telah bergegas ke Kota Bharu bagi memastikan masalah yang menghinggapi partinya akan segera selesai dan dapat diatasi kerana agenda untuk memartabatkan Islam masih jauh lagi perjalanannya. Semua yang hadir di Kota Bharu memikirkan darihal nasib dan masa depan Islam dan bukankah PAS mempunyai prinsip dan cita-cita perjuangan yang jelas begitu.
Saya yakin ramai yang lega dan berpuas hati selepas selesai majlis di JKR10 itu.
PAS adalah sebuah jemaah Islam, maka seharusnya kita bergerak dalam kerangka sebuah jemaah. Kata Saidina Ali r.a: “Kekerohan yang terdapat dalam jamaah lebih baik daripada kejernihan terdapat pada diri perseorangan.”
Dan Rasulullah saw mengingatkan kita:
Hendaklah kamu bersama jamaah dan janganlah kamu berpecah. Sesungguhnya syaitan akan menghampiri orang yang berseorangandan menjauhkan diri dari orang yang berdua. Sesiapa yang ingin berada di tengah syurga, maka ia hendaklah sentiasa bersama jamaah. (Tarmizi)
Saya bimbang apabila terdapat arus untuk melemparkan keraguan dikalangan ahli-ahli terhadap kepimpinan mereka. Dan di sini kita bukan memaksudkan satu dua pimpinan tetapi dari Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Mursyidul Am, Timbalan Presiden dan seluruh anggota Majlis Syura Ulamak PAS. Kalau satu dua, atau sekerat dua yang mungkin tercalar dan diragui akhlaknya mungkin kita boleh percaya tetapi sekelompok pimpinan, ditangkap borong, diragui dan dicemuh, seharusnya kita berwaspada dan berhati-hati dan kembali berpegang kepada kebenaran.
Di luar sana. Macam-macam dusta dan nista dilemparkan terhadap pimpinan kita. Kunjung sebentar ke Malaysia Today dan lihat pemimpin-pemimpin kita dimaki hamun dengan kata-kata kesat dan lucah. Adakah kita termasuk dari kalangan mereka yang juga yakin memang begitu, memang pemimpin kita ini telah menjual maruah, memang pemimpin kita ini melayan runtunan nafsu masing-masing. Lalu memang layak mereka diperlakukan begitu
Fikirlah sejenak, jangan melayan tuntutan nafsu serakah.
Raja Petra yang pernah satu ketika dahulu menulis dalam Harakah dan kini diraikan oleh PAS sebagai kawan, sesuka hatinya menulis:
PAS constantly talks about Islam the way Paris Hilton talks about sex.
Begitu juga dengan beberap kerat penulis lain, yang tiada pun ikatan dan naungan langsung dengan parti dan jamaah kita.
Ini parti kita, ini pimpinan kita. Keputusan yang mereka buat kita yakin bersandarkan maslahah jamaah dan umum dan bersandarkan nas dan hukum. Ini Majlis Syura Ulamak PAS, bukannya badan maksiat atau kumpulan pelawak atau artis,! Mengapa kalau pun kita tidak dapat menerima, tetapi kita tergamak mengikut arus yang meruntuhkan kepimpinan yang sama-sama kita bina zaman berzaman?!
Saya sedih melihatkan fitnah dan mehnah yang berligar yang bermaksud menjatuh dan memecahbelahkan pimpinan tertinggi parti. Tetapi kerana saya (dan saya percaya ramai lagi di luar sana) telah menambatkan jiwa saya untuk bernaung di bawah “Kepimpinan Ulamak” saya yakin Allah swt akan memelihara mereka, dan membuka jalan, menyelamatkan jamaah ini, biarpun ada yang bernafsu mengikut telunjuk yang tidak lagi terikat dengan gagasan ulamak.
Bangkitlah saudara, jangan pimpinan tertinggi dimaki hamun oleh sesiapa sahaja yang ada, kita duduk berpeluk tubuh seronok dan terhibur.
(artikel saya ini terbit dalam ruangan “Menongkah Arus” Harakahdaily)
Kebelakangan ini kita banyak melihat PAS khasnya melalui Dewan Pemudanya sering melakukan protes sama ada terhadap kerajaan negeri milik bersama Pakatan Rakyat mahupun kerajaan yang diterajui BN. Ianya bukan sesuatu yang baru tetapi lebih kerap kebelakangan ini.
Terbaru Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan nota bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung konsert yang melibatkan artis Indonesia kontroversial, Inul, yang dijadual diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 27 Julai ini.
Sebelum itu Pejabat Daerah Johor Bharu telah membatalkan konsert yang sama yang sepatutnya diadakan di daerah tersebut 19 Julai lalu. Khabarnya Dewan Pemuda PAS Johor adalah antara yang terlibat membantah program itu. Mengapa penting sangat kita membantah acara-acara ini, sebagaimana Dewan Pemuda Selangor merasakan penting membantah konsert Ella dan Mas Idayu di Stadium Shah Alam baru-baru ini?
Sudah pastilah ianya kait-mengait dengan asas dan dasar perjuangan kita. PAS adalah sebuah gerakan Islam dan jelas terpahat kukuh Islam sebagai dasarnya dan Islamlah juga tujuan dan matlamat perjuangannya. Lantaran itu terpikullah atas kepala bahu setiap ahli dan pendukungnya, amanah untuk memastikan yang Islam dalam apa keadaan sekalipun diperjuang, dipertahan dan dipelihara.
Allah SWT berfirman:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.
(ali Imran: 104)
Lalu dalam hal ini, PAS lah puak itu, dan tindakan PAS melalui Dewan Pemudanya itu merupakan manifestasi dari pegangan ahli-ahli PAS terhadap ayat ini malah seluruh yang dituntut dan diseru serta dijanjikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan oleh Rasul s.a.w. melalui sunnahnya.
Kerana itu PAS tidak boleh berdiam diri dalam isu-isu kemasyarakatan dan negara khasnya yang melibatkan Islam, nasib dan masa depannya. Isu-isu Islam sama ada yang kecil atau remeh sehinggalah yang besar dan yang berkaitan dengan kenegaraan, hukum dan perundangan akan terus diperjuangkan sebagaimana yang ternukil di dalam perlembagaan parti.
Mungkin ada sesetengah pihak merasakan tindakan PAS membuat bantahan terhadap konsert itu sesuatu yang tidak signifikan. Ternyata mereka ini tidak mengenali PAS. PAS sama ada dalam keadaan ia menang besar atau tinggal satu kerusi parlimen, tanpa satu negeri pun yang ditadbir, tetap konsisten dalam usaha-usahanya. Jika tidak ia seolah menggugurkan prinsip dan dasar perjuangannya yang didukung sejak lebih 50 tahun lalu.
Kerana itu sejarah telah membuktikan PAS, sama ada dalam keadaan bersendirian atau bertahaluf dengan pihak lain, tidak pernah sekali-kali bersetuju atau bersedia menggadaikan prinsipnya kerana kemahuan kawan atau tuntutan kuasa. Dalam apa keadaan pun redha Allah adalah lebih penting dari redha manusia dan populariti. Inilah dasar yang dipertahankan oleh para pengasas kita, membawa ke zaman Almarhum Dr Burhanuddin, Almarhum Prof Zulkifli, sehingga ada yang keluar masuk penjara, tercedera hatta syahid di Memali.
Kerana itu PAS akan terus berjalan sama ada bersendirian atau berkongsi kuasa bagi menerokai jalan untuk memungkinkan Islam mendapat ruang dan peluang untuk dilaksana dan dinobatkan. Sesiapa sahaja yang membuka ruang dan peluang itu akan menjadi rakan PAS dan sesiapa sahaja yang mengekang atau menghalangnya akan ditinggalkan oleh PAS.
Kita mahu melihat 50 tahun berikutnya, PAS menempuh era baru dimana dasar dan perjuangannya diberi pengiktirafan dan dihormati serta diterima oleh semua. Itulah perjuangan kita dahulu dan itulah perjuangan kita insya Allah sampai bila-bila.
Saya tidak tahu apakah ia benar akan terjadi atau sekadar satu khabar angin, gerak saraf kelompok yang kecewa dan tidak berpuas hati. Apa pun saya berharap ia tidak terjadi kerana sejak kedua-dua Tok Guru yang ditemani anggota terkanan Majlis Syura selesai meredakkan kekusutan di JKR10 baru-baru ini PAS sepatutnya “move forward”.
Parti Islam yang lebih separuh abad usianya ini mempunyai agenda yanglebih penting iaitu memartabatkan Islam, yang kita warisi dari junjungan kita Nabi Muhammad saw.
Tetapi kalau anda merasakan ianya hak anda untuk bersuara, berhimpun di Pejabat Agung bagi menunjuk perasaan anda, menentang ini atau itu atau menyokong ini atau itu, itu hak anda. Terpulanglah. Kita mungkin boleh menang sorak, tapi jangan sekali-kali sehingga parti tergadai.
Kebetulan saya terbaca posting adinda Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz di http://nikabduh.wordpress.com/2008/07/24/hidangkanku-secangkir-kopi-panas/ ,
yang menyatakan:
Muzakarah itu damai. Muqabalah itu damai. Ia berbeza pada bezanya dan ia sama pada samanya.
Anda melihat balah dua ulama pada sisi pandang balah PAS-UMNO. Ah, langit dan bumi antara keduanya. Mereka menjunjung al Quran sedang yang satu lagi, satunya menjunjung, satu lagi memijak! Samakah?
Sekarang, ayahanda telah kata, tiada beza antara kami. Pertemuan dibenarkan.. Ya, mereka orang politik. Takkan nak bincang matematik. Mereka bincang politik. Politik itu kehidupan. Politik itu dunia dan akhirat.
Sesetengah anda merancang untuk berhimpun di pejabat agung menyatakan sokongan pada tok guru. Apa, kamu ingat menyayangi tok guru adalah dengan membenci tok guru yang lain. Kamu ingat menyayangi Ali adalah dengan membenci Umar. Bodoh..
Perang berjalan, manakala damai, berikan jalan untuknya.
Semoga PAS di bawah “Kepimpinan Ulamak” akan mampu memacu Islam ke tempatnya yang sepatutnya, insyallah.
Thursday, July 24, 2008
Salah satu perbezaan ketara antara parti Islam dengan lain-lain parti adalah bahawa urusannya diikat dengan adab dan akhlak berjemaah yang diyakini sentiasa dianungi oleh rahmat Allah swt. Tambahan pula apabila jemaah itu ditunjangi oleh kepimpinan ulamak.
Kita mungkin berbeza pendapat tentang satu-satu isu tetapi apabila kita duduk, diteduhi pula oleh salah satu akhlak kritikal dalam jemaah iaitu ikhlas, maka segala yang kusut dapat dileraikan kerana Allah swt. Dan siapa lagi yang lebih teruji keikhlasannya jika tidak dikalangan para ulamak yang konsisten dan teguh dalam pendirian dan amalannya.
gambar Siasah
Ikhlas ini lahir apabila kita berjaya membersihkan hati dari sifat-sifat yang merosakkan niat seperti ujub dan sum'ah. Allah swt berfirman:
Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.
(al Bayinah: 5)
Saya terpaksa akui memang terdapat kegusaran dalam parti apabila Mursyidul Am cuba dipaparkan seolah tidak sehaluan dengan Presiden dalam isu pertemuan Umno-PAS. Tetapi saya melihat kedua-dua tokoh lebih menyedari apa yang cuba dimainkan dan atas inisiatif mereka, walaupun jadual masing-masing ketat, dan Tuan Guru Presiden pula baru kebah dari keuzuran beliau, diusahakan juga pertemuan antara keduanya. Dan dengan ditemani pimpinan yang duduk dalam Majlis Syura Ulamak PAS, akhirnya kedua-dua terbit duduk berunding, bertukar-tukar pandangan berteraskan ilmu dan pengalaman masing-masing. Akhirnya terbit dengan satu suara dan satu nada.
Alhamdulillah, saya percaya semua yang turut ikhlas, tumpang gembira dan bersyukur.
Sekarang kita tidak perlu memilih samada mahu menyokong Mursyidul Am atau Presiden kerana hari ini terbukti kedua-dua pimpinan terpenting gearakan Islam ini berkongsi satu iltizam. Mudah-mudahan Allah swt sentiasa menanungi kita dengan rahmat Nya dan terus menempatkan para ulamak sebagai benteng dan teras kepimpinan kita.
Tuesday, July 22, 2008
Baru sahaja Presiden PAS mengakui yang PAS memang ada membuat pertemuan dengan Umno bagi merintis jalan membincangkan hal Islam dan Melayu, terus-terusan pelbagai rekasi diterima samada dari kalangan pimpinan PAS, ahli-ahli, mereka yang mengundi PAS, orang awam, termasuklah mereka yang mengakui dirinya PAS.
Ada yang memberikan rekasi positif ada juga yang tidak bersetuju dan ada yang mahukan penjelasan lanjut. Apa pun ternyata pengakuan berani Tuan Guru Presiden itu telah mendapat tumpuan seluruh rakyat termasuklah pimpinan gerakan Islam sedunia.
Tuan Guru Presiden baru membuat kenyataan ringkas enam perenggan, tetapi sudah ada yang mahu bersilat, mahu menerajang, mahu menjatuhkan hukum malah ada yang tergamak mencabar beliau agar keluar PAS! Itulah politik, kalau semuanya sedap dan mudah, bukan politik namanya.
Saya masih ingat pada akhir 70an dan awal 80an kehadiran beliaulah yang telah menyuntik semangat para pejuang PAS untuk menjulang parti itu kembali bertapak dihati umat Islam. Berpayungkan semangat “Kepimpinan Ulamak” gelombang yang dipelopori beliau dan rakan-rakan pimpinan muda ketika itulah yang telah menarik minat ramai untuk kembali kepada PAS setelah saham PAS jatuh dipenghujung era Asri Muda.
Ketika saya masih menuntut di IPTA majalah yang berpusat di Hong Kong “Asiaweek” telah menobatkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai “the greatest orator in South East Asia” (pemidato tersohor di Asia Tenggara). Beliau bukan sekadar menjelajah Malaysia malah ke setiap pelusuk dunia, berforum, berdebat mempertahankan Islam disaat ramai kita sudah berputus harap pada kebangkitan semula PAS. Mungkin ada diantara kita yang panas dan bergelojak darah mudanya hari ini masih belum pandai berjalan lagi pun ketika itu.
Kaset-kaset dan rakaman Tuan Guru lah (termasuk kaset pengajiannya dari Rusila dan Masjid Mujahedeen, Damansara Utama) yang telah menambat hati anak-anak muda untuk mendekati gerakan Islam malah ramai pimpinan yang ada pada hari ini samada secara langsung atau tidak telah terpengaruh dengan PAS hasil didikan dan sumbangan beliau ketika itu. Disaat itu PAS terpaksa bersaing dengan gerakan dan badan Islam lain di Malaysia, ABIM, Arqam, Tabligh dan lain-lain sehingga hampir ia tenggelam tetapi Tuan Guru dan rakan-rakan ketika itulah benteng kekuatan PAS.
PRU 1982, melalui kepimpinan beliau PAS telah menembusi kubu kuat BN di Terengganu sehingga akhirnya melontarkan beliau dan 4 orang pimpinan lain masuk ke DUN Terengganu setelah sekian lama ia gersang dari suara PAS (Tuan Guru terus menjadi YB samada ADUN atau ahli Parlimen atau kedua-duanya sejak itu sehingga kini). Anjurlah apa pun ceramah ketika itu tetapi jika dibariskan bersekali dengan kehadiran Tuan Guru pasti melaut bilangan yang hadir.
Lantaran sumbangannya yang terlalu besar itulah maka hari ini setelah perginya seorang mujahid besar, Almarhum Ustaz Fadhil Nor, maka Tuan Guru naik memegang amanah sebagai Presiden PAS atas kesepakatan dan pengiktirafan semua.
Kikislah segala prasangka dan pandangan buruk terhadap beliau. Janganlah kerana marah dan tidak sebenarnya faham akan apa yang berlaku lalu kita mudah meletakkan insan besar ini setaraf dengan musuh-musuh kita yang lain.
Benar Tuan Guru bukannya Fadhil Nor, bukan juga Yusof Rawa atau Asri atau Burhanuddin al Helmy atau Zulkifly Muhammad, tetapi beliau pada hari ini mengetuai PAS dalam keadaan posisinya yang paling hebat dalam sejarah parti yang lebih separuh abad usianya itu. PAS berada ditahap pencapaian itu pada hari ini bukan kerana beliau seorang, tetapi sumbangan seluruh anggota jemaah, walaubagaimanapun hakikatnya PAS hari ini berketuakan beliau.
Berilah ruang dan peluang pada beliau. Berbaik sangka dan berlapang dadalah insyallah kepada Tuan Guru Rusila yang darahnya mengalir pekat dengan kecintaan pada Islam yang tidak pernah kunjung padam itu.
Ubaidah bin al Samit berkata Nabi saw memanggil kami maka kami melakukan mubayaah kepadanya. Nabi menyatakan tentang tanggungjawab kami iaitu:
Hendaklah kami bermubayaah untuk dengar dan patuh dalam keadaan kami suka atau kami benci, dalam keadaan senang atau susah dan juga janganlah kami pentingkan diri sendiri dan janganlah kami mempertikaikan arahan ahlinya (pemimpin) kecuali apabila kamu melihat kekufuran yang nyata sedang berlaku dengan berdasarkan dalil dari Allah swt.
Ya Allah berilah kekuatan kepada pemimpin kami untuk memimpin kami berdasarkan seruan dan tuntutan Mu. Dan berilah kekuatan kepada kami untuk bersama-samanya dalam kedaaan senang atau susah demi memartabtkan agama Mu.
Monday, July 21, 2008
We may have our own opinion, tetapi berilah ruang untuk mendengar pandangan orang lain. Terima kasih adinda Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz
politik damai
Julai 21, 2008
Salam Kamunting,
Ramai datang bertanya saya mengenai rundingan PAS-UMNO. Saya jadi laku untuk disoal sebab saya sendiri telah menulis di laman ini mengenainya. Saya menyokong, sedang yang bertanya itu pelbagai. Ada yang datang bertanya sambil membawa kalungan tahniah, ada yang membawa selambak kekeliruan dan yang betul - betul berang dan marah, belum datang lagi walaupun ada yang memang betul - betul berang dan marah dengan tulisan saya.
Bila saya jawab, harapan saya ia menenangkan mereka. Itulah harapan daripada sebuah jawaban. Tapi, siapalah saya untuk menenangkan semua, sedang persoalannya adalah besar. Ia isu terbaru politik semasa walaupun ia bukanlah baru dalam politik Malaysia, apatah politik Islam.
Saya rasa elok untuk dikongsi beberapa persoalan dan jawaban yang merungkai.
1) Bila Islam akan berdaulat di Malaysia dan bagaimana?
Jawaban saya: Bila itu janji Allah. Bila Allah berjanji maka janjiNya adalah benar dan dekat. Dunia ini terlalu dekat dan akhirat itu tidak jauh. Cukuplah bagi seorang mukmin itu sebuah keyakinan yang terpaku di hatinya. Keyakinanlah asas segala pergerakan dan natijahnya.
Bagaimana? Ia berlaku dengan sunnah Allah dan jadualNya. Islam itu milikNya dan kita hanya menikmati perjalanannya. Apabila Allah menghendaki, dijadikan hambaNya yang beriman itu tersedia dengan kekuatan yang cukup, kualiti dan kuantiti, lalu tercetuslah kemenangan yang di nanti.
Kualiti itu mendahului. Ia bermaksud taqwa, ikhlas dan menjadikan ar Rasul sebagai ikutan ( mutaba’at ul Rasul ). Kemudiannya adalah kuantiti. Dihijrahkan ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam demi menyempurnakan tuntutan bilangan yang diperlukan untuk sebuah kemenangan Islam. Dulu satu mampu menewaskan sepuluh. Adapun untuk ummat Nabi akhir zaman, ia memerlukan satu jumlah yang lebih baik ( Rujuk al Anfal:64-65 ).
Bagaimana di Malaysia? Ia sama. Sunnah Allah berjalan. Dalam bicara konteks demokrasi pilihan raya hari ini, Islam akan berdaulat dengan penyempurnaan tuntutan sunnahNya jua.
Kita perlukan undi kualiti. Setiap kita ada satu undi. Tetapi undi seorang ‘Carburator Dung’ untuk PAS tak sama dengan undi seorang tuan guru. Undi tuan guru mengaut ribuan undi pengikutnya. Itulah undi kualiti. Jikalah kita pemilik undi kualiti..
Maka tiadalah jalan untuk perjuangan ini tanpa kehadiran para ulama yang bertaqwa.
Kemudian, kita perlukan undi umat Islam yang ramai. Islam didaulatkan oleh umatnya jua. Tiada dalam sunnah Allah golongan bukan Islam menjadi pendukung kemenangan sebelum umat Islam sendiri. Mereka sekadar membantu. Sesetengah mereka yang dibuka pintu hatinya oleh Allah. Allah memegang hati setiap manusia.
Bangsa Melayulah yang akan memenangkan Islam di Malaysia jika ianya hari ini. Melayu adalah kekuatan Islam. Yang akan memenangkan Islam di Malaysia adalah Melayu PAS, Melayu UMNO dan semua Melayu. Kemudiannya adalah undi muslim bukan Melayu. Undi mereka mungkin lebih berkualiti tetapi bukan pada kuantitinya.
Kemudiannya pula adalah undi bukan Islam. Beberapa individu bukan Islam ( musyrikin ) membantu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam di dalam perjuangan baginda. Di dalam negara kita, akan ada sekelompok bukan Islam yang terpesona dengan Islam dan kecewa dengan sistem lain yang akan membantu Islam. Ramaikah? Mungkin, tetapi ia tak mungkin diimpikan daripada mereka melebihi harapan kepada umat Melayu Islam sendiri.
Gobala mungkin ya, tetapi belum lagi Tian Chua, apatah Xavier Fernandes.
Di Kelantan, Islam tidak menang kecuali sesudah Melayu UMNO dan Melayu atas pagar beralih kepada PAS. Samada mereka mendaftar sebagai ahli PAS atau Allah memaut hati mereka untuk mengundi PAS. Jadilah PAS menang dalam demokrasi berpilihan raya.
Justeru, kemenangan Islam adalah melalui gerakan Islam yang dipimpin ulama ( kualiti ) dengan sokongan bangsa Melayu seramainya.
Jika anda memahami ini, maka anda akan faham mengapa orang UMNO begitu bernilai untuk PAS demi kemenangan Islam.
Jika anda memahami ini, maka anda akan faham bagaimana mendekati UMNO adalah tuntutan yang tidak akan berubah dan pudar.
Jika anda memahami ini, anda akan faham betapa berusaha memecahkan tembok keras UMNO yang memagari dan menutup orangnya daripada didekati adalah tuntutan sepanjang masa.
Jika anda sudah faham, fahamilah bahawa berunding dengan UMNO yang telah membuka pintu itu adalah peluang keemasan untuk memperkenalkan Islam kepada ahli UMNO yang telah lama dikongkong pemikiran mereka.
Saya mengupas dalam konteks kita di dalam sistem demokrasi hari ini. Allah lebih tahu bila dan bagaimana sebenarnya. 1% adalah usaha, 99% adalah tawakkal. Sekelumit kecil daripada kita. Itupun kerana Allah inginkan untuk kebaikan kita. Seagungnya adalah penyerahan segala daya dan upaya kepada Allah jua. Itulah akidah kita para pejuang.
2) Tidakkah UMNO itu ditakuti kejahatan mereka dan disempadani tipu daya dan makar mereka? Apa lagi yang diharapkan daripada mereka selepas mereka sendiri menetang Islam mendahului DAP sendiri?
Jawaban saya: Ya, sejarah kejahatan UMNO siapa boleh mengubahnya? Tipu daya adalah sebahagian kejahatan. Tetapi, adakah penyelesaiannya adalah dengan hanya menjauhinya? Sedang anda memerlukan orang UMNO untuk didekati. Memanggil dari jauh tidak sama dengan memanggil dari dekat. Dari dekat anda mudah didengari dan mudah dikenali.
Adakah kita ini buruk sehingga dijauhi sesudah dikenali atau kita pasti didampingi sesudah dikenali kebaikan kita?
Kemudian, adakah kita sudah begitu lemah untuk berhadapan tipu daya mereka? Mengaku kalah sentiasa selepas perit ditipu berkali - kali. Adakah kita lemah atau bilakah pula kita akan gagah? Tidakkah kita sendiri yang berkata dan berbangga bahawa kitalah lebih kuat hari ini?
UMNO jahat kerana mereka berkuasa. DAP sudah pun tunjuk belang sebelum mereka berkuasa. Mereka tidak pernah menerima sistem Islam. Hanya wujud beberapa individu yang tampak bersedia menerima. Apa beza dengan UMNO? Anda yakin mereka lebih baik? Yakin? Atau itu hanya satu telahan daripada jutaan. Anda kata UMNO sudah terbukti. Saya kata, DAP sudah terbukti. Adakah anda menunggu bukti sesudah mereka berkuasa?
Kemudian, sudahkah anda membaca dan memahami ayat ini ( al Anfal:61-62 ) sejelasnya sebelum anda bermati - matian bertempik - tempik menolak rundingan dan menganggap bodoh terhadap penerima rundingan ( sebagaimana ucapan seorang pemimpin di PUTIK ) ?
Mari saya tuliskan maksudnya: “Dan jika sekiranya mereka ( musuh ) condong untuk berdamai, maka condonglah kamu kepadanya ( terimalah perdamaian ) dan bertawakkallah kepada Allah. sesungguhnya Dialah tuhan yang maha mendengar dan maha menegtahui. Dan jika mereka mahu menipu dayamu, maka cukuplah Allah untukmu ( sebagai pelindung ). Dialah tuhan yang memperkukuhkan engkau dengan pertolonganNya dan dengan orang - orang yang beriman.”
Lebih cemerlang jika anda memahami bagaimana ayat ini menyusul selepas ayat ke 60 dan disusuli ayat 63. Di situ ada keindahan sungguh. Belajar berilmu dan jangan asyik membodohkan orang. Nanti kamu diperbodohkan.
Ayat di atas mudah difahami maksudnya. Tetapi anda akan lebih jelas jika menelaah tafsirnya. Cari dan baca sendirilah. Saya malas nak tulis panjang - panjang.
Kemudian pula, sudahkah anda meneliti dan fana dengan fiqh perjanjian Hudaibiyah di antara ar Rasul dan kaumnya yang musyrikin di Makkah? Jelaskah di kotak faham anda bagaimana demi perdamaian dan keluhuran, ar Rasul memilih penangguhan 10 tahun ( atas kertas perjanjian ) memasuki Kota Makkah dengan kemenangan daripada memilih kemungkinan kemenangan keesokannya melalui serangan dan libasan pedangnya yang perkasa ke atas kota pembukaan itu?
Cerita panjang Hudaibiyah bacalah sendiri. Ada masa saya akan ulas, insya Allah. Sekarang saya malas.
Kita hanya tahu politik perang dengan UMNO. RasuluLlah tahu berperang dan tahu berdamai dengan UMNO Makkah. Baginda mengajar kita politik.
Adakah anda tak nak belajar politik damai sesudah anda mahir politik perang? Nak tak nak? Hah..?
Atau, jika anda mahu menjenguk ke Palestin hari ini, maka di sana ada pelajaran.
Israel itu zalim dan terzalim. Ia membunuh dan membakar. Antara senjatanya, perjanjian damai. PLO seribu kali terperangkap dalam perdamaian. Kemudian datang HAMAS yang lebih baik sebagai pengganti demi perjuangan yang lebih suci.
Adakah HAMAS berkata, NO for peace with Israel? Tidakkan? HAMAS terlibat dengan pertemuan, rundingan dan gencatan senjata dengan Yahudi itu. Bezanya, HAMAS lebih sedia dan lebih cemerlang berbanding PLO dan Fatah sebelumnya. HAMAS pun ditipu, tetapi Israel mengaku HAMAS semakin kuat.
Begitu politik damai!
PAS dan HAMAS, pada perjanjian Hudaibiyah itu adalah ikutan yang baik buat semua pejuang Islam.
Saya tidak akan kata PAS pasti bertambah kuat selepas berdamai dengan UMNO. Saya hanya akan kata, PAS mungkin akan bertambah kuat. Pandai - pandailah pemimpin kita bawa diri. Struktur parti PAS gagah untuk membuat keputusan. Saya yakini.
UMNO tidak akan rugi jika PAS kuat. UMNO hanya rugi jika mereka semakin jauh daripada Islam. PAS untuk semua. PAS untuk UMNO dan PAS untuk bukan Islam juga.
3) Bagaimana dengan PKR? Tidakkah kita diangap pengkhianat? Kita pengkhianat rakyat?
Saya yakin PKR tidak akan dipinggirkan. Salah besar jika PAS meminggirkan PKR. Tetapi salah lebih besar jika PKR meminggirkan Islam. Jika PKR meminggirkan kepentingan Islam, PKRlah yang mengkhianati PAS.
Saya hanya tahu bahawa PAS berkerja sama dengan PKR sesudah wujud persefahaman bahawa PKR, jika diberi kuasa bersama, mereka akan memberi ruang lebih selesa untuk Islam dan menyekat usaha - usaha membantutkan laluan kepada Islam. Itulah yang saya tahu dan itulah yang anda kena tahu kerana itulah siasah syar’ieyah pada segala maksudnya ( maqasid ).
Selepas pilihan raya yang menyaksikan segenggam kuasa telah diberi dan PKR diberi mandat untuk terus memburu kuasa, PAS menuntut satu penegasan semula atas jaminan sebelumnya.
Apakah jaminan untuk Islam yang lebih baik jika bersama PKR? UMNO sudah datang dengan tawaran baru yang tidak pernah dicadangkannya sebelum ini. UMNO datang begitu sebab mereka lemah dan mereka mengaku kita kuat hari ini. Saya yakin tawaran UMNO menggiurkan. Di dalamnya ada madu. Di dalamnya ada racun juga.
PAS perlu mengukur pada pengukur Allah. PAS hanya setia pada satu iaitu Islam. Selagi Islam, PAS tidak akan khianat pada rakyat. Ini, kecualilah rakyat lari daripada Islam. Maka jangan kata PAS khianat. Yang khianat ialah rakyat.
Politik tiada hukum selain siasah syar’ieyah. Siasah syar’ieyah bergerak bagai air yang mengalir. Di mana Islam dijunjung, di situlah ia bertakhta.
Jangan hidup dalam teka teki kehidupan. Teka teki membingungkan. Hiduplah pada yang pasti. Tiada yang pasti selain Islam.
4) Adakah PAS akan bergabung dengan BN?
Dua yang saya tahu dan dua yang saya tak tahu.
Yang saya tahu ialah pertemuan telah berlaku. Mungkinkah akan wujud persefahaman, saya tak tahu.
Yang saya tahu ialah tiada pernah wujud usaha bergabung dengan BN. Ia jauh sekali dari tuntutan siasah syar’iyah hari ini. Mungkinkah ia berlaku, saya tak tahu.
Saya harapkan persefahaman berlaku demi Islam. Saya tak harapkan penggabungan berlaku. Saya tak nampak baiknya berbanding hodohnya.
5) Tidakkah ahli PAS akan marah jika perdamaian PAS - UMNO berlaku? Bagaimana jika rakyat marah, apatah bukan Islam?
Adakah anda boleh bayangkan ahli PAS akan marah pada pemimpinnya? PAS bergerak dalam kerangka sebuah gerakan Islam. Ia hidup dengan kekuatan sendiri yang tiada dalam parti politik lain. Dengan jaminan seorang ketua dan syura yang ditaati, adalah sukar dibayangkan ahli bangkit melawan.
Marah itu mungkin berlaku. Marah itu tanda sayang. Marah itu akan reda bila datang keredhaan.
Ya, rakyat mungkin marah sesetengahnya. Tapi ia akan diganti dengan yang lain. Rakyat adalah sokongan yang ditagih, tetapi dalam politik ia seperti angin. Ia datang dan ia berlalu. Yang tetap hanyalah daripada yang memahami perjuangan.
Begitulah bukan Islam. Dalam sejarah politik Malaysia, PAS bukan pengkhianat bangsa dan negara, apatah agama.
http://nikabduh.wordpress.com
Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang memberikan pandangan khusus terhadap isu pertemuan antara pimpinan Umno-PAS atas isu kepentingan Islam dan bangsa Melayu. Saya sedar masing-masing individu punya pandangan masing-masing, dan memang kita berhak pada pandangan kita masing-masing.
Saya memberikan beberapa posting sebelum ini menyatakan ketidakpuasan hati saya terhadap beberapa reaksi pihak ketiga yang tersasar dari semangat sebenar isu pertemuan itu. Rasa saya, saya tidak pernah menafi atau mengiakan pertemuan itu sebelum ini kerana itu bukan kerja saya, dan adab berjemaah tidak memberikan ruang dan laluan bagi saya untuk mendahului pimpinan.
Apa yang pernah saya dedahkan sebelum ini adalah berita-berita “half truth” dan fitnah yang disebarkan oleh pihak dan individu tertentu kerana mahu mensensasikan isu pertemuan itu (kalau kerana itu saya dikatakan pembelit dan sebagainya, silakan), atas niat yang mereka sahaja ketahui. Ianya telah di “spin” oleh mereka sehingga menampakkan seolah semuanya buruk dan hodoh belaka, dan malah sampai keperingkat membahayakan keselamatan pimpinan tertinggi.
Kita boleh kritik, dan memang kita berhak menegur, tetapi jangan sampai menokok-tambah bagi menampakkan cantik apa yang mahu kita hujahkan sedang pada hakikatnya ia bersandar pada kepalsuan. Ada orang pernah sebut contohnya Timbalan Presiden PAS berpeluk-pelukan dengan Najib Tun Razak di London, sedangkan ianya tidak pernah berlaku, lalu tidakkah itu fitnah?
Ada pihak pula memperkenalkan teori “Terengganu” kononnya inisiatif ini diambil oleh mereka yang “desperado” kerana Terengganu kalah sedangkan negeri lain menang. Lantas apabila kenyataan terbaru Presiden menyebut bahawa segala yang berlaku dimaklum oleh jawatankuasa Pusat malah turut melibatkan badan tertinggi parti iaitu Majlis Syura, jadi bagaimana?
Ni soal masa depan Islam, bukannya nak menobatkan sesiapa jadi juara, seorang blogger malah menurunkan komen di sini sambil menulis:
Saya pergi tengok artikel tuan di Tranungkita, nampaknya lebih ramai yang simpati dgn artikel yang saya publish berbanding dgn artikel tuan. Tulang Besi.
(Jangan ghairah dengan bilangan yang memberi komen menyatakan simpati, ianya subjektif, seorang yang berniat serong boleh memberi 1,001 komen atas pelbagai nama untuk nampakkan Tuan hebat........... begitulah dunia alam maya ini)
Apa pun insiatif yang diambil bukan keputusan peribadi tetapi masih dalam lingkungan jemaah. Janganlah kerana kita secara peribadi tidak setuju dengan inisiatif ini maka kita menyerang dengan pelbagai tohmahan termasuk kononnya nak “main belakang”, konon kerana pemimpin itu dan ini “gila kuasa”, tidakkah itu sekaligus menghukum kesemua ahli majlis syura ulamak juga sedemikian?
Bolehkah kita berlapang dada dan bersama-sama mendoakan demi Islam dan masa depan ummah, jika inisiatif ini mendatangkan hasil yang positif mudah-mudahan ia berjaya. Sokong tak sokong itu hak kita, tapi jangan menjadi juara “half truth” dan fitnah.
Sunday, July 20, 2008
Malam tadi saya terpaksa melayani seorang kawan dan ahli PAS (arwah bapanya bekas pimpinan PAS zaman Asri) yang bertanyakan berkenaan isu muzakarah Umno-PAS. Perbincangan kami tertumpu pada suatu artikel yang beliau pungut kononnya sebagai sumber sohih. Maklumlah penulis artikel itu menggelar dirinya “Ahli PAS dalaman”.
Saya dapati artikel itu: “Pendedahan dalang-dalang yang hendak membawa PAS masuk BN” bertenggek pada blog “Malaysia Waves” kepunyaan “Tulang Besi”.
Dulu kalau kita berkunjung ke laman blog ini pemiliknya menempelkan gambarnya untuk dikenali oleh pengunjung tetapi hari ini atas sebab yang hanya beliau sahaja tahu tiada lagi gambar atau identitinya dalam blog berkenaan. Tak mengapalah saya pun bukan berapa berminat untuk mendedahkannya cuma tertarik juga membaca artikel Sinar Harian hari ini yang kebetulan menyerang sikap Dewan Ulamak PAS Pusat yang saya kira bagi yang berminat bolehlah mengenali identiti pemilik blog ini yang menulis artikel itu.
Saya membariskan beliau setaraf dengan seorang lagi blogger yang memang tersohor dan licik dengan kisah “half truth” dan fitnahnya mungkin setanding dengan “spin doctors” pra PRU12 dahulu.
Tapi tak mengapalah, apa sahaja yang kita tulis Allah sahaja yang tahu niat dan kebenarannya.
Seorang pencuri kalau ditangkap pun tidak akan mengaku dia mencuri. Kecualilah pencuri angsa raja di zaman Abu Nawas yang meraba-raba kepalanya apabila berhimpun di hadapan raja dengan rakyat jelata negara itu. Kata Abu Nawas dalam ramai-ramai yang berhimpun ini aku tahu siapa yang mencuri angsa raja, kata beliau lagi, yang mencuri angsa raja pada kepalanya tersangkut bulu dari angsa itu.
Lalu pencuri yang terpedaya dengan muslihat Abu Nawas itu telah meraba-raba kepalanya menyangkakan ada bulu angsa tersangkut di situ, beliaulah seorang sahaja yang meraba-raba kepala sedangkan orang lain tidak.
Sesungguhnya penulisan-penulisan ini menyerang pimpinan kanan PAS yang kebanyakkannya bertaraf ulamak, malah kalau tak ulamak sekalipun, adakah kita diberi lesen untuk menghina dan mengaibkan mereka walaupun kita panggil diri kita “Ahli dalaman PAS” atau Ahlul Bait atau apa sahaja.
Sedarkah kita maklumat yang kita bawa itu benar atau fitnah? Sedarkah kita bahawa pimpinan yang kita serang itu adalah pimpinan yang ratusan ribu ahli Pas kenal dan faham budi dan akhlak mereka. Kita yang tidur malam bertemankan air liur basi dan dengkoran hodoh boleh mengadu-domba pemimpin yang menghabiskan tengah malamnya bertahajud dan beribadat malam!
Sedarkah kita pemimpin yang kita serang bukan sekadar menjelajah pelusuk negara berceramah politik tetapi mereka mengangkut al Quran, Hadis dan kita-kitab besar, mengajar dan memberikan ilmu dari masjid ke masjid, surau ke surau dan pusat tarbiyah ke pusat tarbiyah, sedangkan kaki kita terhenjut-henjut asyik mendengar lagu-lagu “underground” yang kita dakwa baik dan comel lirik-liriknya!
Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa tetapi saya tidak akan mendiamkan diri jika dengan sewenang-wenangnya pemimpin-pemimpin yang “tested” dalam jemaah diserang dan dihina seolah penulis-penulis yang menyerangnya itu jauh lebih mursyid, maksum, baik dan sempurna.
Kebetulan semasa saya menulis posting ini sebuah kitab karangan Dr al Syed Muhammad Noh bertajuk “afat ala Tariq” atau “Wabak Sepanjang Jalan” terbitan Dewan Ulamak PAS Kedah (yang pengerusi panel penterjemahnya dahulu adalah kini YAB Ustaz Azizan Abd Razak) berada di sisi saya, sebuah kitab yang sering menjadi bahan bacaan dan teks usrah PAS (bagi mereka yang melalui terbiyah PAS).
Janganlah kita jadi al Isti’jal, al I’jab bil Nafsi, al Ghurur dan al Takabbur sehingga memegang saham dalam menimbulkan syak-wasangka, adu-domba sehingga meruntuhkan “Kepimpinan Ulamak” yang dibina dan diberi penegasan oleh jemaah sejak lebih 26 tahun lalu.
Saturday, July 19, 2008
Belum pun reda bantahan Pemuda PAS berhubung konsert Ella dan Mas Idayu sempena Piala Sultan awal bulan ini kini terpacul pula satu lagi kontroversi. Kelab Liga Inggeris Chelsea dijadualkan akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan pada 29 Julai ini di Sadium Shah Alam.
Ia mengundang kontroversi kerana pasukan ini ditaja oleh syarikat arak antarabangsa Heineken. Heineken merupakan bir rasmi untuk Chelsea FC. Dan sempena perlawanan ini Heineken Malaysia memang ada menaja beberapa pertandingan bermakna meraikan kedatangan pasukan tajaan mereka itu.
Pemuda PAS Selangor telah menyatakan bantahannya terhadap perlawanan ini bukan kerana sukannya tetapi semata-mata kerana syarikat arak yang merupakan penajanya. Saya difahamkan Pemuda Umno Selangor turut bersetuju dengan bantahan ini malah Mufti Negeri turut telah menyaurakan pandangannya.
Walaubagaimanapun MB Selangor baru-baru ini menyatakan bahawa perlawanan itu akan diteruskan setelah kerajaan negeri mengenakan beberapa syarat antaranya pihak penaja dan pihak stadium disyaratkan agar tiada minuman berakohol dijual atau diberi percuma semasa pertandingan diadakan.
Menurut BERNAMA:
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim said the organisers have been told to ensure the match takes place in a decent manner and did not break rules on morality.
"We are not objecting because Heineken is sponsoring Chelsea but we have informed the Shah Alam Stadium manager that the match takes place under conditions that are decent and moral.
Adakah PAS melampau dalam membuat bantahan ini?
Dalam akhbar Sinar Harian hari ini Penolong EXCO Agama YB Dr Shafie Abu Bakar yang juga ADUN Bangi berkata:
Walaupun keputusan muktamad bukan ditentukan oleh kami (PAS) namun sebagai parti berlandaskan perjuangan Islam kami akan sentiasa menegah sebarang perkara yang didapati bercanggah dengan hukum Islam dan norma masyarakat di sini.
Saya difahamkan turut menyatakan bantahan adalah Dewan Pemuda PAS Pusat. Saya sempat diingatkan oleh Tok Guru saya, bahawa sampaikan kepada mereka (pihak yang berkenaan) bahawa haramnya arak itu atas sepuluh golongan, dan saya menurunkan hadis berkenaan di sini:
Mungkin tidak ada satu pun yang terkena pada penganjur, atau bagaimana?
Berita dalam MStar Online hari ini melaporkan:
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa beliau dikasari pembantu khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga merupakan wakil parti itu semalam.
Beliau membuat laporan polis ditumbuk di bahagian mata kanan ketika majlis pecah tanah di Desa Mentari, Petaling Jaya pukul 3 petang semalam.
Loh, individu yang merakamkan perbualan peguam V.K. Lingam berkaitan aturan pelantikan hakim sehingga mencetuskan kontroversi tahun lalu, menemui pihak penganjur majlis tersebut selepas sekumpulan penduduk tempatan membantah tindakan mendirikan bangunan di kawasan itu. Katanya, beliau ke tempat kejadian selepas menerima maklumat ada bantahan. Isu berkenaan yang timbul sejak dua minggu lalu seharusnya diselesaikan kelmarin, kata beliau.
Kata Loh, apabila beberapa kali bertanya siapa yang bertanggungjawab terhadap projek berkenaan, pembantu Nik Nazmi menyerangnya. Kata Loh, beliau diserang apabila menyebut "sebagai pembantu khas seharusnya mengetahui siapa pemaju projek."
Walaupun pembantu khas itu telah meminta maaf, jelas Loh, beliau terpaksa membuat laporan polis. Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu sambil berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut.
Saya yang berada di tempat kejadian sungguh kecewa dengan insiden yang berlaku. Dan saya merasakan kejadian itu sepatutunya dapat dielakkan kiranya pihak polis segera mengawal keadaan dan keduanya jika ahli parlimen berkenaan tidak menyemarakkan lagi suasana.
Majlis yang berlangsung kira-kira jam 3 petang sejurus selepas solat Jumaat di Desa Mentari dalam DUN Seri Setia, Parlimen Kelana Jaya (kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya) itu adalah sebuah majlis rasmi kerajaan negeri. Majlisnya adalah majlis pecah tanah tapak surau Desa Mentari Fasa II oleh YB Tuan Khasim Abd Aziz, Pembantu EXCO Agama, Adat Istiadat Melayu, Infrastrukutur dan Kemudahan Awam (mewakili Dato Dr Hasan Ali yang tidak dapat hadir kerana menjalankan tugas rasmi di Singapura). Ia turut dihadiri oleh ahli Majlis MBPJ dan pimpinan parti tempatan.
Semua pihak telah dilibatkan dalam majlis ini termasuklah selain Pejabat EXCO, JAIS, MBPJ, Pejabat ADUN Seri Setia, Polis, Jawatankuasa Surau, Pakatan Rakyat Kelana Jaya dan PAS Kawasan serta cawangan.
Diperingkat Pakatan Rakyat Kelana Jaya, semasa mesyuarat bulanannya Jun lepas yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagian PKR Tuan Syed Shahir, pihak PAS telah pun memaklumkan darihal majlis ini dan dipersetujui oleh semua pihak termasuk wakil DAP (YB Hannah Yeoh), malangnya dalam mesyuarat itu YB Loh tidak hadir dan tidak pula menghantar wakilnya.
Ekoran persepakatan itu pihak penduduk di kawasan berkenaan termasuklah AJK Surau dan JK Penaja PAS cawangan telah bertungkus-lumus bekerja dan membuat persiapan bagi majlis berkenaan.
Untuk rekod tapak berkenaan telah diluluskan oleh pemaju dalam pelan pembangunan kawasan perumahan Desa Mentari itu sebagai tapak surau. Penduduk tempatan telah sejak dua tahun kebelakangan memohon kelulusan dari pihak JAIS dan selepas PRU lepas YB ADUN Seri Setia Sdr Nik Nazmi telah memberikan sokongannya dan akhirnya pihak JAIS telah memberikan kelulusan melalui Pejabat EXCO Agama.
Penduduk tempatan telah mengikuti saluran yang betul, kisah bantahan dari masyarakat bukan Melayu di kawasan itu hanya terdengar sejak kebelakangan ini sahaja itupun bukan melalui saluran rasmi. Saya difahamkan sekumpulan masyarakt India beragama Hindu telah mengadu kepada Pejabat Ahli Parlimen, yang tanpa merujuk kepada pimpinan Pakatan Rakyat Bahagian dan pimpinan PKR (parti beliau sendiri) Bahagian, telah cuba menjadi juara kepada segelintir yang tidak berpuas hati itu.
Pintu rundingan tidak pernah ditutup oleh sesiapa pun, cumanya bagi masyarakat Islam di sana setelah isu ini dibawa melalui pelbagai saluran dan akhirnya dibincang diperingkat parti pemerintah bahagian, iaitu Pakatan Rakyat Parlimen Kelana Jaya (yang diwakili pimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP peringkat tersebut) dan mendapat "consensus" atau kata sepakat maka ianya diteruskan.
Jika pun ada kiranya Pejabat ahli Parlimen kemudiannya menerima bantahan, ianya sepatutnya dirundingkan. Takkanlah ahli parlimen yang bijak membelakangkan keputusan parti dan pakatan yang dianggotai partinya sendiri serta kerajaan negeri juga yang diterajui bersama partinya sendiri. Sekurang-kurangnya jika benar masyarakat yang membantah itu mewakili majoriti penduduk tempatan, kerja ahli parlimen adalah menerangkan kepada mereka tentang keputusan yang telah diambil, dan meyakinkan mereka agar menerimanya, sebarang tuntutan lain boleh dirundingkan, tetapi protes untuk membatalkan pembinaan surau yang diperjuangkan penduduk majoriti Islam dan diluluskan pula oleh pihak JAIS adalah sesuatu yang tidak harmonis dan boleh mencetuskan perbalahan.
Pada hari kejadian sejurus majlis dimulakan sekumpulan masyarakat India beragama Hindu telah pun berkumpul dengan poster masing-masing. Dari bilangan sekitar 20-25 orang ia mula membesar apabila kawan-kawan mereka dari luar turut hadir tetapi tidaklah sampai melebihi 100 orang. Mereka mula menjerit-jeirt kan slogan dan ada yang meniup wisel dan membuat bising sebaik majlis yang dimulakan dengan bacaan doa itu berjalan.
Saya marahkan juga pihak polis kerana mereka seolah berlepas tangan walaupun hadir dengan beberapa kereta peronda dan kekuatan dari balai berdekatan. Ini adalah majlis berkaitan agama dan merupakan pula majlis rasmi kerajaan kerana dihadiri oleh Penolong EXCO. Tidakkah kehadiran penganut agama lain dengan niat untuk menganggu majlis itu mengancam keselamatan? Pernahkan kita dengar sebelum ini sebuah majlis agama diganggu oleh penganut agama lain sedemikian rupa dalam negara kita?
Saya katakan pihak polis lemah dan harus dipertanggungjawabkan. Mereka tidak bertindak sepanjang majlis rasmi berkenaan berjalan, bayangkan apa akan berlaku jika ada pihak yang membikin provokasi dikalangan penduduk Islam yang hadir!?! Alhmadulillah majlis berkenaan walaupun diganggu dengan sorakkan dan bunyi bising berlangsung dengan penuh tertib dan aman.
Semasa majlis berjalan wakil ADUN Seri Setia, Sdr Meor Azam telah duduk sebaris dengan saya mewakili YB Nik Nazmi. Tiba-tiba YB Loh datang dan terus menuju ke arah mereka yang sedang berhimpun secara haram itu. Kehadiran beliau menggamatkan mereka yang sedang berhimpun itu. Ketika itulah Sdr Meor memaklumkan kepada saya yang beliau mahu melihat keadaan dan cuba mententeramkannya.
Majlis terus berjalan walaupun kelihatan dari jauh YB Loh beria-ia melayan mereka yang sedang bising berhimpun itu. Sejurus majlis berakhir mereka yang hadir dijamu oleh pihak penganjur manakala para tetamu menuju ke surau lama untuk menikmati jamuan. Ketika itulah kami dimaklumkan yang berlaku pertengkaran antara Sdr Meor dan YB Loh dan akhirnya berlakulah apa yang berlaku.
Kesimpulannya bagi saya ahli Parlimen berkenaan cuba menjadi “hero” dalam siatuasi yang beliau sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Ternyatalah usia yang muda dan tiada pengalaman dan pendedahan politik melahirkan seorang pemimpin yang buta haluan! Insiden ini sungguh malang dan akan mengundang pelbagai persepsi dari masyarakat awam termasuklah yang Islam atau bukan Islam.
YB Loh telah dengan sengaja membuka pintu kebencian, keresahan dan syak wasangka rakyat. Sekarang “He should be man enough to stand up and shut the door” ataupun menerima padah dan hukuman dari rakyat.
Thursday, July 17, 2008
Saya kira ramai yang menjangkakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditangkap semalam, ekoran laporan polis yang dibuat oleh bekas pembantunya Saiful yang mendakwa diliwat oleh Penasihat PKR itu. Sebelum ini ada yang menjangkakan DSAI akan ditahan sebelum debat beliau dan Shabeery di DBP, ada yang menjangka sebaik selesai debat, apa pun kini beliau telah pun ditangkap lantas menamatkan pelbagai spekulasi dan bacaan ahli-ahli nujum politik profesional dan amatur.
Saya dan saya yakin ramai yang lain bersimpati di atas nasib yang menimpa DSAI dan keluarga. Penangkapan ini megembalikan ingatan kita kepada peristiwa malang tahun 1998 dahulu.
Justeru itu kita menggesa pihak polis dan kerajaan agar memastikan segala profesionalisma dan ketelusan digunakan kali ini bagi menjamin yang kerajaan ini benar-benar telus dan tidak sewaenang-wenang menzalimi orang yang tidak bersalah. Kita tidak mahu episod hitam yang berlaku diera Tun Dr M berulang lagi.
Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, DSAI semalam enggan melalui pemeriksaan penuh di hospital termasuklah mengambil DNA nya. Kita boleh memahami alasan DSAI setelah melalui pengalaman ngeri dan pahit pada tahun 1998 lampau. Oleh itu saya merasakan tidak keterlaluan kali ini jika perlu benar pemeriksaan penuh dilakukan dan sampel DNA beliau diambil demi membantu proses penyiasatan, pihak polis dan kerajaan hendaklah membenarkan pihak ketiga yang bebas jika perlu dari luar Malaysia untuk melakukannya.
Bukan kita meragui atau tidak mempercayai pakar tempatan, tetapi demi keadilan dengan mengambil kira pengalaman yang lepas, saya percaya inilah jalan penyelesaian sebaik-baiknya.
Kalau kerajaan BN ini benar tidak mahu mengulangi kesilapan era Tun Dr M, dan tidak mahu dituduh zalim dan berkonspirasi terhadap DSAI, bertindaklah sewajarnya. Jika tidak selama-lamanya mereka akan dikritik oleh rakyat dan dunia luar.
Wednesday, July 16, 2008
Saya sungguh terkilan apabila seorang pemberita kanan dalam akhbar The Star boleh menulis dengan panjang lebar bahawa PAS kononnya diambang perpecahan. Satu kumpulan dibelakang Presiden dan satu lagi dibelakang Mursyidul Am menurut Joceline. Isunya kerana kononnya satu pihak mahu keluar dari Pakatan dan bercantum dengan Umno manakala satu lagi tidak mahu.
Siapakah yang menyodok Joceline dengan maklumat-maklumat ini?
Saya mengesyaki demikian kerana Joceline tiba-tiba ada maklumat tentang pertemuan Presiden PAS dengan Ikhwan kononnya di London. Tahukah Joceline. Ikhwan atau Muslim Brotherhood itu apa atau siapa? Kata beliau ianya badan yang PAS anggap sebagai "senior Muslim brother" dan Presiden PAS ke sana untuk mendapatkan fatwa mereka. Kalau pun benar maklumat ini tidakkah peyampai maklumat tadi sedar yang ia membocorkan sesuatu yang pasti suatu rahsia dalaman, atau memang maklumat ini perlu dibocorkan atau bagaimana?
Kata Joceline satu kumpulan dalam PAS diketuai oleh kebanyakan mereka yang dari Terengganu sebenarnya rimas dan tidak selesa dengan sikap DSAI yang liberal terutama dalam hal-hal berkaitan Islam. Dan mereka juga tidak lagi dapat bekerjasama dengan DAP kerana tentangannya terhadap perundangan dan pentadbiran Islam. Malah katanya kumpulan ini hampir bertemu dengan pimpinan tertinggi Umno sehingga ianya dikesan dan ditentang oleh Mursyidul Am, Tok Guru Nik Abd Aziz.
Jadi menurut Joceline, ada dua kumpulan dalam PAS, satu yang pro Umno dan satu lagi mahu kekal dalam Pakatan.
PAS adalah sebuah gerakan Islam, berjuang, bergerak dan mendidik ahlinya hatta sanggup mati untuk Islam. Perbezaan pandangan dalam jemaah adalah sesuatu yang lumrah namun apa pun keputusan tertinggi dalam partilah nanti yang muktamad dan akan dipatuhi oleh para pendukungnya. PAS sekarang kukuh membela dan mempertahankan Islam sebagai asas dan dasar perjuangannya, soal yang dilontarkan oleh Joceline tidak akan menarik PAS sehingga berpecah dua atau tiga, tetapi sebaliknya akan lebih mengukuh dan merapatkan kekuatannya.
Saya yakin dan percaya seluruh saf kepimpinan parti sayang dan bakal mempertahankan perjuangan suci ini, Allah tujuan kami, Rasulullah ikutan kami, al Quran dustur kami, jihad jalan kami.................
Tuesday, July 15, 2008
Ada sahabat yang bertanya saya kenapa dia perhatikan kebelakangan ini terdapat kenyataan-kenyataan sokongan terhadap Presiden PAS yang dikeluarkan oleh orang-orang PAS sendiri. Antaranya dari Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Perlis dan terbaru oleh Dewan Muslimat PAS Pusat (yang mengeluarkan pernyataan sokongan terhadap kedua-dua Presiden dan Timbalan). Kesemua kenyataan itu merujuk kepada temuramah eksklusif Presiden PAS yang muncul dalam keluaran Harakah bilangan yang lalu.
Saya sendiri pada awalnya sukar juga mahu menjawab pertanyaan itu. Namun kerana dah ditanya saya menyatakan bahawa apa yang perlu kita lihat sebenarnya adalah isi atau intipati utama kenyataan Presiden PAS dalam temuramah itu. Ternyata apa yang telah beliau tonjolkan adalah agar Pas terus kekal dalam perjuangan memartabatkan Islam (“Kekal dalam orbit Islamnya” kata Almarhum Ustaz Fadzil). PAS adalah parti Islam dan sepatutnya terus kekal demikian, insyallah.
Lalu kerana itulah maka kenyataan-kenyataan sokongan itu keluar, bukannya kerana PAS telah tersasar dari landasannya, tetapi kerana masing-masing mahu menyatakan cinta dan taksub pada Islam, Presiden menyatakan ketegasan itu maka wajarlah yang lain semua menyatakan setuju dan akan pertahankan hakikat tersebut walau apa yang ada di hadapan.
Saya yakin ramai yang lain juga begitu dan saya difahamkan pimpinan peringkat akar umbi telah banyak menyatakan sokongan samada secara langsung kepada Presiden ataupun melalui kiriman email dan surat. Malah tadi semasa ditemuramah oleh pihak media Presiden menyatakan beliau menerima sokongan padu dari seluruh peringkat akar umbi parti.
Allah swt berfirman:
Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya pertolongan dan bantuan Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya (al Ankaabut:69)
Selagi Pas terus menjunjung slogan “Bersama Kepimpinan Ulamak” saya yakin jalan yang mahu diteroka Presiden akan terus dituruti oleh mereka yang sedemikian.
Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS, dibenarkan pulang setelah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak Ahad lepas.
Saya menerima panggilan awal pagi tadi dari Tuan Guru untuk mengeluarkan satu kenyataan akhbar mengenai isu Presiden Sudan Omar al Bashir yang mahu diseret ke mahkamah jenayah antarabangsa di The Hague. Bermakna walaupun sedang berihat di hospital, Tuan Guru tetap melayari internet untuk mengikuti perkembangan terkini dunia politik tempatan dan antarabangsa. Itulah Tuan Guru kita.
Saya terus memanggil sahabat saya Sayuti (MSO) yang memang berhajat mewawancara Tuan Guru agar menunggu saya di IJN, begitu juga dengan rakan dari Harakah. Setibanya saya di wad Tuan Guru, saya melihat beliau begitu ceria dengan laptop beliau yang masih memaparkan website Arab terpampang diskrinnya. Ternyata beliau tidak sabar-sabar mahu keluar dari sana.
Selepas Sayuti mewawancara beliau, pihak Harakah pula menyambung. Selepas itu saya taklimatkan beliau berkenaan tajuk-tajuk akhbar yang sensasi pagi ini, Tuan Guru tersenyum.
Sepanjang saya di sana telefon beliau termasuk telefon saya tidak henti berdering. Sdr Khairol dari Sinar Harian memohon peluang untuk mewawancara Tuan Guru, ternyata Tuan Guru tidak menolak dan saya nasihatkan Khairol agar tunggu di lobi kerana Tuan Guru dijangka pulang tidak berapa lama lagi.
Selepas selesai menguruskan wawancara Tuan Guru dengan Sinar, saya pulang dengan rasa puas hati. Alhamdulillah Tuan Guru kita sihat dan ceria dan lebih penting lagi insyallah akan terus memimpin parti khasnya disaat parti dan ummah memerlukan kepimpinan beliau, seorang Tuan Guru dan ulamak, bagi mendepani cabaran yang besar di hadapan kita ini.
Monday, July 14, 2008
Moga PAS bebas zahirkan perjuangannya
Imam al Ghazali pernah berkata:
"Agama itu asas dan kerajaan itu pengawalnya. Maka sesuatu yang tiada asas akan tumbang manakala sesuatu yang tanpa pengawal pasti akan hilang".
Justeru itu tidaklah menghairankan apabila dalam wawancara eksklusifnya bersama Harakah baru-baru ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang menyarankan agar sudah tiba masanya bagi Islam diberi peluang untuk dilaksanakan demi melahirkan keadilan dalam negara kita yang tercinta ini.
Ibnu Taimiyyah pernah menulis:
"Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud dan berlaku adil dalam manjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan." (as Siayasah as Syariaah)
Tuan Guru Presiden menyebut bahawa PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Lantaran itu dengan dasar dan matlamat perjuangan yang jelas sudah pastilah kemenangan kecil yang dikurniakan oleh Allah swt melalui pilihan raya umum lalu, mendorong PAS untuk bangkit bagi melaksanakan apa yang diperjuangkannya dalam apa sahaja ruang dan kerangka yang dibenarkan.
Memang kemenangan PAS kali ini bertenggek di atas kekuatan bersama melalui gagasan Pakatan Rakyat, namun sebagai rakan yang menurut Tuan Guru Presiden, telah memberikan sumbangan yang besar sehingga terbentuknya kerajaan di negeri-negeri baru selain Kelantan ini, sudah pastilah ruang dan peluang perlu diberikan dan dibuka buat PAS untuk melaksanakan tuntutan perjuangannya. PAS mahukan pengiktirafan dari kawan-kawannya, dan apakah pengiktirafan yang lebih besar bagi PAS selain dibenar menekankan kepada perlaksaan syariat Islam khasnya dikalangan rakyat yang beragama Islam.
Saya yakin dan percaya luahan hati Tuan Guru Presiden PAS ini yang disokong dan didokong oleh seluruh kekuatan jentera dan ahlinya akan didengar dan diberi perhatian oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Apa yang disuarakan oleh beliau adalah tuntutan agama yang merupakan asas kuat yang membentuk perjuangan PAS sejak berdekad-dekad yang lalu.
Kata Tuan Guru Presiden lagi:
Di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam.
Mengizinkan umat Islam melaksanakan apa yang wajib dalam agama mereka sudah pasti selaras dengan Perlembagaan Negara yang menempatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
PAS telah berkorban dan merupakan penyumbang terbesar kepada kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu, melalui kekuatan jentera dan ahli-ahlinya. Walaupun dari sudut bilangan kerusi Parlimen PAS mungkin memegang saham yang terkecil tetapi dari sudut bilangan kerusi dewan undangan negeri PAS memiliki saham terbesar berbanding DAP dan PKR iaitu dengan 83 kerusi diikuti DAP 73 dan PKR 40.
Lantas di peringkat ini padan sangatlah bagi Presiden PAS untuk menuntut laluan bagi rakan-rakan untuk mengizinkan PAS melaksanakan program Islamnya yang pada dasarnya sudah pasti akan menguntungkan Pakatan Rakyat, kerana ia sesungguhnya nanti akan menambat hati dan sokongan dari masyarakat Melayu yang rata-rata beragama Islam.
PAS tidak boleh meninggal atau menggugurkan Islam. Besar atau kecil kemenangannya atau tiada kemenangan langsung, Islam akan terus dijunjung atas kepala bahu setiap ahli dan pejuangnya yang istiqomah.
Benarlah sebagaimana tulisan seorang EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz di dalam blognya:
"Mengkhianati rakyat hanya berlaku jika PAS meninggalkan Islam. Selagi PAS bergerak dengan Islam, pengkhianatan tak mungkin berlaku walau ditinggal rakyat seluruhnya dan PAS terpaksa menunggu seratus tahun lagi untuk mendapat sokongan rakyat semula."
Semoga atas semangat Pakatan Rakyat ini PAS akan bebas menzahirkan apa yang ia perjuangkan.
Akhbar NST di muka depannya hari ini melaporkan darihal suatu anjakan paradigma positif yang sedang berlaku dalam masyarakat khususnya di Lembah Kelang ekoran kenaikan harga minyak. Di bawah tajuk:
Tough times good times
ia melaporkan bagaimana kesan kenaikan harga minyak mengakibatkan orang awam kini lebih menggunakan pengangkutan awam berbanding dengan memandu sendiri. Lonajkkan bilangan yang menggunakan pengangkutan awam ini khabarnya mengakibatkan pengusaha-pengusaha pam minyak merungut kerana jualan mereka mula merosot.
Malah drebar-drebar teksi pula mula gembira kerana mendapati lebih ramai penumpang dan dalam waktu yang sama kenderaan di jalan-jalan raya semakin berkurangan.
Inilah antara perkara-perkara yang perlu kita terokai dalam kita menanggung beban kenaikan kos hidup khasnya ekoran kenaikan harga minyak yang "menggila" tempoh hari. Disamping kita "berprotes" kita juga perlu fikirkan alternatif-alternatif yang praktikal buat rakyat, kerana ternyata berkonsert menyua punggung tidak memberi apa-apa bantuan dalam menghadapi tekanan kehidupan yang sedang melanda kita kini.
Dalam membicarakan hal ini saya suka menyarankan agar pihak yang mengendalikan pengangkutan awam disamping meraih manfaat dari peningkatan bilangan pengguna, perlu juga ada anjakan paradigma khasnya dalam memperbaiki mutu perkhidmatan masing-masing.
Saya sendiri sering menggunakan pengangkutan awam untuk ke pejabat di KL. Dua jenis yang perlu saya guna untuk sampaiu ke pejabat dari Subang Jaya adalah KTM komuter dan LRT dari Sogo (Bandaraya) ke Jalan Sultan Ismail. Saya perhatikan mutu perkhidmatan KTM komuter sejak selepas pilihan raya umum lalu semakin merosot. Benar mereka telah mula memperkenalkan koc-koc baru, tetapi jadual perjalanan emreka sering dipinda-pinda. Akibat pindaan satu-satu jadual semasa waktu puncak (peak hours) akan mengakibatkan para penumpang terpaksa bersesak-sesak untuk menaiki tren yang berikutnya.
Bayangkan dalam waktu masing-masing mahu bergegas ke pejabat di waktu puncak, terpaksa bersesak-sesak bagaikan ikan sardin dalam tin. Di situlah berhimpun lengan kelengan, perut ke perut, dada ke dada mereka yang mahu ke pejabat, buruh-buruh Indonesia dan Bangla (termasuk Vietnam dan Nepal) yang mahu ke tapak kerja, ibu-ibu yang mahu ke pasar atau ke klinik dan sebagainya, warga emas yang entah mahu ke pejabat pencen atau apa sahaja urusan mereka.
Dahlah bersesak kadangkala ada diantara koc berkenaan yang hawa dinginnya tidak berfungsi mengakibatkan para penumpangnya kepanasan.Pihak KTM komuter perlu meneliti perkara ini dan memperbaikinya memandangkan jumlah yang akan menggunakan khidmat mereka pasti meningkat selepas ini nanti.
Bagi sisitem LRT saya dapati kekerapannya lebih sistematik berbanding KTM Komuter, walaubagaimanapun satu yang saya perhatikan adalah sikap para pekerjanya khasnya yang bertugas di kaunter-kaunter tiket. Sejak saya menggunakan khidmat ini saya kira hampir 12 bulan lalu tidak pernah satu hari pun saya mendengar ucapan terima kasih atau selamat pagi dari kerani di kaunter tiket mereka, malah masing-masing dengan muka berkerut dan masam-masam belaka, barangkali semua mereka ada masalah rumah tangga.
Berlainan dengan KTM saya perhatikan kerani-kerani di kaunter tiket khasnya di stesyen Subang Jaya sangat peramah dan menyenangkan hati, barangkali rumah tangga mereka semua bahagia.
Akhirnya mutu khidmat teksi-teksi khasnya di Lembah Kelang juga perlu diperbaiki. Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa semasa membahaskan "review" separuh penggal RMK9 di Parlimen baru-baru ini menyebut hanya di negara kita, penumpang perlu minta kebenaran drebar teksi untuk ke mana-mana. Contohnya perlu tanya boleh pergi ke destinasi ini atau itu. Kalau si drebar tadi mahu dia akan kata OK jika tidak dia hanya akan pergi meninggalkan penumpang tadi terkebil-kebil. Malah ada pula yang minta bayaran tambahan atas alasan jalan sesak dan macam-macam lagi.
Semoga pihak yang berwajib dapat memperbaiki mutu khidmat pengangkutan awam kita kerana rakyat sudah tidak ada pilihan lain selain menggunakannya bagi meringankan beban hidup mereka masing-masing.
Sunday, July 13, 2008
Saya mendapat maklum bahawa usul yang mahu dibawa oleh Pakatan Rakyat esok di Parlimen bukannya usul "undi tidak percaya kepada PM". Saya kira deria saya masih sihat lagi, kerana hampir semua yang saya "pick up" samada dari media arus perdana mahupun alternatif kesemuanya menjurus ke arah "undi tak percaya", lalu macam mana pula timbul tentang usul berbentuk lain?
Dari Harakahdaily:
Ketua Pembangkang Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalu-alukan lebih banyak Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dari Malaysiakini:
Ia ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker
Dari The Star:
I was informed that irrespective of whether the notice of no confidence against Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi is accepted or rejected, a big demonstration will be held within or outside the Parliament compound,” he told reporters after meeting villagers in Kg Ngok, Beluru here yesterday.
Dari Utusan Malaysia:
Khamis lepas, Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Pandikar Amin yang akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak usul itu Isnin ini.
Saya kemukakan contoh-contoh di atas, semuanya menyebut USUL UNDI TIDAK PERCAYA!
Mungkin usul itu telah ditukar, bunyinya, zatnya atau apa sahaja sehingga tidak bermaksud demikian. Bermakna bukan satu tetapi semua pihak media salah. Yang betul, entah siapa?
Semalam 12 Julai genaplah dua tahun saya menggunakan Motigo Webstats untuk mengukur dan memantau bilangan pengunjung ke blog ini walaupun blog ini sebenarnya saya mulakan lebih awal iaitu pada 20 Mei 2004.
Menurut statistik Motigo sejak semalam blog ini telah dikunjungi lebih 1,862,775 juta kali iaitu sejak 12 Julai 2006.
Saya berterima kasih di atas sokongan anda semua disamping komen dan teguran yang diberikan. Mudah-mudahan saya diberi kekuatan untuk terus mengisinya, insyallah.
Kebetulan esok 14 Julai 2008 genap pula usia saya 45 tahun. Saya bersyukur ke hadrat Allah swt kerana memberikan kesempatan untuk hidup di atas bumi Nya ini dan berdoa semoga hidup saya terus dipenuhi dengan kerja-kerja untuk agama Nya dan nanti bila dimatikan juga dalam keadaan demikian.
Saya berdoa juga semoga Allah melindungi dan menyayangi kedua ibu-bapa saya yang dengan izin Nya telah membawa saya ke sini, terlalu besar jasa kedua mereka untuk mampu saya balas sepanjang dipinjamkan ke dunia ini.
Saturday, July 12, 2008
Saya difahamkam ramai yang telah menyatakan sokongan terhadap kenyataan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam keluaran harakah terbaru. Ia terus menarik perhatian kawan dan lawan. Antaranya termasuklah pimpinan kawasan-kawasan, pimpinan negeri-negeri dan pimpinan Pemuda, Muslimat dan Ulamak Pusat. Banyak saya terima SMS, email dan panggilan selain posting di beberapa laman web alternatif.
Namun sebagaimana yang dijangka ada juga yang tidak senang, malah memberikan reaksi yang negatif termasuklah seorang rakan blogger yang kebelakangan ini seronok dengan mendedahkan maklumat bocor yang half truth dan fitnah.
Seperti biasa antara yang terdahulu memberi reaksi adalah adinda Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz http://nikabduh.wordpress.com/ yang antara lain menyebut:
Anda tak boleh baca maksud saya? Ah, tiba - tiba tuan presiden boleh baca maksud saya.
Oh, tidak. Saya telah membaca maksud tuan presiden. Tahniah tuan presiden! Maksud presiden adalah maksud saya. Jika anda tak faham dan keliru apa yang saya tulis, fahami sahaja komentar tuan presiden.
Apa yang Tok Guru Hj hadi sebut dalam temuramahnya dengan wartawan Harakah, itulah yang menerangkan apa yang saya maksudkan dalam tulisan saya, “Apa alternatif PAS?”
Indahnya jelas. Jelas adalah hikmah. Jelas menyapu dan mencuci kekaburan dan sarap sampah.
Seorang lagi aktivis PAS dari utara adinda Ustaz Yussaine Yahya http://jihategakislam.blogspot.com/ pula menulis:
Saya secara peribadi, amat berharap sikap yang tegas dalam mempertahankan prinsip dan uslub dakwah seperti yang ditunjukkan oleh TGHH akan berterusan selamanya.
PAS tetap akan menjadi sebuah gerakan Islam yang berjuang untuk mempertahankan aqidah dan agama serta memperteguhkan bangsa dengan keduanya. Sejak kepimpinan ulama’ diperkenalkan, PAS telah mengubah cara dan uslub pergerakannya daripada parti politik yang menggunakan wajah Islam dalam bergerak kepada sebuah gerakan Islam yang tidak pernah jemu mengajak manusia taat kepada Allah dengan menjadikan politik sebagai cabang kecil aktivitinya.
Dan yang terbaru yang saya kira sangat penting dan harus difahamis ecara mendalam oleh seluruh petugas dan pendukung parti adalah kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh, mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=015751&Itemid=85
Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengalu-alukan dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS sebagaimana yang telah dimuatkan dalam Harakah keluaran 13-28 Rejab 1429/ 16-31 Julai 2008 yang antaranya memperjelaskan peranan PAS dalam arus politik perdana masa kini.
Dewan Ulama PAS Pusat amat prihatin dengan isu negara yang berlaku dan sentiasa memastikan agar ianya memberi kesan yang baik untuk Islam dan ummahnya.
Dewan Ulama juga berkeyakinan bahawa masyarakat Malaysia pada hari ini menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk menerajui negara, bahkan telah ramai yang ingin melihat wujudnya Negara Islam atau negara berkebajikan yang sebenar yang memberi jaminan keamanan dan kesejahteraan kepada semua kaum dalam negara.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS sememangnya mengambarkan bahawa perjuangan PAS adalah jelas iaitu menyeru manusia ke arah yang maaruf dan berusaha menjauhkan manusia dari kemungkaran dan kezaliman.
Apa saja cara yang diajar oleh Islam itulah teori dan landasan yang dibawa oleh PAS. Pendekatan yang diambil oleh PAS dalam arena politik tanah air sememangnya berbagai-bagai dan PAS ternyata telah matang.
Dewan Ulama percaya bahawa semua ahli PAS seharusnya menyedari bahawa bertemu dan berbincang dengan mad’u yang mempunyai pelbagai latarbelakang adalah penting untuk memastikan sasaran dakwah dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Semua ahli diajar bahawa Tahaluf Siyaasi adalah satu juzuk yang penting dalam politik Islam. Ia mesti diguna pakai oleh Jamaah Islam seperti PAS agar dasar yang diperjuangkan oleh PAS dapat dihayati dengan lebih dekat oleh rakan-rakan di dalam gagasan tahaluf siyaasi ini.
Selain dari itu juga, kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat adalah perlu difahami dalam konteksnya yang luas.
Kerjasama yang dibuat oleh PAS amat jelas iaitu untuk menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran (Islam). Kerjasama dan pakatan yang boleh merealisasikan hasrat murni ini sudah pastinya akan terus dijulang oleh PAS. Begitu juga sebaliknya kalau pakatan yang merugikan Islam dan perjuangannya pasti akan ditolak oleh PAS.
PAS bukannya parti yang melukut di tepian yang boleh diletakkan di mana-mana. Parti-parti lain yang turut mendukung cita-cita membentuk kerajaan baru di Malaysia pula perlu terlebih dahulu menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia.
Isu-isu syiar agama yang menjadi tuntutan dan prinsip kepada orang yang beragama Islam perlu juga difahami tahap sensitivitinya.
Wujudnya tuntutan untuk memperlahankan suara azan sebagai contohnya menunjukkan segelintir masyarakat masih tidak memahami urusan penting bagi umat Islam. Perkara ini sepatutnya difahami oleh semua kaum di Malaysia.
Saya akui kenyataan Presiden PAS itu memerlukan bacaan yang teliti, malah ia juga mudah diberikan pelbagai tafsiran oleh sesetengah pihak sehingga lari dari maksud dan tujuan asalnya (oleh itu kita perlu berhati-hati). Bagi saya tafsiran Dewan Ulamak PAS Pusat di atas meneguhkan pemahaman kita, dan siapakah lagi yang lebih baik sebagai rujukan dalam hal yang serba mencabar ini jika tidak ulamak!
Allah swt berfirman:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah dikalangan hamba-hambanya adalah ulamak" (Faathir:28)