Wednesday, June 11, 2008

Jangan sampai amanah disia-siakan

Badan atau institusi berkenaan Islam perlulah dipimpin oleh mereka yang bukan hanya layak dan berpengalaman tetapi lebih-lebih lagi berakhlak sebagaimana akhlak yang dikehendaki oleh Islam. Allah swt berfirman di dalam al Quran (an Nisa: 58) yang berbunyi:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)......

Rasulullah saw bersabda:
"Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran". Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: "(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan kehancuran!".


Orang yang layak tetapi tidak mampu menzahir atau menjelmakan akhlak Islam di dalam jiwa dan diri peribadinya hanyalah akan mencacatkan badan atau institusi Islam yang dipimpin itu. Kerana itu kelayakan tadi perlulah seiiring dengan akhlak keperibadian Islam yang mulia, barulah Islam yang dijunjung oleh badan dan institusi tadi terpelihara.

Semalam Presiden UIAM Tan Sri Sanusi Junid diberhentikan walaupun masih mempunyai kontrak 2 tahun di IPT Islam itu. Sanusi difahamkan diambil tindakan demikian kerana mengisytiharkan diri keluar Umno dan menyokong bekas PM Tun Dr Mahathir. Itu masalah antara Dollah dan Sanusi, tetapi mengapa dengan tergesa-gesa kerajaan melantik Ketua Setiausaha Negara, yang masih berkhidmat menggantikan Sanusi?

Apakah sudah tidak ada tokoh yang lebih layak, yang memiliki latarbelakang dan akhlak Islam untuk memegang jawatan penting itu? Sejauh manakah komitmen Sidek Hassan (KSN) dalam memartabatkan Islam dan pendidikan tinggi Islam?

Demikian juga di Selangor apabila kita mendengar seorang tokoh korporat dilantik mengetuai institusi zakat negeri. Memang kita perlukan seorang yang berkelayakan dan berpengalaman duduk di institusi berkenaan, tetapi padankah dengan latabelakang korporat semata-mata tanpa latarbelakang dan ilmu Islam? Apakah tidak ada tokoh korporat atau seumpamanya yang memiliki kedua-dua kelayakan dan pendedahan Islam?

Kita harapkan semua pihak prihatin dan sensitif tentang perkara yang melibatkan Islam ini, beban amanahnya bukan sekadar di dunia malah akan berlanjutan sehingga akhirat.

6 comments:

Anonymous said...

Ini bukti bhw parti Umno tdk layak utk menjadi hero memperjuangkan nasib org melayu krn mrk sentiasa menanam hasad-dengki sesama mrk. Saya cadangkan supaya Umno ini d tumbangkan supaya belajar muhasabah diri dgn menjadi pembangkang d Parlimen.

Anonymous said...

Bagus entri ni. Ttp aku tak berapa faham apa hakikat sebenar maksud amanah dalam ayat tu? Boleh terangkan sedikit?
Aku rasa ada kaitan dengan perintah Allah swt memerintahkan para malaikat sujud kpd Nabi Adam a.s.

Ibn Jabbar said...

UIAM seharusnya mendapat Presiden yang baru sejak lama lagi. Sekurang2nya KSN belum ada berbuat sesuatu yang boleh memalukan organisasi di khalayak ramai. Pun begitu, adalah lebih baik seorang yang lebih berwibawa keintelektualannya terutama di dalam ilmu Islam menjadi Presiden UIAM.

Anonymous said...

sdr. roslan jgn terlalu mencurigai pelantikan tan sri syed anwar jamaluillail sebagai pengerusi mais yg baru. tan sri syed anwar merupakan bekas pengerusi panel pelaburan & penasihat lembaga tabung haji selama lebih 6 tahun, maknanya beliau berpengalaman menguruskan sebuah organisasi agama. tabung haji sendiri organisasinya lebih besar dari mais. mais perlu bergerak mencari sumber kewangannya sendiri & kerana itulah orang seperti tan sri syed anwar diletakkan di situ. apa risaunya sdr. roslan kerana datuk dr. hasan ali juga berada di situ. mungkin kita curiga kerana tan sri anwar jamalullail juga pengerusi tv3 dulu, tapi berikanlah dia peluang utk menyumbangkan sesuatu kpd umat islam selangor. sedangkan tan sri khalid boleh menerima cina gerakan menganggotai jawatankuasa khas tanah selangor, apatah lagi saudara seislam kita, waima apapun latar belakang politiknya...berlapang dadalah & cuba berfikiran positif

Anonymous said...

sdr,
ini satu lagi contoh tindakan gopoh gapah pihak kerajaan yang semuanya dikaitkan dengan politik.Pihak kerajaan masih gagal membaca mesej PRU 12 baru-baru ini.Saya kira rakyat kita sudah berfikiran amat matang mengutamakan rasional bukan tindakan politik yang remeh.
saya cukup terharu kerajaan boleh bertindak sedemikian, kadang-kadang terfikir jenis manusia macam mana disebalik keputusan-keputan dangkal pihak kerajaan
sedih

Anonymous said...

UIAM memerlukan non politician utk menjadi President. Mungkin bekas ketua Hakim macam Tun Salleh Abas atau seorang beaks menteri agama seperti Tan sri Hamid Othman. Tapi paling sesuai ialah tan Sri Ismail Ibrahim bekas profesor UIA dan Ketua Pengarah IKIM pertama. Kita x perlukan seorang KSN yg sibuk dgn kerja-kerja lain.
Ismail Ibrahim tidak ada agenda politik dan profesor Bahasa Arab dan fasih bahasa Perancis.