Sunday, June 08, 2008

Happy Fathers Day: Abah

Tidak ada manusia yang lebih hebat dan istimewa dalam hidup saya melainkan bapa saya, Datuk Hj Mohd Shahir bin Abd Majid. Beliau merupakan ikon yang akan terus menjadi contoh tauladan dan dorongan kepada diri ini untuk terus berjuang kerana Allah.



Bapa saya telah berkorban segala-galanya buat anak-anaknya termasuk saya. Saya tidak ingat pernah dimarahinya malah kadangkala semasa di sekolah saya cemburu mendengar cerita kawan-kawan yang sering berhadapan dengan bapa yang garang, sampai begitu sekali. Sejarah hidup pahit dan getir yang beliau lalui dizaman mudanya telah mengakibatkan beliau tidak memiliki kekuatan untuk bertindak kasar terhadap anak-anaknya, agung sungguh insan ini.

Bapa saya kehilangan ayahnya diusia yang sangat kecil. Anak lelaki tunggal dalam keluarga berempat, ibunya, yang sempat saya menumpang kasih ketika kecil dahulu, itulah yang bersusah-payah membesarkan beliau dan adik-beradik yang lain sehingga menjadi manusia. Beliau pernah mengisahkan bahawa semasa di sekolah (Klang High School) seluar panjang pertamanya dihadiahkan oleh gurunya kerana keluarganya tidak mampu membeli. Akhirnya anak bertuah ini berjaya di dalam kerjayanya dan bersara sebagai Pegawai kanan Polis dengan rekod yang cemerlang.

Saya juga tidak ingat pernah ditolak kemahuan saya oleh bapa saya, semuanya dituruti, saya kira lantaran kasih dan sayang pada anaknya, walaupun kadangkala sampai keperingkat melampau. Yang saya akan kenang sampai ke mati adalah bimbingan beliau kepada anak-anaknya agar menghayati Islam, bukan melalui paksaan tetapi melalui perlakuan dan hidupnya. Beliau adalah keramat hidup buat kami sekeluarga.

Lantas hati ini menangis, mengenangkan betapa besar dan mulianya pengorbanan beliau, setitis pun tidak mampu dibalasi oleh kami anak-anaknya. Mungkin yang upaya, akan kami gagahkan adalah doa buat beliau, semoga dikurniakan Allah swt kesihatan, sejahtera dan senang hidupnya, terima kasih Abah, Happy Fathers Day from Lan and family.

1 comment:

Anonymous said...

Encik Roslan,

Malaysia sambut Hari Bapa pada Ahad ketiga bukan? i.e 15 Jun 2008.

Mungkin saya silap, tapi sekurang-kurangnya itu yang Wikipedia beritahu saya.