Rakyat Kelantan perlu tegas dalam membuat pendirian
Negeri yang terus menjadi tumpuan dan perhatian para penganalisa dan pemerhati politik dalam PRU kali ini adalah Kelantan. Adakah kerajaan PAS Kelantan dapat bertahan untuk penggal kelima? Adakah rakyat Kelantan akan beralih selera memberi mandat kepada Umno dan BN pula kali ini untuk memerintah mereka?
Ternyata sejak tahun 1999 Kelantan telah menyaksikan perubahan dalam gaya atau ”style” kepimpinan selepas mereka mengangkat seorang tokoh ulamak iaitu Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat sebagai MB.
Siapa pun tidak boleh nafikan setelah Tok Guru mula menerajui negeri ini dan menyusun barisan EXCO nya yang terkini, terdiri dari gabungan ulamak dan profesional dari pelbagai disiplin, Kelantan telah melalui satu transformasi yang tidak pernah ia rasai sebelum ini. Yang jelasnya sejak 18 tahun lalu seluruh pimpinan negeri dan wakil-wakil rakyatnya bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa atau sebarang jenayah moral.
Memang dari sudut pembangunan fizikal Kelantan agak terbatas berbanding negeri-negeri yang dikuasai BN yang lain, tetapi ini berlaku bukan kerana ketidakcekapan pimpinan negeri, ianya berlaku kerana sekatan dan kekangan dari kerajaan Pusat yang dikuasai Umno.
Atas dasar inilah rakyat Kelantan perlu kini bijak membuat perhitungan. Kelantan di bawah Tok Guru telah berjaya membina apa yang gagal dibina di negeri-negeri lain, iaitu saf kepimpinan yang beramanah dan bertaqwa. Dari situ tugas seterusnya bukanlah untuk menurunkan pimpinan ini dan digantikan dengan mereka yang sudah sedia terpalit dan pincang dengan rasuah dan kemungkaran, sebaliknya adalah untuk memastikan yang mereka yang berkualiti ini terus kekal dan dimenangkan dengan majoriti yang lebih besar.
Rakyat Kelantan perlu menghargai hakikat ini. Cara untuk memastikan yang Kelantan terus makmur dan maju, ”Membangun Bersama Islam” adalah dengan memberikan kekuatan politik kepada PAS. Menangkan PAS di negeri dan di parlimen dan pastikan Umno tidak ada runag lagi untuk bernyawa di Kelantan. Ketika itu kerajaan Pusat, siapa pun mereka, perlu serius dan bekerjasama dengan kerajaan Kelantan.
Kekuatan politik PAS di Kelantan ini nanti akan mengajar Umno bahawa rakyat Kelantan lebih menghargai akhlak dan keperibadian pemimpinnya mengatasi janji dan tawaran yang manis dan enak-enak. Apabila sudah tidak ada wakil Umno lagi, atau ianya dikurangkan pada tahap paling minima maka ianya menjadi petanda bahawa itulah kemahuan rakyat Kelantan dan lantaran itu kerajaan Pusat perlu akur dan menghormatinya. Umno telah cuba, tetapi 5 penggal berturut-turut rakyat terus menolak mereka, maka kesimpulannya rakyat mahu terus dipimpin oleh kerajaan yang sedia ada.
Ketika itu seluruh negara dan dunia akan terpaksa memberi pengiktirafan pada hakikat berkenaan. Maka kekallah Kelantan dipimpin oleh saf kepimpinan yang paling berkualiti dalam negara, dan rakyatnya senang dan makmur kerana sedar bahawa kemungkaran politik dan ekonomi sudah luput dan pupus samasekali di Negeri Serambi Mekah.
Undilah PAS dan Selamatkan Kerajaan ”Membangun Bersama Islam”
No comments:
Post a Comment