Media Arus Perdana "perkakas" BN
Salah satu tuntutan BERSIH adalah "Akses sama rata di media untuk semua parti-parti politik yang bertanding". Sehingga kini tidak ada mana-mana pihak yang ambil peduli apa lagi mempersoalkan darihal tuntutan itu. Ia seakan dilupakan dan dihumban entah kemana.
Sejak kebelakangan kita lihat media arus perdana semakin bernafsu digunakan oleh BN untuk kepentingan politik mereka. Semua akhbar utama, semua saluran TV dan radio, kini menjadi perkakas propoganda BN. Demikianlah demokrasi di Malaysia, dulu, kini dan nampak-nampaknya buat selama-lamanya selagi BN berkuasa.
Dahlah parti-parti pembangkang tidak mendapat sebarang liputan yang bermakna di media arus perdana, aktiviti dan program mereka pula dikekang dan disekat-sekat. Semalam contohnya di Desa Mentari, di bawah kawasan Parlimen Kelana Jaya, ceramah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diserbu oleh pihak polis. Hampir seluruh ketumbukkan kekuatan polis daerah Petaling Jaya telah turun diketuai Ketua Polis Daerahnya untuk menahan Anwar dari berceramah sedangkan ribuan rakyat jelata mengerumuni kawasan rumah pangsa kos murah itu untuk mendengar pemimpin pembangkang berkenaan. Akhirnya Anwar dibenarkan 20 minit, itulah demokrasi di Malaysia!
Kalau kita selak akhbar-akhbar tempatan, kita akan melihat seolah-olah BN akan menang 100% disemua kerusi yang dipertandingkan. Di Kelantan, dalam akhbar hari ini Pengerusi BN Dollah Badawi membayangkan pembentukkan Kelantan baru, semalam saya terbaca sebuah akhbar sehingga meramalkan Parlimen Pengkalan Chepa (satu-satunya kerusi kubu terkuat PAS di Malaysia yang tidak pernah kalah sejak 1959) dan kesemua DUN nya termasuklah kerusi Tok Guru MB akan ditawan Umno/BN.
Dalam akhbar hari ini juga Umno dikatakan akan menggempur DUN Permatang Pasir, di Pulau Pinang yang dimiliki PAS. Baru-baru ini Pengerusi BN Wilayah dilaporkan mahu menawan kesemua kerusi-kerusi Parlimen Wilayah termasuklah empat milik DAP di Bukit Bintang, Kepong, Cheras dan Seputeh.
Dan saya percaya berita-berita kehebatan BN ini akan terus memuncak sehinggalah hari mengundi bagi mengasak minda rakyat bahawa hanya BN sahaja yang unggul dan patut menang.
Demokrasi bukan sekadar berpilihanraya. Demokrasi bukan sekadar membenarkan parti-parti pembangkang bertanding. Demokrasi termasuklah kebebasan penyaluran maklumat, yang disalurkan pula secara adil dan bersih. Maklumat dari semua parti yang bertanding perlulah seimbang turun sama-rata untuk ditelaah dan dibaca oleh rakyat. Kalau yang turun dan dibaca hanyalah dari satu parti, itu bukan demokrasi namanya tetapi otokrasi!
Semua parti-parti pembangkang, suka atau tidak akan terpaksa menghadapi segala kepincangan demokrasi ini, serta media arus perdana yang dilacurkan oleh BN untuk kepentingan mereka. Kita mengharapkan rakyat tidak akan mudah dan terus terpengaruh. Dalam serba keterbatasan parti-parti pembangkang akan terus melawan arus, suatu tugas yang sukar dan berat namun perlu dilakukan demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara ini dari kekotoran BN yang tidak sudah-sudah itu.
Ayuh selamatkan demokrasi, gunakan kesempatan pilihanraya ini untuk membawa perubahan total demi anak-cucu kita generasi yang akan datang!
No comments:
Post a Comment