"Pengurus" yang perlu ditukar
Suka atau pun tidak kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum ke 12 ini dalam suasana kos hidup yang menghimpit. Masalah jenayah samada kita sebagai mangsa atau menyaksikan perkembangan yang berlaku disekeliling kita, sangat mempengaruhi kehidupan seharian kita. Begitu juga masalah keruntuhan akhlak dan moral bukan hanya dikalangan anak-anak muda malah termasuk kalangan pimpinan dan pak menteri sekali, sangat kita kesali dan bimbangi.
Inilah realiti kehidupan di Malaysia pada hari ini.
Dan di muka depan akhbar The Star hari ini, kajian dari UIAM yang diketuai Prof Dr Syed Arabi Idid ternyata mendapati yang hakikat di atas terus menghantui rakyat Malaysia. Dari 2,930 orang yang dicula dari 12 buah negeri, kajian itu mendapati 24% rakyat meletakkan masalah ekonomi, iaitu harga barangan yang semakin tinggi, sebagai masalah utama mereka dalam pilihan raya kali ini. 22% merasakan masalah jenayah sudah semakin panas dan menjadi serius. Sementara 16% bimbang akan masalah sosial, mat rempit dan hubungan antara kaum.
Kerana itu isu-isu ini akan terus hangat diperkatakan dalam pilihan raya umum kali ini, kerana ianya merupakan masalah ketara yang gagal atau masih belum dapat diatas oleh kerajaan BN yang memerintah. Apabila rakyat merungut yang harga barangan dan perkhidmatan semakin melambung naik, alasan kerajaan BN, kita masih rendah berbanding dengan negara-negara lain. Apakah rakyat boleh berpuas hati dan tidur lena dengan alasan begitu? Jangankan orang PAS atau PKR saya yakin orang-orang Umno yang terpaksa sama menanggung derita ini juga tidak akan berpuas hati dengan jawapan seumpama itu.
Apabila rakyat merungut darihal upah dan pendapatan yang kecil, MTUC memperjuangkan agar diperkenalkan gaji minima RM900 dan COLA RM300 untuk kakitangan disektor swasta bagi menampung kehidupan semasa yang semakin menyempitkan itu, kerajaan memberi alasan takut para pelabur nanti akan tarik pelaburan mereka keluar! Tetapi dalam waktu yang sama kita megah dengan projek pembangunan mega dengan "corridor" segenap penjuru negara!
Lantas rakyat berhak bersuara, dan kerana itu rakyat perlu disedarkan bahawa parti yang diberi tanggungjawab untuk mengurus negara kita hari ini adalah BN. Jika kita tidak berpuas hati dengan kehidupan kita, sangsi dengan masalah jenayah dan keruntuhan moral dan akhlak yang tidak dapat diatasi dan ditangani dengan efektif, kita perlu menyemak kembali keberkesanan pihak pengurusan yang telah kita beri amanah selama ini.
Pengurus bola pun boleh dipecat inikan pula pengurus yang mengurus hal ehwal negara dan kehidupan kita. Kita berhak mendapatkan yang terbaik, yang bersih yang amanah dan yang boleh dipercayai. Bukannya yang sekadar pandai memberi alasan apabila masalah menimpa, membelanjakan wang negara dan rakyat dengan boros, yang bersekongkol dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa!
Masa untuk berubah kini sudah tiba, sama-samalah kita menamatkan keangkuhan kuasa mutlak BN dan kita bentuk sebuah pasukan pengurusan yang berhemah tinggi, berani dan paling utama bertaqwa. Segalanya terletak ditangan kita!
No comments:
Post a Comment