BN terus memperlihatkan kelemahannya
Seingat saya perkara sebegini tidak pernah berlaku dalam BN sebelum ini. Biasanya kalau calon-calon telah diumumkan oleh samada Pengerusi BN Negeri atau Pengerusi BN Pusat, itulah calon-calon yang akan bertanding atas tiket BN pada hari penamaan calon kelak. Kecuali satu dua kes yang luarbiasa, biasanya BN hebat dari sudut itu.
Berlainan dengan parti-parti pembangkang, sejak dari dulu lagi pasti akan ada pertukaran disaat-saat akhir, kerana mereka bukan hanya menghadapi masalah kesukaran mendapatkan calon-calon (siapa mahu menempah susah) tetapi juga pihak lawan yang sibuk dengan pancing masing-masing mahu memancing calon-calon pembangkang supaya mereka menang percuma. Pernah dalam satu pilihanraya di Sabah, Ketua Menteri Sabah ketika itu berjaya membeli semua calon-calon pembangkang sehingga hampir keseluruhan kerusi Parlimen negeri itu jatuh ketangan Perikatan secara percuma.
Apa pun kini nampaknya parti-parti pembangkang khasnya BA dan DAP lancar dan licin susunan calon-calonnya. Sehinggakan kawan saya Wee Choo Keong (yang keras itu) dari parti serpihan DAP iaitu MDP dapat dipujuk dan setuju bertanding atas tiket PKR di Wangsa Maju dan bekas ADUN BN dari Gerakan dapat ditawarkan kerusi DUN Derga, Kedah dan bakal bertanding atas tiket PKR setelah meninggalkan Gerakan.
Kesimpulannya pembangkang nama lebih tersusun berbanding BN dalam mengemukakan senarai calon-calon.
Beberapa calon BN termasuklah dari Umno dilaporkan terpaksa ditukar disaat-saat akhir walaupun setelah pengumuman calon-calon dibuat. Kita sudah pasti telah mendengar darihal kekalutan yang berlaku di Perlis sehingga Shahidan terpaksa berjumpa Dollah Badawi sebanyak 7 kali dalam sehari sebelum berpuashati. (Malah setakat artikel ini ditulis BN Perlis masih belum pun mengumumkan nama calon-calonnya).
Di Kelantan dua orang calon BN yang telah diisytiharkan namanya bertanding atas tiket BN difahamkan sedang memikir semula samada bersetuju atau tidak.
Ini semua bagi saya membuktikan betapa lemah dan longgarnya kepimpinan Dollah Badawi rupanya beliau bukan hanya lemah sebagai PM malah sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno pun beliau kelihatan kalut dalam menyelesaikan masalah. Berbeza dengan pimpinan BN dan Perikatan sebelum ini.
Mungkin ini adalah isyarat awal kemerosotan BN, mudah-mudahan begitulah. Parti-parti pembangkang khasnya BA dan DAP perlulah bekerja lebih kuat lagi dan terus m,eyakinkan rakyat bahawa tarikh luput BN rupanya adalah pada 8 Mac 2008 ini, oleh itu sama-samalah kita semua tukar kepada yang baru!
No comments:
Post a Comment