Sunday, February 17, 2008

Gelombang peralihan sokongan masyarakat India di Malaysia

Sekali lagi Samy Vellu diserbu dan dimaki hamun oleh orang-orangnya sendiri. Kali ini di dua lokasi dalam sehari iaitu di SJKC Chung Hwa Pusat 3 di Taman Senangin di Butterworth dan di Chai Leng Park ketika bertemu JK Rukun Tetangga dan Umno cawangan juga di Butterworth.

Dalam kejadian pertama Samy dikatakan telah dikunci di dalam bangunan sekolah berkenaan oleh sekumpulan besar masyarakat India yang mendesak agar beliau bertindak membebaskan lebih 100 tahanan yang ditahan oleh polis di KL kerana menghadiri demonstrasi anjuran Hindraf di KL pada sebelah paginya. Samy dikatakan berjanji akan campurtangan dan akhirnya apabila pihak polis tiba Samy berjaya diloloskan dari cengkaman kumpulan berkenaan.






Kemudiannya dalam majlis kedua ucapan Samy diganggu oleh sekumpulan masyarakat India yang lain yang jelas tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau dan MIC.

Samy dilaporkan berada di Butterworth bagi membantu jentera MIC yang akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Prai miliknya. Prai mempunyai lebih 87% pengundi bukan Melayu dengan pengundi India sahaja seramai 35%. Dalam PRU ke 11 lalu calon DAP tewas Cuma dengan 583 undi.

Dengan perkembangan ini saya yakin kedudukan calon-calon MIC buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara berada dalam situasi yang sangat meruncing. MIC kini mempunyai 12 kerusi Parlimen dan 19 DUN. Sepanjang pilihanraya yang lepas-lepas calon-calon MIC sentiasa memberikan kekuatan kepada BN, mungkin dengan perkembangan terbaru ini tidak lagi.

Malah Umno sendiri sepatutnya tidak meandang kecil perkembangan ini kerana kebanyakkan calon-calon Umno juga terutama di Pantai Barat bersandar kepada kekuatan sokongan dari masyarakat India yang selama ini taat dan setia pada BN. Jika berlaku lebih dari 50% “swing” atau peralihan sokongan dari BN ke pembangkang dari kalangan pengundi-pengundi India, tidak mustahil bukan hanya calon-calon MIC yang akan kecundang malahan calon-calon Umno pun akan terlentang terutama di Pulau Pinga, Selangor dan Perak.

Perkembangan yang tidak disangka-sangka ini jika berlaku 8 Mac ini akan mencetuskan gelombang kebangkitan baru lanskap politik di Malaysia. Kita mengharapkan agar pengundi-pegundi Melayu juga akan membuka mata masing-masing dan berani juga membuat keputusan yang realistik. Samada berpayung di bawah pimpinan yang tidak bermoral dan lemah atau beralih kepada yang lebih baik.

Fikirlah semasak-masaknya.

No comments: