Saturday, February 09, 2008

Dollah: Saya PM yang kuat bekerja

Semalam di Pulau Pinang ketika menghadiri jamuan Tahun Baru Cina di sana PM Dollah Badawi telah menempelak mereka yang mengatakan yang beliau tidak bekerja kuat. Beliau menegaskan yang beliau sebenarnya bekerja keras dan ini diketahui oleh semua. Utusan melaporkan:

Malah katanya, beliau bekerja lebih keras berbanding orang lain yang merasakan diri mereka telah bertungkus-lumus selama ini.

Perdana Menteri berkata, tiada ruang untuk dirinya berehat malah beliau perlu bekerja lebih daripada orang lain bagi memastikan layanan dan peluang diberi sama rata kepada semua kaum di negara ini.










Dollah kelihatan terpaksa mempertahankan rekod “kerja kuat” nya dihadapan rakyat sedangkan ia tidak pernah pun diungkapkan secara terbuka oleh mana-mana PM pun sebelum ini. Kuat tidak kuat atau keras tidak keras seseorang PM bekerja dapat dilihat dari suasana sekeliling kita. Jika malap, pudar dan tidak meyakinkan, maka rakyat sendiri akan menghukumnya. Tuan punya badan tidak perlulah bersusah payah menggambarkan sesuatu yang ada atau tidak kepada rakyat, kecualilah rakyatnya benar-benar buta atau rabun.

Sebenarnya rakyat secara berani telah mula mengulas dan memperkatakan darihal rekod kepimpinan Dollah ini apabila bekas PM Tun Dr Mahathir telah secara terbuka mendedahkannya. Mungkin ada diantara kita yang benci dan marah pada Tun tetapi dalam kes BN dan rekod Perdana Menterinya, siapakah yang lebih baik untuk menilai jika tidak tokoh yang telah menyerahkan kuasa kepada PM yang baru ini.

Tun lah yang telah mendedahkan darihal kelemahan Dollah, dan dari situ rakyat mula membuat perbandingan antara Tun dan Dollah. Bagi mereka yang celik, khasnya yang di kalangan ahli, pimpinan dan penyokong Umno dan BN sudah pasti dapat melihat dan mengesannya. Cuma mungkin oleh kerana Dollah adalah PM maka tidak ada siapa yang berani berterus-terang walaupun hakikatnya ia adalah benar (Mengingatkan saya kepada Emperors New Clothes).

Dalam buku: Dr Mahathir’s selected letters to world leaders, yang baru sahaja dilancarkan beberapa hari lepas, di dalam ruangan “Prologue” nya, Tun menulis:

It did not cross my mind that after I left, there would be such a change as to make pleasing the Prime Minister more important than anything else. News in the mainstream media is so censored and spun by spin doctors that the Prime Minister cannot possibly know the feelings and frustrations of the majority of the people.

Tidak terlintas didalam fikiran saya yang selepas saya pergi, akan berlaku perubahan sehingga “membodek” PM lebih penting dari segala-galanya. Berita dalam media saluran perdana terlalu ditapis dan diputar-belit oleh pakar-pakar putar sehinggakan PM tidak mungkin mengetahui perasaan dan ketidakpuasan hati majority rakyat.

Jadi yang kuat membongkar kelemahan Dollah sebenarnya adalah bekas bosnya sendiri dan kini rakyat sudah mula menyedarinya, lantaran itu usaha perlu dilakukan untuk merawat kesan dari serangan ini, maka terpacaklah Dollah di hadapan masyarakat mendakwa bahawa beliau sebenarnya (tidak tidur) tetapi selama ini bekerja kuat untuk rakyat dan negara.

Sekadar untuk rekod, di bawah kepimpinan beliau harga runcit petrol, diesel dan gas melambung tinggi, begitu juga harga barangan dan perkhidmatan. Turut melonjak tinggi adalah kadar jenayah, dan golongan minoriti mula menyuarakan keresahan mereka kerana semakin tersisih dan terpinggir. Sekolah Rendah Agama terus ditekan, masjid dan surau dikuasai oleh orang-orang politik Umno dan menafikan hak ahli-ahli kariah, gejala murtad semakin berleluasa dan kes-kes murtad dan tuntutan mayat semakin meruncing dan tidak nampak jalan penyelesaian yang efektif.

Rasuah, salah-guna kuasa, kronisma dan nepotisma terus menjadi amalan, dan politik wang bukan sekadar amalan semasa pilihan raya (kecil) tetapi telah bersarang di dalam Umno sendiri.
Siapa kata Dollah tidak bekerja kuat?

No comments: