Tahap sokongan terhadap PR - PAS (bahagian 2) (15/4/13)

Monday, April 15, 2013


“Benchmark” bagi Kit Siang untuk menang di Parlimen Gelang Patah adalah meraih 80% sokongan pengundi Cina, 40% pengundi India dan 15% pengudi Melayu, demikianlah sasaran kem Kit Siang di sana.
Parlimen Gelang Patah mempunyai 54% pengundi Cina 12% pengundi India dan 34% pengundi Melayu.

Saya kira inilah kali pertama Kit Siang bertanding di kawasan maoriti Cina kurang dari 70%. Ini bermakna sekurang-kurangnya DAP yakin bahawa mereka dalam PRU ke 13 ini akan berjaya mencatatkan paling tidak 80% sokongan pengundi Cina. Jika menurut kajian PRU ke 12 lalu, PR memperolehi 60.5% purata sokongan pengundi Cina, bermakna kali ini blok pengundi Cina disangka lebih ramai akan condong kepada PR iaitu dengan kenaikan sehingga 19.5%!
Bagi saya angka ini munasabah memandangkan rata-rata pengundi Cina hari ini dilihat lebih selesa kepada PR khasnya DAP dan seakan putus terus harapan pada BN.

Malah ada rakan-rakan yang menjangkakan tidak mustahil kecenderungan pengundi Cina terhadap PR itu boleh naik sehingga 90%!
Dengan kekuatan ini, sudah pastilah jika trend begini merata di semua kerusi Parlimen dan DUN, PR punya harapan cerah sekurang-kurangnya dikerusi-kerusi yang pengundi Cina melebiohi 50% sebagaimana Gelang Patah.

Dalam pada itu kecenderungan pengundi India pula dikesan akan semakin menyusut terhadap PR kali ini. Kalau menurut kajian sebuah NGO pada PRU ke 12 lalu lonjakkan pengundi India terhadap PR mengatasi kaum-kaum lain iaitu mencecah 89.6% lantaran sentimen anti BN yang kuat ketika itu. HINDRAF berjaya mencelikkan pengundi India secara meluas, selain kebebalan MB Selangor Khir Toyo dalam merobohkan sebuah Kuil Hindu di Selangor menjelang Deepavali.
Menggunakan “benchmark” Kit Siang di Gelang Patah, kem mereka di sana menjangkakan sekadar 40% pengundi India akan undi Kit Siang. Ia suatu penurunan besar berdasarkan angka PRU 12 di atas iaitu kemerosotan 49.6%.

Adakah pengundi India telah kembali ke BN?
Bagaimana pula dengan pengundi Melayu?

Hujan ribut bantuan demi bantuan, BRIM demi BRIM selain angin patriotisma yang bertiup dari insiden di bumi Sabah selain isu-isu kecil lain dijangka banyak mempengaruhi sentimen pengundi Melayu, tetapi mungkin tidak menyeluruh, namun jika tidak dikawal dan dirawat mungkin boleh menjejaskan harapan PR khasnya beberapa calon PKR dan sebahagian besar calon-calon PAS.
Pada PRU ke 12 lalu secara purata PR dianggarkan menerima 45.6% sokongan pengundi Melayu. Dalam PR Kecil Parlimen Bukit Gantang, PR yang diwakili calon PAS mengaut 43% undi Melayu dan angka ini dijangka lebih mengecil hari ini.

Kembali kepada “benchmark” Gelang Patah tadi, kem DAP menjangkakan Kit Siang mampu memungut 15% undi Melayu……..angka konservatif ini menunjukkan penurunan yang besar. Mungkin dengan formula 80+40+15 Kit Siang boleh menang di Gelang Patah tetapi bagaimana dengan kerusi-kerusi lain yang PR tandingi. Bolehkah formula yang sama digunakan?
Di Parlimen Kuala Selangor contohnya peratus pengundi adalah seperti berikut Melayu 60.96% Cina 15.64% India 23.30% (angka PRU 12). Jika formula Gelang Patah digunakan, calon PAS akan tewas di sini. Ini memandangkan kerusi ini adalah antara salah sebuah kerusi yang mempunyai pengundi India terbanyak selain Parlimen Kota Raja 28.27% (angka PRU 12).

Namun sentimen di Gelang Patah mungkin berbeza dengan di Selangor kerana di Selangor rekod kerajaan negeri PR mungkin membantu.
Walaubagaimanapun kecenderungan pengundi Melayu dan India sangat penting dan kritikal buat PR khasnya PAS samada untuk bertahan di Selangor dan untuk mencapai kemenangan di tempat-tempat lain.

Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham contohnya dalam Malay Mail 3 April lalu menyatakan bahawa PR mampu kembali memerintah di Perak dengan syarat memperolehi 50% sokongan pengundi Melayu disamping 50% sokongan pengundi India. PAS Perak (The Edge 29 Mac) pula yakin BN tumbang di Perak sekiranya PAS dapat menguasai tidak kurang dari 45% sokongan pengundi Melayu.
Manakala di Johor pula PAS Johor semasa mengumumkan senarai calon-calon menyatakan bahawa 38% sokongan pengundi Melayu dan 50% pengundi India dapat menumbang BN di Johor.

PR di Perak dan Johor yakin kepada “swing” besar pengundi Cina, mungkin sebagaimana Kit Siang di Gelang Patah iaitu sehingga 80%.
Kesimpulannya semua pihak khasnya PAS perlu bekerja keras memenangi hati pengundi Melayu begitu juga rakan-rakan lain dalam menambat hati pengundi India. Pengundi Cina nampaknya telah membuat keputusan. Jangan pula kerana senang dengan sokongan pengundi Cina tumpuan terhadap pengundi Melayu dikesampingkan.

Jika di awal-awal penubuhannya dari Pilihanraya Persekutuan 1955 sehinggalah PRU I 1959 dan berikutnya, PAS bergantung kepada undi Melayu, kini nampaknya PAS boleh meningkatkan pencapaiannya dengan syarat pengundi tradisinya, iaitu Melayu, yakin dan menyokongnya.

Tiada orag yang lebih mengenali hati dan isi perut pengundi Melayu selain orang PAS sendiri. Berhati-hatilah, pujuk dan belai mereka, jangan diluka hati mereka ketika ini, jangan diperkecilkan mereka, kekuatan Islam yang ada dalam tangan perlu digunakan sepenuhnya untuk meyakinkan mereka. Pengundi Cina tetap bersama PR, jika hati pengundi Melayu berjaya ditawan tidak mustahil suatu perubahan besar bakal tercatat dalam PRU ke 13 ini.

 

0 comments: