Berikut adalah posting blog saya pada 13 Febuari 2008 lalu,
iaitu hari PM ketika itu Dollah Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen.
Kebetulan hari ini 3 April PM (sekarang “caretaker PM”) Najib Tun Razak juga
membubarkan Parlimen. Bagi saya isi kandungan posting ini masih mencerminkan
hasrta dan kemahuan hati saya. Ketika itu saya bertugas sebagai Setiausaha
Akhbar Presiden PAS. (Untuk makluman Pakatan Rakyat tidak disebut kerana PR
hanya lahir selepas PRU ke 12) :
Saya menerima maklumat yang Parlimen akan dibubar hari ini
juga walaupun baru semalam Perdana Menteri Dollah Badawi menafikannya. Parlimen
jika mahu dibubarkan perlu sangat kepada tarikh sebelum 17 Mac kerana jika
tidak sidang Parlimen berikutnya akan dirersmikan oleh Yang Dipertuan Agong.
Jika SAHIH Parlimen bubar hari ini, saya merayu kepada
Tuan/Puan/Sdr/i pembaca dan mereka yang mengikuti BLOG saya ini serta tulisan
saya dimana-mana sumber lain agar membantu menegakkan perjuangan kebenaran ini.
Inilah peluang terbaik kita untuk membawa perubahan dengan izin Allah swt.
Berkempenlah kita semua kepada adik-beradik, saudara-mara,
kawan dan taulan, kita semua perlu bekerja dan jangan mengharapkan jentera
parti PAS atau PKR sahaja, malah kita yang tidak berparti lebih-lebih lagi
perlu menyumbang tenaga. Yakinkan kepada semua bahawa Malaysia berhak kepada
sebuah kerajaan dan barisan pimpinan yang bersih, adil, tidak korap dan
sentiasa membela dan mempertahankan nasib dan kebajikan rakyat.
Malaysia akan maju dan disegani dunia apabila pimpinan negara
kita terdiri dari mereka yang berwibawa, bermaruah dan berakhlak mulia.
Sesungguhnya diperingkat ini individu dan parti tidak utama, yang lebih utama
adalah maruah negara, agama dan bangsa. Pilihlah mereka yang terbaik diantara
kita, pilihlah mereka yang ikhlas dan bertaqwa. Jika kita semua dapat memikul
amanah ini dengan baik, insyallah selepas Pilihan Raya Umum ini Malaysia akan
lahir sebagai sebuah negara baru yang dapat dimegahi oleh semua.
No comments:
Post a Comment