Apabila pihak polis memberi amaran kepada penyokong dan
petugas-petugas parti agar jangan bawa senjata semasa ceramah dan mengiringi
calon sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-13 pasti ianya mencetuskan
kebimbangan dikalangan orang ramai. Begitu juga apabila pihak polis turut
menyenaraikan kerusi-kerusi yang dijangka panas dalam PRU ini, sudah pasti ada
yang merasa cemas.
Tidak dapat dinafikan hari ini pun, belum lagi hari penamaan calon, sudah ada yang ditangkap dan di bawa ke mahkamah insiden, keganasan pilihanraya.
Kita Malaysia sudah mahu masuk kali 13 berpilihanraya.
Alhamdulillah kesemua pilihanraya-pilihanraya itu termasuk Pilihanraya
Persekutuan 1955 berjalan dalam suasana aman. Malah PRU 1969 pun pada dasarnya
berjalan lancar sehinggalah selepas keputusan pilihanraya diumumkan.
Sebagai penjaga keamanan pihak polis berhak mengeluarkan
peringatan sedemikian. Akan tetapi jika ianya diulang-ulang tidak boleh tidak
pasti ianya membangkitkan perasaan yang jika tidak pun cemas, sekurang-kurangnya
gusar di hati rakyat Malaysia.
Disaat ini semua pihak khasnya penyokong dan petugas-petugas
parti di kedua-dua belah pihak perlulah memelihara keamanan dan jangan
sekali-kali mencetuskan keganasan atau tindakan yang melanggar undang-undang Negara.
Kita mahu rakyat memilih dan memberi mandat kepada kerajaan pilihannya dalam
suasana aman dan tenang. Oleh itu tugas kita sekarang adalah berkempen bukannya
bertelagah dan berkonfrontasi secara fizikal sesama parti yang bertanding.
Saya yakin rakyat Malaysia yang matang dan berpelajaran akan
memilih parti yang paling sopan dan baik akhlaknya dalam pilihanraya kali ini.
Parti yang sopan dan berakhlak dicerminkan oleh penyokong dan petugasnya yang
memiliki kualiti sedemikian.
Jangan tunduk kepada provokasi, jangan layan mereka yang
mahu mencetuskan ketegangan dan huru-hara.
Pihak polis telah memberi komitmen akan bertindak secara
adil dan bebas. Suka atau tidak maka serahkanlah kepercayaan kepada mereka
dalam hal berkenaan. Bagi kita, rakyat mahu menjalankan tugas mereka memilih,
kita kempen, kita pengaruhilah mereka agar menyokong dan mengundi calon serta
parti kita. Tidak perlu ganas, tidak perlu samseng untuk memenangi hati rakyat.
Semoga rakyat akhirnya memilih calon-calon yang paling baik
antara yang bertanding nanti untuk memimpin dan mentadbir mereka.
Katakan TIDAK kepada keganasan.
No comments:
Post a Comment