Tuesday, April 16, 2013

Formula kemenangan menghadapi musuh (16/4/13)


Dalam kesibukan kita mengikuti perkembangan PRU ke 13 elok rasanya kita sentiasa ingat mengingati sesama kita kerana atas apa kedudukan kita sekalipun dalam PRU ini, tugas PRU ini adalah bagi menaikkan pemimpin dan amanah itu perlu diulang-ulang dan dingatkan kepada kita agar kita tidak terlupa dan tersasar dari matlamat asal.
Terbaru saya kagum dengan peringatan yang diberikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain sebagaimana yang dimuatkan di :

Dalam kita sibuk bertempur, elok sangat peringatan seumapama ini:

“….wakil rakyat menanggung amanah besar yang diberikan oleh Allah. Wakil-wakil rakyat juga diingatkan agar berkhidmat dengan baik kepada rakyat dengan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan setiap apa yang dijanjikan secara penuh telus dan beramanah serta mandat yang diberikan oleh rakyat seharusnya tidak khianati……PAS lahir membawa perjuangan Islam berdasarkan Al-Quran serta hadis dan ianya telah menjadi sinonim kepada rakyat Malaysia. Dasar Islam yang diperjuangkan PAS tidak pernah bertukar dan ianya kekal walaupun bersama Pakatan Rakyat. Yang penting bagi kami (PAS) ialah prinsip Al-Quran itu akan dapat dijelmakan dan dirasai bersama oleh rakyat dengan keadilan untuk semua yang hidup di muka bumi ini…”
Jika kita berebut hendak menjadi calun. Ghairah menaikkan nama sendiri. Kita terlibat dalam mencantas sesama kawan, menaikkan orang yang kita suka dan menjatuhkan yang tidak, maka tidak ada beza kita dengan musuh. Jika begitu kita tidak layak menjuarai perjuangan Islam.

Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad (bekas Timbalan Presiden PAS) pernah berkata:
“Satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan ada pada kita maka ada harapan cita-cita kita ini akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat, sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Semoga calun-calun PAS yang dipilih adalah dari kalangan yang baik-baik, yang ikhlas dan bersedia menjadi hamba kepada rakyat dengan menjunjung amanah Allah swt.
Satu pesanan yang paling baik kita ingati adalah pesanan Saidina Umar al Khattab, Amirul Mukminin kepada Saad bin Abi Waqqas yang merupakan Jeneral Tentera Islam semasa mahu bertempur dengan Tentera Parsi:

(Apakah persediaan yang paling baik dalam pertempuran ini? Senjata canggih? Wang ringgit?)
“Bertaqwa kepada Allah dalam semua keadaan. Maka sesungguhnya bertaqwa kepada Allah itu sebaik-baik persediaan untuk menghadapi musuh dan sebaik-baik taktik di dalam peperangan.

(Adakah kekuatan musuh yang perlu kita geruni? Kejahatan musuh?)
“Aku memerintahkan kamu dan siapa sahaja yang bersamamu supaya lebih berhati-hati terhadap diri kamu lebih daripada terhadap musuh kamu, kerana dosa yang dilakukan oleh bala tentera kita sepatutnya lebih ditakuti mereka daripada takutkan musuh. Sesungguhnya diberi pertolongan kepada orang-orang Islam itu dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh terhadap Allah………jika kita sama sahaja mengerjakan maksiat maka mereka melebihi kita dari segi kekuatan.”

Maksiat ini luas maknanya. Bukan sekadar berzina, rasuah, mencuri. Apa sahaja yang berlawanan dengan “ketaatan” pada Allah swt adalah maksiat. Berbuat jahat, menganiaya, mengambil hak juga adalah maksiat.
Semoga Allah swt terus mengunriakan kemenangan kepada mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya.

 

No comments: