Thursday, April 04, 2013

Satu calon satu kerusi (4/4/13)


Secara berperingkat-peringkat nama calon-calon parti-parti yang bertanding diumumkan oleh pimpinan mereka. Walaupun mungkin ada beberapa kerat kerusi yang belum dimuktamadkan, tetapi akhirnya akan diputuskan juga secepat mungkin pastinya.
Bagi PAS sendiri nama-nama calon juga sudah mula diumumkan oleh pimpinan.

Bagi Pakatan Rakyat, PAS lah merupakan rakan komponan yang paling tua, diikuti DAP dan paling bongsu adalah PKR. Satu saranan saya kira yang perlu ditauladani oleh PAS yang cuba diusahakan oleh DAP adalah bahawa parti itu akan kemukakan hanya satu calon untuk satu kerusi kecuali setakat ini untuk Lim Guan Eng, Setiausaha Agungnya yang dijangka bertanding kedua-dua kerusi parlimen dan DUN di Pulau Pinang.
Usaha seumpama ini perlu dicontohi kerana ia akan menunjukkan kepada umum betapa PAS selaku abang sulung, sudah matang, punya ramai dari pelbagai disiplin pengajian dan profesion yang sedia ditonjolkan sebagai calon. Malah Presiden PAS sendiri telah mengisytiharkan yang beliau cuma akan bertanding satu kerusi (kini hanya Tuan Guru sahaja yang punya dua kerusi pada PRU lalu iaitu parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang). Dan Mursyidul Am PAS pun hanya bertanding satu kerusi dan dijangka mempertahankan kerusi DUN nya. (Timbalan Mursyidul Am dan Timbalan Presiden pun dilaporkan akan hanya bertanding satu kerusi)

Kalau pimpinan tertinggi parti pun hanya bertanding satu kerusi, elok sangatlah yang lain juga begitu “without exception”.
Oleh itu layak sangatlah buat PRU ke 13 ini PAS yang telah sertai kesemuanya, termasuk PRU Persekutuan 1955 mengemukakan satu calon bagi satu kerusi. Biar rakyat lihat PAS memang kaya dengan calon-calon dan tiada satu calon yang selebih hebat dari yang lain, begitulah sepatutunya bagi parti Islam.

Setakat ini kita dengar Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub yang sebelum ini ahli parlimen Kubang Kerian, Kelantan dijangka bertanding 2 kerusi iaitu satu Parlimen dan satu DUN di Johor.
Saya rasa lebih cocok jika beliau pun sekadar bertanding 1 kerusi, dan kerusi yang paling “winnable” di sini adalah kerusi DUN bagi membuktikan kesediaan PAS bersama rakan-rakan merampas DUN Johor. Kalau pun dah diputuskan ia masih boleh dipinda demi kebaikan parti.

Jika ini berlaku maka PAS akan membuktikan bahawa ia menjadi satu-satu parti pertama yang melakukannya. Dengan itu saya pasti akan menambahkan keyakinan rakyat padanya insyallah.

 

No comments: