BN atau PR kekallah Malaysia sebegini (2/4/13)

Tuesday, April 02, 2013


Isu perkauman masih pekat menghantui kehidupan rakyat Malaysia walaupun kita telah hampir 56 tahun Merdeka. Hari ini sebuah potal berita melaporkan yang Kesatuan Sekerja di sebuah bank tempatan menuduh bahawa bank mereka terlibat dalam memberi keutamaan mengikut ras kaum bagi satu-satu permohonan pinjaman.
Adakah kita boleh hapuskan terus hakikat perbezaan kaum dalam Negara kita? Atau adakah kita memang berhasrat mahu menghapuskannya, lantas rakyat tempatan hanya mahu kita kenali mengikut “nationality” iaitu rakyat Malaysia?

Tiada lagi Melayu, Cina , India, Bumiputera Sabah dan Sarawak dan lain-lain?
Secara peribadi saya merasakan di Malaysia kita tidak mungkin dapat menghapuskan sama-sekali pengenalan menurut kaum kerana hakikatnya sejarah kita sememangnya unik dan berbeza dari Negara-negara lain.

Malah apabila kita mahu menyingkap kembali sejarah kita pun, pasti kita terpaksa menyinggung perasaan kaum-kaum yang lain. Nak menerima hakikat begitu pun sensitif inikan pula mahu menghapuskan terus identiti kaum!
Orang Melayu yang merupakan anak tempatan menurut sejarah telah memberi laluan melalui kontrak sosial pra Kemerdekaan, menerima kehadiran rakan-rakan mereka orang Cina dan India yang memilih untuk terus tinggal di sini dengan bersetuju membuka hak kewarganegaraan bukan lagi eksklusif buat anak tempatan tetapi juga terbuka kepada mereka yang bermastautin di sini.

Boleh sahaja mereka menolak untuk berkongsi kewarganegaraan ketika itu, tetapi tidak. Mereka semua berpandangan jauh dan memikirkan kita hari ini.

Lalu tercatatlah kehadiran ahli baru kewarganegaraan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaya dan kini Malaysia, bukan lagi hanya orang-orang Melayu tetapi termasuklah Cina dan India.
Kini isu penyelarasan kewargangeraan itu yang telah berlaku sejurus sebelum Merdeka dahulu sudah berlalu dan tiada lagi pertikain. Semua sudah terima bahawa Malaysia tanah air kita, bukan hanya tanah air orang-orang Melayu secara eksklusif tetapi juga rakan-rakan berbangsa India dan Cina yang juga berikrar taat setia pada Raja dan Negara ini.

Masalahnya tolak ansur dan pengorbanan yang berlaku lebih 5 dekad lalu itu kini seakan pudar dimamah waktu. Pudar kerana mereka yang ada pada hari ini tidak hadir semasa tempoh ia berlaku. Bahang semangatnya sudah tiada, keperitan dan kegetiran yang dilalui tidak dirasa.
Hari ini tolak ansur dan pengorbanan itu sudah dilupai, yang ada adalah tuntutan persamaan, tanpa langsung mengambil-kira apa yang telah disepakati dan dipersetujui bersama hasil dari persefahaman yang lampau.

Benar hari ini bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, baju Melayu baju kebangsaan, tulisan Jawi diberi tempat, agama Islam iaitu agama rata-rata orang Melayu menjadi agama rasmi, Raja-raja Melayu menjadi ketua-ketua negeri (kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak) dan Yang Dipertuan Agong Ketua Negara, namun hak dan kepentingan kaum-kaum lain turut dijamin oleh Perlembagaan dan diberi tempat oleh masyarakat.
Kita punya sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, kita raikan juga tulisan Cina dan Tamil, kita ada siaran radio dan TV berbahasa Cina dan Tamil selain media cetak lain. Amalan-amalan tradisi masyarakat Cina dan India diterima sebagai sebahagian dari amalan kebangsaan. Begitu juga agama majoriti bangsa Cina dan India turut dihormati dan diberi hak.

Begitulah resam rakyat Malaysia dan kita boleh hidup begini sejak tahun 50an terus menerus kekal sehongga hari ini.
Mungkin ada anak Cina dan India warga Malaysia mempertikaikan mengapa orang Melayu mendapat keistimewaan dalam hal-hal tertentu? Mengapa contohnya hanya Bumiputera boleh melabur dalam ASB? Mengapa hanya Bumiputera boleh masuk UITM? Mengapa MARA hanya membantu orang Melayu? Lebih ekstrim lagi mengapa PM mesti orang Islam? Mengapa menteri besar negeri-negeri beraja mesti orang Melayu? Dan soalan-soalan seumpama ini jika dilayan akan meleret-leret sehingga berdesing telinga mereka yang lain.

Ringkasnya bila semangat 50an dahulu tiada beginilah jadinya.
Saya sendiri bimbang dan  tidak tahu bagaimana kita 10 ke 20 tahun nanti.

Sebaiknya kita teruslah bertolak ansur dan bertoleransi. Datuk moyang kita telah banyak berkorban untuk membina kesatuan rakyat dan meletakkan asas buat Negara ini. Tak kiralah kita sokong PR atau BN, jangan sampai apa yang telah dibina itu runtuh. Kekallah Negara kita ini sebagaimana ia dibina lebih 50 tahun lalu.

 

 

1 comments:

Anonymous said...

masalahnya sekarang urus tadbir negara yang banyak menyimpang jauh dari landasan keadilan. jadi pemimpin untuk uruskan amanah negara bukan urus kekayaan untuk lain dari kesejahteraan rakyat terbanyak.
tengok sendiri berbagai masalah telah terjadi akibat tidak ambil berat soal kepimpinan mengikut saranan Islam.pilihlah pemimpin yang dipimpin.