Thursday, May 31, 2007

Mari kita bersama mempertahankan Islam

Saya sebenarnya tidak mampu menyembunyikan pendirian betapa saya tidaklah seronok sangat pada keputusan Mahkamah Persekutuan semalam berkenaan rayuan Lina Joy yang kontroversial itu. Ya saya gembira kerana natijah dari keputusan ini kelak akan menghalang pihak-pihak lain untuk membuat tuntutan yang sama.

Tetapi ianya tidak langsung memberikan implikasi terhadap si Lina yang telah terang-terangan murtad itu. Menurut akhbar The Star lina berkata:

I am disappointed that the Federal Court is not able to vindicate a simple but important fundamental right that exists in all persons, namely the right to believe in religion of ones choice.

Saya kesal kerana Mahkamah Persekutuan gagal memutuskan satu perkara yang sangat mudah tetapi penting yang melibatkan hak asasi setiap insan, iaitu hak untuk mempercayai agama pilihannya.

Kita perlu bertanya berapa ramaikah lagi yang akan keluar dari Islam seperti Lina dalam keadaan kita seolah tidak mampu menghalangnya?

Masyarakat bukan Islam di negara ini perlu difahamkan akan isu ini sebenarnya. Islam adalah satu isu yang serius bagi para penganutnya. Islam adalah satu peraturan hidup yang lengkap dan merangkumi setiap titik aspek penghidupan penganutnya, ianya bukan sekadar agama ritual hujung minggu atau agama perayaan ianya satu kod penghidupan dunia sehingga ke akhirat. Menerima dan menganutnya adalah satu pilihan tetapi meninggalkannya adalah satu tindakan seakan menikam Islam dan penganutnya yang lain dari belakang, satu pencabulan yang mungkar dan tidak dapat dimaafkan. Kerana itu tidak seperti agama lain yang tidak ambil pusing, Islam menghukum mereka yang murtad darinya kerana ia dianggap telah mencemar disiplin agama yang maha suci ini.

Islam adalah satu agama yang adil dan mempertahankan hak asasi individu dan masyarakat. Walaubagaimanapun dalam hal ini murtad tidak sekali-kali tersenarai atau termasuk dalam hak asasi yang dijamin oleh Islam malah ianya satu jenayah besar.

(Minta pihak berkuasa agama mengambil tindakan atas Dr Chandra Muzaffar kerana dalam akhbar The Star hari ini beliau berkata: Quran tidak melarang atau menghukum seseorang kerana meninggalkan agamanya. Individu dan orang Islam seperti inilah sebenarnya yang mencemarkan kesucian dan kemurnian Islam kerana gemar sangnat bercakap dalam isu yang mereka sebenarnya jahil)

Pihak berkuasa perlulah serius dalam hal ini dan semua pihak, termasuklah parti-parti politik, NGO, perkumpulan Melayu/Islam mesti bangun memperbetulkan kelonggaran yang ada agar Islam tidak lagi dipermain dan diperolol-olokkkan. Saya mengingatkan kerajaan terutama mereka yang berkuasa di dalam Umno agar tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan aqidah dan kesucian Islam.

Jangan kerana mahu sangat kepada undi atau sokongan atau simpati masyarakat bukan Islam sehingga kita tergamak melentur-lentur dan meminda peraturan dan hukum. Insaflah kelonggaran yang wujud hari ini adalah lantaran kegagalan Umno untuk memberikan roh kepada peraturan agama dalam negara. Islam hanya digunakan bila perlu dan dicampak ketepi bila tidak.

Dalam hal ini ayuhlah semua pihak Umno, PAS, NOGO Melayu/Islam kita bersatu dan kembali kepada Islam, agar tidak ada lagi Lina Joy yang kedua atau ketiga selepas ini. Berilah ruang kepada para ulamak kita, para mufti dan cerdik pandai Islam untuk meniup ruh ke dalam undang-undang pentadbiran Islam negeri-negeri kita yangsangat lemah itu. Perkenalkanlah undang-undang peraturan dan undang-undang murtad sebagaimana yang diusulkan oleh PAS dahulu.

Dalam hal ini tidak ada siapa pun seharusnya mengambil kesempatan politik, yang penting adalah maruah dan masadepan islam yang kita semua kasihi.

Wednesday, May 30, 2007

Selamat Bermuktamar sempena Muktamar Agung PAS ke 53

Para perwakilan PAS akan mula bertumpu ke Kota Bharu, Kelantan. Malam ini akan diadakan Muktamar Dewan Pemuda, diikuti Dewan Ulamak dan Dewan Muslimatnya esok. Hari Jumaat adalah hari perasmian Muktamar PAS Pusat kali yang ke 53 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan atau PUTIK di Pengkalan Chepa.

Hari Jumaat juga akan menyaksikan proses pemilihan untuk pucuk pimpinan tertinggi parti itu, kecuali jawatan Presiden yang dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang sekarang Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, kesemua jawatan lain akan dipertandingkan.

Tahun pertandingan kali ini penting bagi parti pembangkang terbesar ini kerana pada tahun ini juga kerajaan BN dijangka memanggil Pilihanraya Umum ke 12. Bermakna saf kepimpinan yang ada akan diamanahkan untu memimpin parti pada pilihanraya tersebut. Kerana itulah tum[uan seluruh negara dan barangkalis ebahagian pemerhati politik antarabangsa akan tertumpu ke PUTIK mulai Jumaat ini.

Saya insyallah akan bertolak ke sana esok bersama beberapa sahabat.

Sebagaimana yang diketahui kini jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang sekarang Ustaz Nasharudin Mat Isa (bekas pensyarah UIA dan UKM dan mantan Setiausaha Agung PAS/EXCO pemuda PAS Pusat) yang akan ditentang oleh Ustaz Dato Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (bekas EXCO kerajaan Terengganu/ bekas Pengerusi TDM berhad).

Manakala bagi jawatan Naib Presiden terdapat kejutan apabila saya mendapat tahu yang Dato Dr Hasan Ali (belas Ketua Pembangkang DUN Selangor/ bekas ahli Parlimen Parit Buntar) menarik diri dari mempertahankan jawatannya itu kerana berhasrat memberi laluan kepada muka-muka baru. Dengan penarikan diri Dr Hasan ini jawatan tersebut dijangka ditandingi oleh Dato Husam Musa, Muhammad Sabu, Mahfuz Omar, Ustaz Ahmad Awang dan Dato Dr Mahfudz.

Pertandingan AJK Kerja Pusat juga dijangka menyaksikan ramai muka baru ekoran pencalonan yang dibuat oleh kawasan-kawasan seluruh negara.

Dalam PAS tidak ada sistem kuota, dalam PAS siapa sahaja yang menjadi ahli layak untuk dicalonkan dan bertanding. Jumaat ini para perwakilan PAS akan membuat keputusan tanpa menerima sebarang sogokan atau janji sebagaimana amalan parti kerajaan yang terbesar iaitu Umno.

Kawasan-kawasan yang mencalonkan calon-calon mereka sudah pastilah mahu melihat calon-calon mereka itu naik berdasarkan kemahuan ahli-ahli di kawasan masing-masing, lalu sudah pastilah ada usaha-usaha mempromosi calon. Ini tidak menjadi satu kesalahan dalam parti dengan syarat tidak ada sesiapa pun yang diserang atau dikritik.

Dalam erti kata lain kempen dan promosilah calon anda tetapi jangan ganggu-gugat pihak lain yang turut bertanding. Saya kira GUIDELINE ini sungguh cantik dan sewajarnya dihormati oleh semua pihak. Kalau mahu SMS sekalipun SMS lah siapa sahaja calon anda tetapi tidak perlulah merendah atau menyerang calon-calon lain yang berkenaan.

Oleh itu saya seperti biasa berasa terpanggil untuk menyenaraikan calon-calon yang saya secara peribadi yakin mampu melonjakkan PAS ke arus perdana politik negara lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihnaraya umum ke 12 yang dijangka diadakan bila-bila masa sahaja itu. Pandangan saya mungkin silap dan ditolak, tetapi biarlah para perwakilan yang menentukannya.

PRESIDEN: Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang (MTB)
TIMBALAN: Usaz Nasharudin Mat Isa

NAIB (1): Dato Hj Husam Musa
NAIB (2): Ustaz Hj Ahmad Awang
NAIB (3): Hj Mahfuz Omar



Selamat bermuktamar kepada para sahabat dan rakan-rakan sekalian, dan selamat bertanding kepada yang bertanding. Pilihan para perwakilan adalah pilihan muktamad parti, insyallah.
Miss Universe: Malaysia kalah lagi

Hampir semua akhbar tempatan hari ini memaparkan wajah manis Riyo Mori 20 tahun yang telah dianugerahkan gelaran Miss Universe 2007, wanita tercantik dalam dunia. Di antara 77 ratu-ratu cantik yang mewakili negara masing-masing termasuk Malaysia (yang diwakili Deborah Priya Henry) , Riyo dipilih sebagai yang tercantik.

Apa hal Roslan cerita pasal ratu cantik pula hari ini?

Saya sebenarnya lebih tertarik kepada berita berkenaan pertandingan yang diadakan di Mexico City ini. Kebanyakkan negara Islam tidak melibatkan diri dengan pertandingan ini kecuali Mesir, Indonesia, Lubnan, Nigeria dan Malaysia. Walaupun Malaysia sudah tidak lagi membenarkan penyertaan dikalangan wanita Islam (1994 Rahimah yahya 1992 Erra Fazira) tetapi selaku teraju dalam OIC, penyertaan Malaysia jelas bertentangan dengan sikap dan pendirian negara-negara Islam yang lain.

Tetapi isunya kali ini bukan lagi isu Islam, memang pertandingan serupa ini yang memperagakan tubuh badan wanita, jelas haram dari segi Islam, tetapi ia juga perlu dilihat dari perspektif hak dan maruah wanita. Bukankah pertandingan ini ternyata mengeksploitasi tubuh wanita, wanita dijadikan barangan untuk diperagakan, dalam hal ini bukan sahaja Islam tetapi saya yakin tidak ada agama di dunia yang bertamaddun bersetuju dengan cara ini.

Kalau kita lihat Mexico City telah menempa sejarah apabila Miss Sweden Isabel Winqvist telah menarik diri atas desakan rakyat di negaranya kerana menganggap pertandingan ini merendahkan martabat kaum wanita.

Sweden adalah sebuan negara maju yang rakyatnya bukan sekadar memiliki pasarana malah minda kelas pertama. Kalau Sweden yang bukan negara OIC, bukan rumpun Melayu itupun tidak lagi mengambil bahagian dalam pertandingan seumpama ini, Malaysia bagaimana?

Kenapa dalam hal ini NGO dan pertubuhan wanita dalam negara semua seakan membisu? Mana Ivy Josiah, mana Sisters in Islam, mana Dr Mashitah?
LATEST:
Rayuan Lina Joy ditolak

Keputusan tidak rasmi dari wakil WTV8 di Istana Keadilan, Putrajaya:

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Lina Joy (dengan keputusan 2:1).

Ini bermakna keputusan Jabatan Pendaftaran negara menolak permohonan beliau untuk menukar agama atas MyKad nya dari Islam kepada Kristian adalah sah. Dengan itu sebarang usaha mana-mana pihak yang serupa selepas ini perlulah melalui Jabatan Agama Negeri-negeri terlebih dahulu.

Lina mungkin gagal mengkrisitiankan MyKad nya, tetapi awas, Lina sudah pun lebih 16 tahun menganut agama ini. Apakah yang boleh Jabatan Agama dan kerajaan lakukan selepas ini?

(Ikuti laporan sepenuhnya di http://wtv8.tv)
Hujan botol sempena penjenamaan semula Rakan Muda

Ini ada suatu berita yang saya perhatikan tidak dibawa oleh akhbar-akhbar saluran perdana yang lain. Ianya berkenaan program REBRANDING atau penjenamaan semula program Rakan Muda yang ramai rasakan telah luput dan pupus itu.

Biasalah bagi akhbar yang pekat sentimen pro Umno atau BN nya, kalau terdapat berita yang walaupun menarik dan benar tetapi kiranya tidak memberikan kepentingan politik kepada Tuan-tuan politik mereka maka ianya akan dipengap atau cepat-cepat disapukan ke bawah tikar.


Semalam PM Dollah Badawi telah hadir dalam program dia tas yang telah diadakan di lapangan terbuka Komplek Sukan Bukit Kiara. Dilaporkan kira-kira 20,000 anak-anak muda dan remaja telah dihimpunkan di sana atas arahan Menteri Belia Azalina Othman. Dan seperti biasa juga untuk memastikan hadirin yang ramai itu tidak meninggalkan tempat perhimpunan sehingga selesai majlis bersama PM maka diadakanlah acara-acara yang mengikat tumpuan mereka.

Antaranya adalah konsert yang dihadiri oleh juara-juara Akademi Fantasia 5.

Menurut akhbar The Star (saya rasa satu-satunya akhbar yang melaporkan berkenaan insiden ini):

Rakan Muda show fans riled by rowdies throwing bottles and cans

Pertunjukkan Rakan Muda dicemari insiden melontar botol dan tin minuman

Rupa-rupanya semalam sebelum ketibaan Dollah berlaku insiden pertama melontar botol dan tin minuman dikalangan mereka yang hadir semasa naib johan AF5 Ebi Kornelis membuat pertnjukkan pentasnya. Inisden ini menurut The Star mengakibatkan anggota Rela yang bertugas bergegas menenangkan suasana dan ianya dilaporkan reda sehingga ketibaan PM.

Rupa-rupanya semasa majlis membaca ikrar sekali lagi ianya berlaku.

Dan Dollah semasa ucapannya berkata (sebelum insiden kedua itu):

Apabila generasi muda sekarang ini menjadi dewasa, negara semakin dekat menghampiri tahun 2020 dan mereka adalah tenaga muda dalam pemerintahan negara, sektor awam dan swasta. Mereka bertanggungjawab cetuskan tenaga raksasa untuk kita teruskan perjuangan bangunkan kerajaan bagi 50 tahun akan datang.

Adakah ini jenis generasi muda yang telah dibentuk oleh kerjaaan Dollah? Insiden ini saling tak tumpah sebagaimana insiden semasa hari penamaam calon di Ijok dahulu, cumanya dalam insiden itu yang mengepalai pasukan BN adalah menantu Dollah sendiri. Mungkinkah ini budaya baru anak-anak muda yang telah dicetuskan oleh Khairy Jamaluddin?

Tuesday, May 29, 2007

Pertandingan pucuk pimpinan PAS menarik minat Utusan

Setelah Umno menunda pemilihan parti mereka, diikuti MCA yang juga menundanya kerana konon mahu memberikan tumpuan kepada pilihanraya umum, maka sensasi pemilihan parti sudah tidak menjadi bahan berita lagi.

Hairan dahulu pun Umno dan MCA menghadapi pilihanraya tetapi tidaklah pula pernah sampai mengusulkan ditunda pemilihan parti, tetapi kini mungkin zaman telah berubah, mungkin juga bahana politik wang sudah tidak mampu ditempuh lagi maka Umno dan MCA menolak ketepi proses pemilihan dalam parti untuk menang dahulu pilihnaraya umum.

Di barisan pembangkanmg, kecuali DAP yang juga seakan mengikut rentak yang sama, PKR dan PAS meneruskan proses pemilihan masing-masing. Minggu lepas PKR telah pun selesai menjalani proses demokrasi di dalam partinya dan kini Jummat ini giliran PAS pula.

Mengulas perkembangan ini Utusan hari ini membawa rencana khas bertajuk:

Percaturan PAS

Artikel setengah muka ini padat mengulas betapa jawatan-jawatan tertinggi dalam PAS akan menyaksikan pertandingan kecuali jawatan Presiden. Berbagai label dilemparkan pada calon-calon tertentu termasuklah GOLONGAN MUDA, KONSERVATIF, GOLONGAN PROGRESIF, PROFESIONAL dan lain-lain. Kaya betul PAS dengan label sedangkan dalam pertandingan Umno tiada pula label-label yang dicipta oleh Utusan.

Saya tidak berhasrat mengulas kandungan artikel itu kerana ianya dilihat sebagai serkap jarang Utusan yang kebanyakannya merapu dan tidak berasas langsung. Biarlah Utusan terjun dengan labu-labunya.

Cuma saya hairan kenapa Utusan tidak mahu HIGHLIGHTKAN betapa pemilihan PAS kali ini walaupun ada kempen senyap-senyap tetapi tidak tegang dan kalut sebagaimana kempen apabila sahaja Umno ada pemilihan parti. Wang dan habuan menari-nari dan bertukar tangan bagaikan satu budaya dalam Umno, tetapi mengapa ketiadaan budaya jahanam ini dalam PAS tidak menarik perhatian Utusan?

Mengapa juga hakikat bahawa ahli-ahli PAS bebas dicalonkan dan bertanding apa-apa jawatan dalam parti tanpa perlu kuota dan sekatan tidak mendapat perhatian Utusan? Demokrasi masih subur dalam PAS, dan hanya mereka yang memupuk demokrasi sahaja biasanya menghargai dan menghormati demokrasi.

Dalam Umno, meminjam kata-kata YBM Tengku Razaleigh Hamzah, demkorasi telah mati!

Mungkin kerana demokrasi telah lama dimakamkan di dalam Umno lah maka apabila ada parti yang mampu mengamalkannya, maka Utusan terkejar-kejar mahu membuat liputan, walaupun songsang dan menyesatkan.

Mungkin Umno perlu segera memulihkan demokrasi mereka, hapuskan sistem kuota, hapuskan politik wang kerana bimbang nanti Utusan tidak ada kerja selain membuat liputan pada Muktamar PAS dan Kongres PKR yang masih mengamalkan demokrasi dalam erti kata yang sebenar!

Monday, May 28, 2007

Selepas PKR kini giliran PAS pula

Parti Keadilan Rakyat PKR telah pun selesai menjalankan Kongres Tahunan parti mereka. Proses pemilihan pucuk pimpinan parti mereka puntelah selesai. Apa yang dinanti-nantikan sebagai pertembungan tiga penjuru antara Presiden Datin Ser Dr Wan Azizah, Penasihat Dato Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Presiden Hj Abd Rahman Othman untuk jawatan Presiden akhirnya tidak menjadi.

Dr Wan Azizah diisytiharkan menang tanpa bertanding apabila Anwar terpaksa menarik diri atas masalah teknikal manakala Rahman pula menyusul menarik diri secara sukarela.

Para perwakilan Kongres PKR mengekalkan barisan Naib Presidennya iaitu Sdr Azmin Ali, Dr Lee Boon Chye dan Mustaffa Kamil Ayub.

Kini PKR bolehlah memberikan fokus dan tumpuan kepada persiapan bagi menghadapi pilihanraya yang dijangka diadakan pada waktu terdekat ini. DAP telah pun memutuskan untuk menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan partinya bagi memberi fokus kepada pilihanraya umum ke 12. Dengan itu tinggal PAS sahaja yang belum selesai membereskan muktamar tahunannya serta pemilihan pucuk pimpinan parti yang dijangka diadakan bermula Jumaat ini.

Menurut pemerhati tempatan Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dijangka menang tanpa bertanding utnuk jawatan Presiden. Manakala jawatan Timbalan Presiden dijangka menyaksikan pertandingan apabila NST hari ini melaporkan bahwa Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga ADUN PAS kawasan Manir, Terengganu iaitu Ustaz Dato Harun Taib memberitahu NST yang beliau telah pun menyerahkan surat pengesahannya untuk mencabar Timbalan Presiden kini Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Manakala jawatan Naib Presdien PAS juga dijangka menyaksikan pertandingan sengit. Salah seorang penyandang jawatan Naib Presiden kini dijangka menarik diri bagi memberi laluan kepada muka baru. Naib Presdien kini adalah Dato Husam Musa, Dato Dr Hasan Ali dan Hj Muhammad Sabu. Beberapa pencabar dijangka bertanding untuk merebut jawatan ketiga tertinggi dalam parti ini.

Nampaknya ramalan yang Ustaz Harun dijangka tidak bertanding tidak menjadi berikutan laporan NST ini. Namun itulah demokrasi di dalam PAS. Siapa sahaja boleh mencabar seiapa juga dalam semua jawatan-jawatan parti yang dipertandingkan menurut perlembagaan parti. Keputusan akhir terletak pada lebih 900 para perwaklian nanti.

Menurut NST:


Ustaz Harun: Gambar NST
Pas ulama chief Datuk Harun Taib has confirmed that he will challenge incumbent Nasharudin Mat Isa for the partys deputy presidency next week.

(Ketua Ulamak PAS Datuk Harun Taib mengesahkan akan mencabar penyandang kini Ustaz Nasharudin Mat Isa untuk jawatan Timbalan Presiden)


I accept the offer and I have already submitted a letter to the party election committee, Harun said.

(Saya menerima tawaran itu dan telah pun mengirim jawapan kepada jawatankuasa pemilihan parti kata Harun)

Asked about his plans for Pas, Harun, the most senior Pas ulama after party spiritual adviser Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, said he would comment at length only if he won the post.

(Ketika ditanya apakah perancangannya untuk PAS, harun, Ulamak paling kanan selepas Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz berkata yang beliau hanya akan komen secara panjang lebar apabila memenangi jawatan tersebut nanti)

Semoga para perwakilan PAS dapat membuat keputusan dengan bijak dan mengambil kira masadepan parti terutama dalam mahu menghadapi peperangan sengit Pilihanraya Umum ke 12 nanti.

Sunday, May 27, 2007

Mustapa: Hanya Umno yang memperjuangkan Islam

BERNAMA melaporkan bahawa ahli Majlis Tertinggi Umno Mustapa Mohamed menyarankan agar ahli-ahli PAS dan PKR yang mahu berjuang untuk menegakkan syiar Islam dalam negara ini agar menyertai Umno. Katanya Umno adalah satu-satunya parti terbaik yang memperjuangkan nasib umat Islam dan bangsa Melayu.

Tambah Mustapa lagi:

Semua orang Melayu dan Islam sepatutnya berjuang di bawah Umno kerana matlamat perjuangannya jelas demi agama dan bangsa. Bagi saya sesiapa yang nak berjuang untuk Islam dan Melayu di Malaysia tak ada parti lain kecuali Umno.

Terpesona juga apabila membaca pelawaan Mustapa itu, tetapi soalnya adakah Umno benar-benar berjuang untuk Islam sebagaimana yang didakwanya itu. Pernah Nazri Azri seorang lagi ahli MT Umno dalam satu majlis menyatakan bahawa Umno terpaksa condong kepada Islam semata-mata kerana adanya PAS!

Realitinya kita lihat betapa lemahnya Islam di Malaysia hari ini. Pegangan kita kepada Islam sungguh longgar sekali sehinggakan anak-anak Melayu hari ini sudah terang-terangan murtad dan memohon meninggalkan agama, sedangkan Umno tidak mampu melakukan apa-apa.

Demikian juga aktiviti dan industri yang haram dan bertentangan dengan Islam terus menerima lampu hijau dari Umno. Di negeri sekecil Kelantan, gagah-gagah juga PAS mengharamkan premis judi dan melarang penjualan arak dikalangan umat Islam, di negeri-negeri dikuasai Umno bagaimana? Di Selangor anak-anak Melayu bukan hanya bebas mengunjungi premis-premis ini malah bekerja dan mencari rezeki melaluinya!

Pendidikan Islam juga semakin rendah dalam priority atau keutamaan Umno. Sekolah-sekolah Agama Rakyat dianak-tirikkan sedangkan sekolah-sekolah jenis kebangsaan mendapat bantuan dan sokongan kewangan.

Rasuah, penyalah-gunaan kuasa menjadi barah besar dalam negara angkara kepimpinan Umno sehinggakan kalangan pimpinan Umno tidak terkecuali terpalit dengan najis sosial ini. Islam apa yang diperjuangkan Umno?

Dalam aspek lain kita lihat anak-anak Melayu semakin terperangkap dalam kebejatan sosial. Dadah, hubungan seks luar nikah, Mat Rempit, berpoya-poya, budaya punk dan berbagai lagi mudah diterima dan dianuti oleh anak-anak muda kita, sedangkan ianya semua jelas bertentangan dengan Islam. Di Kelantan sekurang-kurangnya kerajaan negeri menggalakkan pembentukan akhlak dan sakhsiyah muslim yang baik dikalangan rakyatnya dengan program-program bulan sembahyang, kempen menutup aurat dan lain-lain, di negara dan negeri yang dikuasai Umno bagaimana?

Kalau berdasarkan realiti yang ada saya rasa rakyat Malaysia sudah celik dan faham, yang hanyalah PAS dan bukan Umno yang sebenarnya berjuang untuk memartabatkan Islam dalam negara ini. Umno mungkin ramai ahli dan pemimpin Islam, tetapi Islam yang diperjuangkan Umno sekadar Islam kosmetik iaitu Islam yang boleh membawa keuntungan politik baginya. Kesimpulannya kalau benar-benar mahu memperjuangkan Islam, Mustapalah yang septutnya berhijrah meninggalkan Umno dan duduk sebaris dengan Tuan Guru Nik Abd Aziz dalam memperjuangkannya. Bagaimana?
Perlukah Timbalan Presiden PAS yang umpama Ibnu al Khattab?

Seorang rakan blogger dan sahabat saya one-g (http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/) menulis di dalam blognya di bawah tajuk:

Kalau Ibnu al Khattab menjadi Timbalan Presiden PAS

Untuk menghuraikan hujahnya beliau menulis:

Melihat keadaan PAS sekarang, PAS perlu kepada seorang tokoh yang mempunyai ketegasan dan keberanian menyatakan pandangan untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden.

Ini adalah kerana, PAS kini sering di perkotak-katikkan oleh sebilangan mereka yang BERALIRAN KIRI disamping sering DIKEMUDIANKAN pandangannya oleh GOLONGAN PAKATAN.Maka dengan demikian, pada pandanganku, dipermilihan ini, PAS memerlukan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai cirri-ciri seperti Omar bin Al-Khattab atau seiras-iras Omar agar PAS ini bukan sekadar di pandang kuat, tetapi sememangnya mempunyai kekuatan.





Demikianlah bukti betapa EXCITED nya ahli dan para penyokong PAS menjelang pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti itu dalam Muktamar Tahunan PAS ke 53 bermula Jumaat hadapan di Kota Bharu, Kelantan.

Masing-masing memiliki pandangan masing-masing terhadap bagaimana seharusnya bentuk barisan kepimpinan PAS ini terutama dengan mengambil kira bahawa Pilihanraya Umum ke 12 dijangka dipanggil pada bila-bila masa sahaja.

Sahabat saya mahukan seorang Timbalan Presiden umpama Omar al Khattab dan beliau memberikan kualiti tegas dan keras dalam perwatakan dan kepimpinan Omar, yang seharusnya dimiliki oleh seorang yang berstatus Timbalan Presiden. Menurut beliau ketegasan dan kekerasan Omar telah berjaya melonjakkan Islam dizamannya.

Sahabat saya bebas berpandangan demikian kerana itu haknya.

Bagi saya apa yang penting Timbalan Presiden PAS seharusnya menjadi regu yang paling baik untuk Presiden. Beliau seharusnya membantu, menyokong dan memperteguhkan kepimpinan Presiden. Ringkasnya beliau dan Presiden adalah satu TEAM yang bertanggungjawab memimpin dan mengarahkan 800,000 ahli PAS ke arah merealisasikan kejayaan perjuangan parti tersebut.

Dan dalam realiti suasana yang ada, kedua-dua mereka berhadapan dengan lebih 20 juta masyarakat Malaysia yang mahu tahu dan mendengar apakah yang mahu dibawa dan diperjuangakn oleh PAS. Kejayaan mereka meyakinkan masyarakat ini akan membawa kesan positif kepada PAS. Dan PAS sudah pasti memerlukan sokongan rakyat jelata tadi bagi maksud mencapai matlamat perjuangannya.

Kerana itu gandingan kedua pemimpin ini perlu mampu turun dan berinteraksi dengan masyarakat. Kita menggunakan keadah menerang dan menjelaskan secara berhadapan dengan masyarakat, kita bukan dalam suasana peperangan, tetapi sebaliknya suasana demokratik, yang aman, yang memerlukan pemimpin yang kaya dengan hujah dan memiliki personalti yang menawan.

Lihat sahaja Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz, betapa beliau setelah 17 tahun duduk sebagai MB Kelantan, kini berjaya menjadi ikon masyarakat, disenangi dan dihormati, bukan kerana ketegasan dan kekerasan wataknya, tetapi kerana kelembutan dan akhlaknya yang mulia.

Bulan lepas saya sempat mengiringi Tuan Guru di sebuah restoran makanan laut di Kelana Jaya kerana meresmikan sebuah majlis di sana. Saya melihat betapa masyarakat berbilang-kaum meluru dan menegur-sapa beliau ketika melihatnya. Mereka tidak lari atau menjauhkan diri. Saya melihat masyarakat India dan Cina yang kebetulan berada di situ untuk majlis yang lain begitu senang melihat dan menegurnya disamping beberapa anak gadis Melayu yang mahu bergambar dengan beliau.

Adakah Tuan Guru Mursyidul Am tidak seperti Omar?

Bagi saya Rasulullah dikelilingi oleh para sahabat yang memiliki kualiti-kualiti yang berbagai, semuanya penting untuk mengukuhkan Islam dan semuanya sesuai menurut suasana dan keadaan. Ada kalanya kita perlukan yang seumpama Omar tetapi ada kala juga kita memerlukan yang seumpama Abu Bakar, Osman dan Ali.

Yang pentingnya bagi saya Presiden dan Timbalan perlu saling bantu-membantu dan sokong-menyokong antara satu sama lain, kerana keakraban mereka akan mencerminkan kesepaduan jemaah. Yang penting PAS nanti akan berjaya diterima masyarakat. Tiada guna kita memiliki pemimpin yang tegas dan keras, tetapi PAS dijauhi masyarakat.

Terserahlah kepada para perwakilan PAS Jumaat ini.

Saturday, May 26, 2007

Tahniah Kak Wan syabas RO

Perkembangan terbaru dalam kongres Prati Keadilan Rakyat (PKR), pertandingan yang dijangkakan untuk jawatan Presidan tidak menjadi. Datuk Seri Anwar dikatakan telah menarik diri oleh kerana larangan dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS). Lalu pertandingan antara Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah dan bekas Timbalan Presiden PKR Rahman Othman rupanya juga tidak menjadi.

Sejurus Anwar mengumumkan penarikan diri, Rahman dengan penuh tanggungjawab dan hormat pada pimpinan yang ada telah mengisytiharkan tarik diri. Maka menanglah semula Presiden yang ada.

Diwaktu saya menulis artikel ini Kongres PKR sedang mendengar ceramah dari bekas Presiden Republik Indonesia, Abd Rahman Wahid atau Gus Dur. Kehadiran Gus Dur dan siangnya semasa peresmian kongres beberapa tokoh korporat termasuklah Datuk Soh Chee Wen menunjukkan yang Anwar masih memiliki karisma, kedudukan yang tinggi dan dihormati ramai termasuklah pimpinan dunia.

Kita yakin selepas kongres ini Anwar dan rakan-rakan PKR akan semakin teguh dan bersama-sama PAS dan parti-parti pembangkang lain merintis jalan ke arah menyelamatkan Negara ini dari kekalutan dan haru-biru hasil kerja tangan Umno dan BN.

Mudah-mudahan perkembangan dalam pemilihan PKR ini juga akan dapat dilihat dalam pemilihan PAS hujung minggu hadapan. Sikap berlapang dada dan memberi laluan kepada mereka yang lebih layak dan mampu adalah sebesar-besar kualiti seorang pemimpin yang berjiwa besar sebenar-benarnya.
Delima kes Lina Joy

Hari Rabu ini Mahkamah Persekutuan Putrajaya dijangka membuat keputusan berhubung kes rayuan Azlina Jailani atau Lina Joy yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dua tahun lalu yang memutuskan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara berhak menolak permohonan Lina untuk menukar agamnya atas MyKad beliau dari Islam ke Kristian.

Menurut rekod Lina yang dilahir dan dibesarkan dalam keluarga Melayu/Islam (arwah bapanya orang Kancong Darat manakala ibunya orang Kg Delek, Klang) telah dengan kerelaan hatinya memeluk agama Kristian ketika berusia 26 tahun untuk berkahwin dengan kekasihnya seorang lelaki Kristian berketurunan India.

Lina kini berusia 42 tahun bermakna beliau telah murtad lebih 16 tahun!

Saya menjangkakan kemungkina Mahkamah Persekutuan akan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan sekaligus bersetuju bahawa pihak JPN betul dalam menolak permohonan Lina kerana hal dan urusan agama Islam seharusnya dirujuk kepada Jabatan Agama yang berkenaan.

Cuma jika Mahkamah membuat keputusan itu, apakah akan terjadi pada Lina? Lina yang telah murtad itu kini bahagia disamping suaminya. Saya sempat menziarahi ibu beliau bersama Dato Dr Hasan Ali satu ketika dahulu. Menurut ibunya Lina ini baik orangnya, boleh baca surah Yasin, malah ketika aruah datuknya meninggal, Lina dikatakan turut membaca Yasin di hadapan jenazah arwah datuknya itu. Tetapi Lina juga kuat berpegang kepada agama barunya dan sangat taat pada suaminya, bapa mertua beliau seorang paderi Kristian di sini.

Keputusan mahkamah nanti akan sekadar melarang Lina dari menukar agama atas MyKadnya dari Islam ke Kristian, tetapi Lina dari amalan dan realitinya kini seorang Kristian!

Apakah yang boleh dilakukan ke atas beliau dalam keadaan peraturan dan undang-undang Negara dan negeri-negeri sungguh longgar dan lemah dalam hal ini.

Dalam bab JPN, nampaknya kemas peraturannya menyekat umat Islam dari menukar agama, tetapi itu atas MyKad, bagaiaman secara zahirnya? Berapa banyak kes murtad yang telah kita lihat gagal diatasi dan ditangani oleh pihak berkuasa.

Fitnah semakin besar terhadap Islam sejak akhir-akhir ini dan kita kelihatan bagaikan lesu, tidak bermaya melakukan apa-apa.

Saya menerima SMS meminta masyarakat Islam agar keluar dan berada di Mahkamah Persekutyuan hari Rabu ini untuk menunggu keputusan kes ini. Benar keputusan kes ini besar implikasinya terhadap Islam di Malaysia, tetapi realitinya Lina bukan lagi seorang Muslim tetapi kini seorang Krisitian. Beliau berjaya menukar agamnya kerana kita yang berkuasa memberi ruang dan peluang utnuk beliau melakukan demikian.

Beliau cuma mungkin gagal merubah butir atas MyKadnya, tetapi Lina bukan Azlina lagi, dan kita tidak dapat melakukan apa-apa.

Apa akan jadi jika Mahkamah Persekutuan mebenarkan rayuan Lina? Jawabnya pintu pagar murtad telah dibuka seluas-luasnya, dalam erti kata lain kita memberikan lessen besar, mahu murtad di Malaysia, silakan!

Friday, May 25, 2007

50 tahun merdeka jurang kaya miskin semakin melebar

Tahniah kakitangan awam yang bakal menikmati kenaikan gaji bermula bulan Julai ini. Sementara itu rakan-rakan disektor swasta samada para buruh di ladang, tenaga pekerja kilang, kerani, para pegawai dan eksekutif dan para pengurus menunggu-nunggu bila pula giliran mereka. Adakah pihak majikan akan faham akan isyarat yang cuba diberikan melalui kenaikan gaji sektor awam itu, atau adakah mereka akan terus terpinggir?

Gaji yang selesa kini penting memandangkan kenaikan kos hidup yang semakin mencengkam masing-masing diri dan keluarga. Kerana itu tuntutan sektor awam dan swasta memang semestinya dilayan kerana apa guna kita bermegah dengan kemajuan dan kemakmuran negara sedangkan rakyat jelata perit menderita.

Dalam pada kita ribut memperkatakan darihal nasib yang dialami oleh para pekerja sektor awam dan swasta ini rupa-rupanya ada segelintir dari kita memiliki kekayaan lebih kaya dari kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia!


Akhbar THE STAR hari ini menyiarkan senarai 40 individu yang terkaya dalam negara sebagaimana yang diterbitkan oleh majalah Forbes Asia keluaran terbarunya. Menurut laporannya jumlah kekayaan mereka ini mencecah USD43billion iaitu bersamaan RM145.77 billion!

Tan Sri Robert Kuok tetap unggul sebagai individu yang terkaya dalam negara dengan aset bernilai USD7.6 billion (RM25.76 billion) diikuti Ananda Krishanan RM7.4 billion (RM25.08 billion) dan ketiga Jutawan Judi Tan Sri Lim Goh Tong USD4.3 billion (RM14.57 billion).

Kalau kita perhatikan kenaikan gaji kakitangan awam yag diumumkan baru-baru ini, menurut PM akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM6.8 billion yang kalau contohnya dibiayai oleh Robert Kuok maka beliau masih akana da lebihan RM18.96 billion dalam kantungnya!

Sekadar untuk renungan juga pada tahun 2006 pendapatan kerajaan dari pengeluaran minyak adalah sebanyak RM45.5 billion iaitu menyamai kurang sedikit dari aset Robert Kuok dan Annada Krishnan yang digabungkan!

Demikianlah betapa luasnya jurang antara masyarakat terkaya dalam negara dengan orang awam seperti kita. Kita tidak cemburu dan dengki dengan kekayaan mereka ini cumanya betapa kita perlu menerima hakikat bahawa sesudah 50 tahun meredeka ada kakitangan awam yang pendapatan pokonya adalah RM691 iaitu masih di bawah Paras Kemiskinan sedangkan manusia terkaya dalam negara memiliki aset yang begitu besar sehingga mampu membayar gaji sepekerja tadi selama lebih 3juta tahun!

Dalam pada itu dari 40 yang tersenari tadi saya cuma mengesan 9 orang Melayu/Bumiputera yang masuk dalam kategori ini, demikianlah rekod pencapaian Umno, parti Melayu terbesar dalam negara, yang berjuang untuk memartabatkan ketuanan Melayu, memajukan ekonomi Bumiputera dan lain-lain yang hebat-hebat belaka. Tetapi pencapaiannya setelah hampir 50 tahun berkuasa hanya 22peratus orang Melayu yang duduk dalam senarai rakyat Malaysia yang terkaya, mengapa tidak 50 peratus, mengapa tidak lebih dari itu?

Tepuk dada tanya Umno!

Wednesday, May 23, 2007

Zam: Penulis blog bukan lagi satu ancaman

Setelah sekian lama menyerang dan memperbesarkan isu para penulis blog tiba-tiba hari ini Menteri Penerangan Zainuddin Maidin bertukar rentak. Menurut akhbar THE STAR hari ini:

Zam: Few people read blogs
Bloggers just write for each other

Zam: Tidak ramai yang membaca blog
Blogger hanya menulis untuk sesama mereka

Menurut Zam lagi hanya 20,000 dari 11 juta pengguna internet dalam negara yang mengambil minat tentang blog-blog politik. Para bloggers ini tambah Zam lagi bukannya ancaman mana pun.

Saya rasa menteri berkenaan tidak berapa faham apakah yang dimaksudkan dengan blog. Dan mungkin juga beliau CONFUSED atau terkeliru antara blog dengan laman web. Wahai Pak Menteri:

Blog ini adalah singkatan kepada WEBLOG (bukannya goblok) iaitu menurut istilah lazimnya adalah:

A publicly accessible personal journal for an individual. Typically updated daily, blogs often reflect the personality of the author.

Sebuah jurnal (dalam hal ini yang dimuatkan di alam maya) peribadi seseorang individu yang dapat diakses atau disaksikan oleh orang ramai (yang mengunjunginya di internet). Ianya dikemaskini hampir setiap hari dan kebiasaannya mencerminkan keperibadian penulis atau pemiliknya. Itulah Blog sebenarnya.

Harakahdaily, Malaysiakini, Tranungkite, Laman Marhaen, Malaysia Today dan lain-lain yang seumpamanya bukan blog tetapi laman web, kerana ia bukan milik individu tetapi satu kumpulan, syarikat atau pertubuhan. Takkanlah seorang menteri yang sepatutnya memiliki minda kelas pertama tidak dapat membezakan antara kedua ini?

Saya contohnya adalah penulis blog. Secara direct memang saya sekadar menerima purata 3,000 ke 3,500 kunjungan sehari, tetapi artikel-artikel saya dan terutama rakan-rakan lain yang jauh lebih hebat dari saya, kadangkala dikeluarkan pula di laman-laman web yang lebih beaar dan diakses pula oleh ribuan pengunjung laman-laman berkenaan. Ada pula yang disalin dan dimajukan pula dalam laman-laman egroup yang berjumlah ribuan di Malaysia ini.

Itu tidak termasuk yang dipanjang-panjangkan pula ke para penuntut dan pekerja kita di luar negara.

Apa pun Zam tak perlulah bimbangkan sangat. Malaysia kan masih sebuah negara demokrasi yang menjamin hak kebebsan bersuara. Takkanlah nak bersuara dan mengeluarkan pandangan pun usdah menjadi satu kesalahan hari ini?! Takkanlah kalau nak bersuara perlu memuja dan memuji kerajaan dan orang seumpama Zam sahaja?!

Saya percaya masing-masing kami bertanggungjawab dengan tulisan kami. Satu-satu blog menjadi popular apabila dikunjungi oleh ramai orang. Ia mungkin popular kerana memuatkan isu-isu semasa, atau menyerikan hidup sesorang atau mampu memberikan maklumat tambahan. Ada pun yang mengadu-domba dan menabur fitnah, biasanya blog jenis ini tidak dapat maju dan hanya syok sendiri sahaja.

Kesimpulannya dalam membicarakan isu blog ini janganlah Pak Menterinya sampai jadi goblok! Buat malu negara sahaja.
Hentikan merokok di bangunan Parlimen

Saya tertarik membaca laporan persidangan Dewan Negara dalam akhbar UTUSAN MALAYSIA hari ini. Tajuknya:

Jangan merokok dalam bangunan Parlimen

Menurut laporannya Senator Wan Ubaidah Omar (Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan) yang bertanyakan Perdana Menteri adakah kerajaan akan menjadikan bangunan Parlimen sebagai tempat bebas merokok supaya menjadi contoh kepada rakyat.





Dalam jawapannya PM berkata bangunan Parlimen telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok melalui Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Tambah PM lagi sekiranya masih terdapat mereka yang menghisap rokok di banguna tersebut, ia merupakan perokok yang tidak emmatuhi arahan.

Ironis sungguh, inilah bangunan yang menempatkan badan perundangan tertinggi dalam negara iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Malah di sinilah dibincang dan dilahirkan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 itu, tetapi rupanya di sini juga, institusi yang diamanahkan untuk mempertahan dan membela perlembagaan dan undang-undang negara, ianya dicabuli sekaligus mempersendakan usaha dan langkah kerajaan yang ada.

Saya mohon maaf kepada sahabat-sahabat yang merokok, tetapi sudah pasti apabila satu-satu kawasan atau tempat itu diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, maka sebagai rakyat yang mematuhi undang-undang, kita sewajarnya menghormati larangan itu. Bagi saya tiada maaf jika terdapat ahli-ahli Parlimen yang masih merokok di bangunan Parlimen (termasuklah kakitangan Parlimen). Saya tidak tahu yang lain tetapi yang sya pasti 7 ahli Parlimen Barisan Alternatif (6 PAS dan 1 PKR) serta 2 ahli Dewan Negera dari Kelantan, kesemuanya tidak merokok.

Jadi siapa yang bermasalah dan melanggar peraturan di bangunan Parlimen ini? Kalau rakyat jelata di luar senang-senang sahaja disaman dan diambil tindakan apabila melanggar peraturan ini, apa isitmewanya wakil-wakil rakyat dalam hal ini?

Tuesday, May 22, 2007

Masih ada kakitangan awam yang akan jatuh
bawah garis kemiskinan apabila pencen

Dalam seronok membaca berkenaan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam saya tidak dapat terlepas dari membaca tajuk berkenaan di UTUSAN MALAYSIA:

Gaji terendah hampir terlepas garis miskin

Menurut laporan ini gaji pokok terendah kakitangan awam iaitu Gred N1 Sokongan II (tukang masak) adalah RM480.85 sebulan sebelum kenaikan. Manakala setelah kenaikan 35% bermula 1 Julai 2007 mereka dari kumpulan ini akan menerima kenaikan RM168.29. Ini bermakna gaji pokok terbaru bagi kakitangan awam kategori terendah ini adalah RM 649.15 sebulan.

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi sebuah keluarga 5 orang di Malaysia sekarang ini adalah RM691 purata iaitu RM661 (Semenanjung) RM765 (Sarawak) dan RM888 (Sabah).

Berdasaran angka di atas masih terdapat kakitangan awam di Malaysia yang mempunyai pendapatan dibawah garis kemiskinan. Janganlah mengambil kira elaun dan perumahan dan COLA mereka kerana itu semua tidak diambil kira apabila mereka pencen nanti.

Dengan gaji pokok 649.15 sebulan, jika kakitangan berkenaan pencen bermakna ia akan hanya layak menerima pencen bulanan sebanyak RM324.75 iaitu bersamaan dengan 2 setengah biji durian yang berharga RM130 sebiji yang dimakan oleh PM Dollah Badawi dan Lee Hsien Loong di Langkawi tempoh hari! (Sedangkan pencen KSU adalah RM5,256.50)

Bagaimanakah nasib dan hidup pekerja-pekerja ini, kebajikan mereka, persekolahan anak-anak mereka, sakit pening mereka? Mampukah mereka memiliki bumbung sendiri yang boleh digelar rumah, mampukah mereka menyara ibu-bapa yang telah tua? Mampukah mereka bersiar-siar dan melancong dengan anak isteri?

Tidak sangka sudah 50 tahun kita Merdeka rupanya masih ada anak-anak bangsa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan tetapi hidup di bawah garis kemiskinan!

Mengapa tidak digunakan lebihan dari kenaikan Kumpulan Perkhidmatan Tertinggi (yang gaji pokok KSU sahaja mencecah RM10,000 ringgit, tidak termasuk elaun dan lain-lain) untuk melonjakkan paras gaji pokok Gred N1 Sokongan II ini supaya melampaui PGK? Tidakkah tindakan ini jika dilakukan akan memastikan tidak ada lagi kaitangan awam yang berada di bawah PGK? Selisihnya cuma RM41.85 , mengapa ianya tidak dilakukan?

Saya rasa isu ini serius dan perlu ditangani segera. Jangan kita sekadar meraikan mereka yang telah sedia mewah dan senang ditingkatan yang teratas, jenguk-jenguk dan ambil pedulilah juga bagi mereka yang merupakan kerak di dalam hiraki perkhidmatan awam ini. Semua mereka akan jatuh pada kategori miskin apabila bersara nanti, bayangkanlah!
Kemakmuran negara perlu dirasai oleh semua

Saya mengucapkan tahniah kepada lebih 1.02 juta kakitangan awam termasuk 557,033 para pesara (khasnya ayah saya yang pasti akan mendapat tambahan juga pada pencen bulanannya itu) yang akan menerima kenaikan gaji dan elaun mulai 1 Julai 2007 ini.

Kenaikan sebanyak 35% untuk Kumpulan Sokongan 2 dan 7.5% untuk Kumpulan Pengurusan tertinggi itu saya percaya membantu memulihkan sedikit-sebanyak bebanan berat yang ditanggung oleh warga kakitangan awam kita sejak kenaikan kos hidup ekoran kenaikan harga minyak, gas masak, tol dan barangan-barangan serta perkkhidmatan sejak kebelakangan ini.

Harapan kita mudah-mudahan kenaikan ini akan mendorong mereka untuk berkhidmat lebih cekap, telus dan adil kepada rakyat dan negara. Kita juga mengharapkan semoga kenaikan ini merangsang pihak swasta untuk turut memberikan kenaikan gaji dan upah kepada kakitangan mereka, seluruh rakyat Malaysia, semoga mereka juga dapat mengatasi kegawatan hidup yang menekan ini kerana PM Dollah Badawi semalam mengatakan (re: The Star):

The pay rise could be given because of the economic growth of 5.6%, the effect of fuel prices, positive trends of Bursa Malaysia and improved tax conditions.

Kenaikan gaji ini dapat diberikan kerana pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6%, kesan kanaikan harga bahanapi, tren positif Bursa Malaysia dan keadaan percukaian yang bertambah baik.

Kalau benarlah kenyataan Dollah di atas maka bukan hanya kakitangan awam dan pesara, malah lebih-lebih lagi kakitangan swasta, yang syarikat masing-masing sudah tentu turut mencatatkan keuntungan besar berdasarkan kenyataan Dollah di atas, mampu juga untuk menaikan gaji kakitangan masing-masing.

Biarlah jika benar negara ini makmur, maka kemakmurannya dirasai oleh semua pihak, bukannya direka-reka atau dicipta semata-mata kerana mahu mempertahankan kepentingan dan kedudukan pihak tertentu.

Tahniah sekali, lagi berbelanjalah dengan berhati-hati dan menabunglah untuk masa depan, kita tidak tahu apa lagi yang akan naik selepas ini.

Monday, May 21, 2007

Memelihara akhlak sebagai seorang penulis

Dalam banyak-banyak komen yang diterima sempena ulangtahun ke 3 Blog saya semalam, ada satu yang datangnya dari sahabat saya yang juga seorang Blogger dan penulis bebas di akhbar-akhbar media alternatif iaitu Sdr Bakaq Haq atau lebih dikenali dengan nama penanya Penarik Beca.

Terima kasih saya ucapakan kepada Bakaq atas dorongan dan motivasi yang diberikan kepada saya yang terlalu kecil ini berbanding dengan beliau yang sangat berpengalaman dan terkenal itu.

Beliau turut menyentuh betapa disedari ada perbezaan antara selera tulisan saya dan beliau dalam isu dan hal-hal tertentu. Lain padang lain belalang, rambut sama hitam tapi perangai tak semua hitam!

Kata beliau kami berbeza dalam pendirian mengenai Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa, dan itu sahaja perbezaan yang ketara. Itulah pandangan Bakaq, dan memang itu hak beliau, saya tidak memiliki daya untuk merobahnya.

Cuma bagi saya dalam isu Ustaz Nasharuddin ini, ianya isu fundamental sesuatu yang saya pegang rapat di hati. Saya sangat terusik dan kecewa apabila sahabat saya ini menulis tempoh hari:

Saya tidak peduli kalau orang memaki hamun saya kerana menyatakan tanpa bersembunyi bahawa Ustaz Nasharudin tidak layak sama sekali untuk menjadi Timbalan Presiden PAS dulu, kini dan tidak bolehlah saya mendahului Allah serta menyatakan selama-lamanya.

Diselaknya pandangan beliau dengan berani terhadap Timbalan Presdien PAS itu tetapi tidak pula diberikan hujah dan sebab-musabab ketidaklayakkan hamba Allah itu. Tidakkah ini agak pelik dan mungkin juga akan disalah erti oleh ramai.

Beliau berhak untuk tidak suka kepada sesiapa pun, sebagaimana saya (dan saya percaya ramai lagi) berhak untuk membenci tulisan seumpama ini yang sekadar dilontarkan tanpa bukti dan asas. Saya akui dalam pemilihan pucuk pimpinan yang lepas saya cuba menonjolkan kualiti dan keperibadian Ustaz Nasharuddin apabila beliau bertanding tiga penjuru menghadapi Timbalan Presiden ketika itu Ustaz Hassan Shukri (yang saya hormati, yang mengenali keluarga saya).

Tetapi ketika itu akhlak Islam menuntut saya untuk tidak sekali-kali merendah, mencerca apalagi menabur fitnah terhadap sesiapa pun termasuk Ustaz Hassan. Saya tidak pernah dan insyallah tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat, biadap atau yang menyinggung peribadi beliau bukan kerana saya takut dimaki hamun tetapi kerana ianya bertentangan dengan prinsip saya sebagai seorang penulis kecil apalagi sebagaimana saya sebutkan akhlak Islam yang sangat saya cemburui itu.

Bagi Bakaq beliau telah melepaskan bom jangkanya terhadap Ustaz Nasharuddin mungkin dengan harapan pemimpin muda nombor dua dalam PAS itu akan mati karier dan kedudukannya dalam hiraki politik PAS. Bom jangka Bakaq juga dilontar kepada Naib Presiden PAS Dato Dr Hasan Ali untuk tujuan yang sama.

Mungkin beliau akan berjaya, mungkin orang yang lebih layak dulu, kini dan selamanya akan naik dari kemusnahan yang telah beliau cetuskan itu. Itu hak dan pilihan Bakaq.

Bagi saya pemimpin-pemimpin yang Bakaq mahu letupkan itu memiliki kualiti dan kesungguhan yang isitmewa dan luarbiasa. Sekiranya mereka duduk dalam satu pasukan, diberi peluang bekerja dengan ikhlas dan jujur untuk perjuangan ini, saya yakin Islam akan naik melonjak di tanahair tercinta ini. Yang penting adalah penerimaan masyarakat oleh kerana dalam kaedah politik berpilihanraya yang dipegang oleh PAS kini, Islam insyallah akan hanya berjaya apabila ia diterima ramai.

Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor telah mencaturkan hiraki ini dengan bimbingan Kepimpinan Ulamak. Jangan letup dan musnahkan segala-galanya semata-mata kerana pandangan peribadi kita yang tidak disokong dengan bukti dan fakta.

Terima kasih Bakaq, insyallah kita tidak bergaduh (tiada manfaatnya pun) tetapi jelas kita berbeza dalam banyak hal.

The only interest that I have is to contribute whatever little I possess towards elevating Islam to its original position once put in place by Rasulullah pbuh and his Companions.


BERIKUT ADALAH KOMEN BAKAQ A.K.A PENARIK BECA

Hang tulis ja la apa yang nak tulis.

Tulis ikut rasa hati.Apa orang nak kata, bukan urusan hang.Hari ini orang tak faham. Tapi, lama-lama orang akan faham. Nak tunggu sehingga semua berfikiran terbuka baru boleh nak tulis apa yang kita rasa dan percaya, sampai bila nak tunggu?

Orang nak kata sekular macam dlm sms tu? Tak payahlah rasa tergugat. Allah Maha Menghakimkan. (Aku baru dapat 2, 3 hari lepas sms tu. Aku akan tulis pasal sms tu. Tapi tak sempat lagi)aku juga akan tulis apa yang aku suka. Apa orang nak kata, depa punya suka.aku harap hang pun sama.

Kita mungkin berbeza dari segi pendirian (pendirian mengenai Ustaz Nasarudin sahaja. Yang lain rasanya tidak jadi isu and please dont get me wrong about Dr Hasan Ali. I never question his merit as a leader. Aku hanya menyatakan rasa heran aku kepada peringatan dia yang aku rasa tidak relevan dengan keterbukaan ahli-ahli PAS kepada golongan professional).

Tetapi aku yakin kita tak berbeza dari segi mempercayai kebebasan bersuara.Bebas bersuara bukan bermakna bebas bergaduh atau bebas nak bergaduh.i still wanna hold your hand tightly in matters of common interest, if only you allow me to do so
Kakitangan awam memang layak menerima kenaikan gaji

Menurut UTUSAN MALAYSIA Perdana Menteri Dollah Badawi dijangka mengumumkan kadar kenaikan gaji untuk kakitangan awam sempena Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Putrajaya hari ini.

CUEPACS dalam satu memorandum kepada PM baru-baru ini menuntut kerajaan membuat semakan gaji dengan kenaikan antara 20 dan 40 peratus. Kongres itu mencadangkan kenaikan gaji 40 peratus untuk kumpulan sokongan II (Gred 1-16) yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam, manakala kumpulan sokongan I (Gred 17-26 dan Gred 27-40) pula menikmati kenaikan sebanyak 30 peratus.

Bagi kumpulan pengurusan dan profesional (Gred 41-54), CUEPACS mencadangkan mereka diberi kenaikan gaji sebanyak 20 peratus manakala para penjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) diberi kenaikan gaji sebanyak 10 peratus.

Menurut rekod, kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dilakukan ialah pada 1992 dengan kenaikan gaji sebanyak lapan peratus manakala kali terakhir penyelarasan gaji sektor awam dibuat pada 2000.

Dengan mencacak naiknya kos hidup pada hari ini ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang timpa-menimpa, memang sesuai sangatlah kerajaan menimbang dan meluluskan permohonan kakitangan awam ini. Malah belum pun pengumuman ini dibuat minggu lepas kita telah melihat beberapa jenis barangan termasuklah tepung gandum, beras, susu pekat manis dan lain-lain telah pun naik harganya.

Kegagalan membela nasib kakitangan awam ini nanti akan mengakibatkan lahirnya kecenderungan untuk melakukan rasuah dan penyelewengan akibat kehimpitan hidup yang tiada jalan keluar. Sekarang ini pun kita lihat sebahagian besar dari warga kakitangan awam ini terpaksa melakukan kerja sambilan dan berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan keluarga terutama yang berkerja di kawasan-kawasan bandar.

Tidakkah ini menjejaskan produktiviti, tetapi siapa yang harus disalahkan kiranya mereka terpaksa melakukannya juga kerana tuntutan kehidupan yang mendesak!

Mudah-mudahan kenaikan ini jika berlaku akan mendorong seluruh warga kakitangan awam untuk bekerja lebih kuat lagi dengan mengamalkan etika yang bersih dan cemerlang tanpa terlibat dalam sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan, tunduk dan patuh kepada ketentuan agama setiap masa.

Jika ada pengumuman ini hari ini, kepada rakan-rakan dari parti pembangkang, bersiap-sedialah kerana ini isyarat gendang pilihanraya umum telah mula dipalu dan mungkin kemuncaknya selepas sambutan 50 tahun Merdeka nanti, jumpa anda di bilik membuang undi.

Sunday, May 20, 2007

Bulan Purnama mengambang di dada Kuala Lumpur

Esok Parti Islam Se Malaysia PAS akan meresmikan bangunan Ibupejabat barunya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Bangunan setinggi 6 tingkat ini kini menghiasi Jalan Raja Laut dengan BULAN PUNAMA PENUH menandakan betapa jauhnya parti ini telah melangkah dari sejarahnya lebih 52 tahun dahulu.





Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat dijadulkan meresmikan bangunan baru itu petang esok.

Saya menumpang berbangga dengan pencapaian PAS sehingga mampu memiliki bangunannya sendiri seumpama ini.

Dari Kepala Batas ke Jalan Hamzah di Kg Baru ke Jalan Pahang ke Taman Melwar dan kini ia berdiri megah dan gagah semegah dan gagah ahli-ahlinya yang telah berkorban untuk memiliki mercu tanda ini sebagai simbol keseungguhan parti ini untuk menjuarai Islam di tanahair tercinta.

Pasti kekukuhan bangunan turut melambangkan betapa kukuhnya kekuatan keahlian PAS disegenap peringkat. Dan mudah-mudahan dengan tertegaknya bangunan ini maka akan lebih melonjaklah semangat ahli-ahli parti itu disemua peringkat untuk berjuang bagi mencapai maksud dan matlamat perjuangan mereka.

Cuma saya agak kesal apabila membaca tokoh veteran parti itu Subky Latiff dilaporkan oleh THE STAR hari ini sebagai berkata bahawa bangunan baru jutaan ringgit ini sebagai membazir dan suatu beban kepada ahli-ahlinya (as an extravagance and a burden to members.)

Apakah maksud beliau berkata demikian?

Disaat ahli dan peyokong serta mereka yang bersimpati dengan perjuangan ini berbangga dengan syiar yang dapat dibangkitkan oleh parti yang selama ini dipandang rendah, ekstrim dan seumpamanya, rupanya ada juga yang seumpama Subky memandang sebaliknya. Saya rasa tak kenalah komen seumpama itu. Kiranya Subky masih duduk dalam saf kepimpinan parti pasti beliau juga akan terkilan jika kritikan tidak berasas seumpama ini dilemparkan.

Syabas ahli-ahli PAS semua, ini kejayaan kita bersama. Teruskan perjuangan ke arah memartabatkan Islam.
Terus berkarya walaupun memikul risiko yang besar

Saya tidak pernah terbayang bahawa pada satu hari nanti karya dan tulisan saya akan dibaca oleh sekian ramai manusia. Samada yang meminatinya, yang membenci, yang mual termasuklah yang marah-marah.

Sebelum ini saya mengira walaupun minat dan keinginan menulis itu ada mengalir ditubuh ini barangkali ianya tidaklah kemana kerana tidak mungkin akan mendapat pencapaian yang meluas. Sekarang pun sebenarnya tidaklah meluas mana pencapaiannya pun, Blog ini dikunjungi antara tiga ke tiga ribu setengah kali sehari secara purata tidak termasuk tulisan saya yang terbit di laman-laman web yang lain atau diguna pakai oleh rakan-rakan lain atau yang masuk ke akhbar-akhbar media alternatif.

Ia munkin kecil tetapi bagi saya yang kecil ianya cukup mempersonakan, tambahan kadang-kala menerima reaksi yang pedas dan panas-panas dari kawan dan lawan (yang sebenarnya kadangkala menguris juga hati kecil ini, tetapi menyedari makin marah orang maka makin ramailah yang akan membaca, ia menjadi semacam dorongan pula).

Yang pasti saya akan sentiasa menulis berdasarkan fakta, berdasarkan pengalaman, berdasarkan cinta dan kasih saya kepada perjuangan Islam yang mahu menegakkan kebenaran dan keadilan itu. Yang pasti saya tidak akan menulis untuk memungut dosa, menulis untuk mengumpul musuh, menulis untuk merugi dan memalukan Islam.

Saya mungkin kadangkala kritis tetapi saya yakin ianya untuk kebaikan perjuangan ini. Saya tidak menafikan saya juga mungkin tidak sunyi dari melakukan kesalahan dan kesilapan, tetapi sebagai penulis, jika ianya berlaku, saya berpeluang memperbetul dan memohonmaaf kepada mana yang perlu.

Bacaan politik saya mungkin selaras dengan selera sebahagian yang membaca mungkin tidak pada sebahagian yang lain. Tetapi saya bukan hakim atau pendakwa, saya penulis yang seperti mana orang lain, berhak untuk memiliki bacaan politiknya sendiri selagi mana ianya tidak bertentangan syarak, insyallah siapa pun tidak berhak mencuck hidung saya ini apalagi mengugut atau menakut-nakutkan dalam bab politik.

Tidak ada seorang pun boleh mendakwa dirinya guru politik terhebat, termasuklah para profesor yang mengajar bab politik di menara gading. Samada anda raja atau bangsawan atau ulamak atau profesyional atau buruh dan penganggur sekalipun, semua kita adalah murid belaka dalam hal ini kerana politik adalah benda yang hidup.

Ia tidak mati dan malah ia terus hidup dan pasti hidup selagi ada manusia di dunia ini walaupun kita mungkin telah dan akan mati.

Politik kini digunakan untuk menegakkan Islam, Islam yang telah berjaya ditegak dan dilaksanakan oleh Rasullah saw dan para sahabatnya berpandukan al Quran dan as Sunnah itu mahu dikembalikan. Politik menjadi alat untuk merealisasikan cita-cita mulia ini. Bagimana ia mampu dijayakan terpulanglah kepada para pendokongnya tadi. Berbincang, bertukar pandangan, berbeza pendapat, semuanya politik dan dalam hal ini matlamat akhir adalah untuk menegakkan Islam.

Oleh itu dalam hal ini juga sebenarnya semua kita adalah murid belaka. Islam mesti berjaya, penggerak dan penegakknya tidak penting, yang penting adalah Islam itu mesti menjadi peneyelamat ummah.

Saya yang kecil ini akan terus menyumbang walaupun dalam bentuk yang kecil bagi mengejar cita-cita ini, samada ada yang bersetuju atau tidak. Sesungguhnya saya juga tidak penting, yang penting adalah Islam itu kembali ke kedudukannya sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya.

Saya telah menulis secara serius sejak sebelum zaman Reformasi lagi (di Harakah English Section ketika itu), diikuti dengan sumbangan kepada laman-laman web semasa zaman Reformasi dan kini di Blog ini. Insyallah saya akan terus menulis dengan berani dan benar walaupun risiko yang menanti besar dan mencabar.

Mudaha-mudahan lebih ramai lagi yang akan membaca dan memberikan pandangan dan teguran terhadap karya dan tulisan saya. Terima kasih kepada mereka yang memautkan saya di blog atau laman-laman mereka (termasuklah yang telah mengugurkan saya kerana marah-marah). Tidak lupa terima kasih juga kepada adik-adik di UK, Amerika Syarikat dan Timur Tengah yang terus menerus memberikan sokongan.

Marilah bersama-sama kita menyumbang ke arah Malaysia yang adil dan bersih yang mampu menjunjung Islam sebagai agama resmi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Ad Deen, insyallah.
TERIMA KASIH

Hari in adalah Ulangtahun Ketiga Roslan SMS Corner.


Blog ini tidak akan berjaya tanpa pandangan, dorongan dan sokongan anda semua. Mudah-mudahan apa yang kita lakukan di sini akan dapat memanfaatkan ummah dan perjuangan.

Teruskan sokongan anda semua.

Friday, May 18, 2007

Menteri dengan menteri bertelagah

Saya pernah menulis berkenaan isu ini sebelumnya. Bahawa hanya dalam pentadbiran Dolah badawi sahaja kita berpeluang melihat antara sesama menteri kabinet berbalah secara terbuka. Adakah ini menandakan Dollah mengamalkan keterbukaan atau ianya mencerminkan kelemahan pentadbiran beliau kerana gagal atau tidak berdaya mengawal menteri-menterinya.

Semalam dalam insiden pertama Menteri Kerjaraya Samy Vellu bertelagah dengan Menteri di JPM (yang menjaga hal-ehwal Parlimen) Nazri Aziz. Dalam sibuk-sibuk isu bumbung BOCOR dan Batu Gajah pun BOCOR, rupa-rupanya memang BOCOR teruk bumbung Parlimen kita!


Samy Vellu yang naik ke bumbung Parlimen bersama para pegawai dan kakitangan JKR menyatakan bahawa bumbung Dewan tertinggi dalam negara itu teruk bocor. Kata beliau terdapat dari lima ke enam punca bocor yang teruk dan mungkin jika tidak dirawat segera akan wujud pula 10 ke 15 lagi. Sampah sarap dan bahan-bahan buangan bersepah dan berterabur kata Presdien MIC itu lagi.

Menurut Buletin Utama TV3 semalam, pengurusan bangunan Parlimen terletak di bawah Nazri dan bukan JKR atau Samy.

Nazri dalam TV3 semalam apabila ditanya mengapa perbelanjaan RM90 juta yang dibelanjakan untuk bangunan tersebut pada tahun 2005 tidak melibatkan kerja-kerja mengatasi kerja-kerja bumbung ini, kata Nazri ketika itu bumbungnya tidak bocor. Dan siapa pun tidak menjangkakan yang bumbung itu akan bocor.

RM90 juta itu kata Nazri dibelanjakan hanya untuk pengubahsuian bangunan itu semata-mata.

Dan kini kata Samy kerja-kerja rawatan dijangka menelan perbelanjaan yang lebih besar.

Apa dah jadi ni?

Kalau di Putrajaya PM Dollah Badawi marahh-marah pada kakitangan kerajaan dan Perbadanan Putrajaya, di Parlimen bagaimana? Dari berbelanja RM90juta untuk mencantik dan mengindahkan kawasan dalam dewan dengan kerusi baru, karpet baru, tv baru, marmar baru dan lain-lain, lebih baik bumbung yang lebih kritikal itu dirawat.

Kemudian dalam insiden kedua pula kita dikejutkan apabila Menteri di JPM Bernard Dompok, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Integriti. Bekas pengasas PBS itu mentakan beliau letak jawatan kerana merasakan tidak mungkin dapat berlaku adil.

Kata Bernard lagi:

Kehadiran saya dalam komiti ini seolaholah menjadi batu penghalang untuknya memainkan peranan dengan lebih berkesan.

Tiba-tiba Nazri Menteri di JPM menerjah dengan mengatakan Bernard sebenarnya telah banyak dipengaruhi oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang juga duduk dalam jawatankuasa itu sebagai timbalannya.

Kata Nazri Bernard tidak faham malah enggan memahami skop tugas jawatankuasa itu dan sering melangkaui bidangkuasa yang diberikan. Ini kerana Kit Sianglah yang sentiasa beria-ia bahawa jawatankuasa ini memiliki kuasa yang luas.

Terakhir kata Nazri jawatankuasa ini telah memanggil Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran untuk menyiasat isu kad pengenalan palsu di Sabah. Ketua Pengarah itu enggan hadir, dan kata Nazri sepatutnya jawatankuasa itu berurusan dengan menteri berkaitan dan tidak terus kepada para pegawainya.

Nampaknya Nazrilah yang cuba memberi tafsiran sesuka hatinya terhadap skop dan bidangkuasa jawatankuasa yang diberi mandat oleh Parlimen ini.

Apabila Dompok ditanya oleh pemberita berkenaan dakwaan Nazri itu, beliau berkata:

It is a cheap shot. What else can I say?

Ianya terlalu murahan, apa lagi mahu saya katakan.

Belanja RM90 juta untuk Bangunan Parlimen, ianya nampak indah dan megah namun bila hujan mereka yang di dalamnya lencun basah!

Tubuhkan Jawatankuasa Pilihan berkenaan Integirit, tetapi para pegawai dan menteri-meneteri sekali kelihatan mcama tiada berintegriti.

Lalu bertelagahlah para menteri di mata awam. Apa sikap PM dalam hal ini? Mungkin beliau maklum dans edang menimbang untuk emngambil tindakan yang wajar, atau mungkin juga beliau tidak tahu, dan memang tak mahu tahu, entahlah.
Tidak ada sekular dalam PAS

Apakah ada kelompok sekular dalam PAS?

Apakah yang dimaksudkan dengan istilah sekular itu?

Rata-rata definasi perkataan SECULAR yang akan kita perolehi jika kita menelaah kamus-kamus bahasa Inggeris bahawa ianya berasal dari perkataan Latin lama saeculum iaitu merujuk kepada dunia masa kini. Kamus-kamus ini biasanya mendefinasikan SECULAR sebagai:

Worldly rather than spiritual ataupun keduniaan lebih dari keagamaan

Menurut Meriam Webster: Sekular bermaksud tidak terlalu berteraskan agama secara khusus dan tidak terikat dengan peraturan agama. Manakala menurut ensaiklopedia maya WIKIPEDIA isitlah sekular bermaksud fahaman kebebasan agama dan kebebasan kerajaan dari melaksanakan peraturan agama ke atas rakyat dan negara itu tadi bebas dari sebarang fahaman mana-mana agama.


Itu maksud sekular, lalu bolehkah kita jumpa dalam PAS, sebuah parti Islam, seorang ahli yang SEKULAR sedangkan fasal 5 Perlembagaannya terang-terang menyebut:

Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Kalau sekular itu bermaksud memisahkan dunia dengan agama (sebagaimana maksud yang diberikan di atas) maka mustahil ada, walau seorang pun ahli PAS yang kononnya berfahaman SEKULAR. Fahaman ini kemungkinan lebih cenderung diperolehi dalam Umno dan BN, bukannya PAS. Lantas bukan hanya mustahil malah jika ada mana-mana pihak yang berhujah bahawa PAS diresapi golongan SEKULAR maka pihak tadi samada buta istilah atau sengaja memiliki agenda jahat untuk memporak-perandakan perpaduan parti Islam itu.

Tetapi memang ada yang berpendidikan sekular dalam PAS. Lazimnya mereka yang melalui pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kebangsaan, dikatakan berpendidikan sekular kerana kurikulum sekolah-sekolah ini lebih menjurus kepada konsep pemisahan ini. Berlainan dengan mereka yang menerima pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah agama.

Demikian juga mereka yang menerima pendidikan di IPTA dan IPTS dalam aliran bukan agama, mereka juga dikatakan melalui pendidikan sekular iaitu yang memberi penekanan lebih kepada WORDLY RATHER THAN SPIRITUAL.

Tetapi wajarkah kita menghukum semua yang menerima pendidikan sebegini akan sekular juga dari segi anutan dan fahaman agamanya? Ada juga lepasan agama bertaraf Masters dan Phd kini duduk dalam Umno, dan aktif pula memegang jawatan!

Bagi saya yang jelas samada seorang itu berpendidikan sekular atau agama atau tiada pendidikan langsung, sekiranya dia memilih menyertai PAS, sekaligus dia telah mencairkan dirinya dalam larutan yang dipanggil jemaah Islam dan berlandasakan Fasl 5 (2) Perlembagaan PAS akan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Tidak berbangkit seorang yang berpendidikan sekular akan memilih untuk menyertai PAS dan memperjuangkan pula kononnya sekularnya itu, kerana ternyata dia samada akan merasakan dirinya sumbang atau akan ditolak oleh jamaah yang melihat dia itu sumbang.

Yang menyertai PAS hari ini adalah mereka yang berpegang teguh kepada AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH, tidak kira apa bentuk pendidikan dan latar belakang mereka sebelum ini, masuk untuk menegakkan dasar Islam yang dinayatakan dalam Fasal 3 Perlembagaannya.

Diperingkat ini seluruh ahli PAS perlu berlapang dada dan berusaha menambat seramai mungkin mereka yang diluar sana dari pelbagai latar belakang dan disiplin pendidikan agar sama-sama bernaung di bawah jamaah in, bersama-sama berfikir dan menyumbang ke arah kemenangan Islam. Yang kita tidak perlukan adalah mereka yang memiliki agenda asing dan menolak aqidah kita.

PAS mempunyai potensi untuk menyelamatkan bangsa, agama dan negara ini dari terus berada di bawah kekusutan dan kekalutan Umno dan BN serta Islam Hadharinya. Marilah sama-sama kita berusaha ke arah itu. Berteraskan kepimpinan ulamak yang jelas Sunni nya, ayuhlah kita sama-sama menjunjung amanah ini.

Pulihkan demokrasi daulatkan Islam!

Thursday, May 17, 2007

RM26,000 untuk beli 200 biji durian buat Dollah Badawi

Saya pasti ramai yang melihat gambar PM Dollah Badawi mencium durian sambil menjamu PM Singapura Lee Hsien Loong di Langkawi yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan semalam.

Biasalah tetamu asing dijamu dengan Raja Buah Malaysia itu. Memang menurut maklumat pemimpin-pemimpin Singapura memang tergilakan durian Malaysia kerana itu kunjungan rasmi mereka biasanya tidak sempurna tanpa dijamu dengan buah ini.


Banyak mahal satu biji RM130
Cuma saya terperanjat apabila membaca laporan dari akhbar Cina KWONG WAH YIT POH yang disiarkan oleh akhbar THE STAR di muka 43 nya hari ini.

Menurut KWONG WAH 200 biji durian yang Dollah jamu Hsien Loong itu datangnya dari Balik Pulau, Pulau Pinang. Tempat dimana durian Kelas A Malaysia dikeluarkan. Khabarnya buah-buah durian itu diterbangkan dengan helikopter dari Balik Pulau dengan kos RM26,000.00! Ini bermakna setiap biji durian tersebut berharga RM130 sebiji!

Saya tidak tahu darihal orang lain tetapi bagi saya yang menanggung kos hidup yang semakin hari semakin perit ini, perbelanjaan sedemikian rupa adalah satu pembaziran besar sedangkan rakyat sengsara dengan harga tepung, harga beras, harga sardin, susu dan lain-lain yang semakin tinggi! Dollah boleh senang-senang menjamah durian yang harganya RM130 sebiji!

Anda semua buatlah kesimpulan sendiri!
BOCOR: Kalau tidak menghina apa lagi?

Perangai ahli-ahli Parlimen BN terutama individu-individu tertentu ketika berbahas dan berhujah dalam Dewan Rakyat memang telah lama memalu dan memualkan seluruh negara. Ahli Parlimen Jasin dan Kinabatangan adalah dua wakil yang sememangnya sinonim dengan perangai badot dan hujah separuh tiang yang tidak layak bagi seorang yang menduduki dewan perundangan yang tertinggi dalam negara.

Dalam akhbar hari ini dimaklumkan bahawa kedua-dua mereka diarahkan oleh Kabinet agar memberikan penjelasan berkenaan isu BOCOR kepada Menteri pembangunan Wanita, Shahrizat Jalil.
(terima kasih Pak Sheikh)
Menurut UTUSAN MALAYSIA TPM Najib Tun Razak ketika diminta mengulas keputusan Kabinet ini berkata bahawa kedua-dua mereka sebenarnya tidak bertujuan menghina wanita ketika mengeluarkan perkataan tersebut. Kata Najib lagi mereka sebenarnya menyampuk ketika MARAH dengan ucapan YB Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan.

Saya rasa di sini semua pihak perlu berkata jujur, jangan SPIN dan menyelewengkan isu sebenar. Apakah yang dikatakan di Dewan oleh kedua badot ini?

Jasin: Batu Gajah tiap-tiap bulan pun bocor juga

Kinabatangan (macam burung kakak tua mengulangi): Batu Gajah bulan-bulan pun bocor juga (dalam SLANG Sabah)

Sila tonton perbahasan itu di:

http://www.youtube.com/watch?v=xqnw-q93wyc

Kata Najib mereka berdua marah, kalau ditonton video klip di atas kedua-dua mereka bukan dalam keadaan marah tetapi buat lawak, sambil gelak ketawa, mengeluarkan perkataan biadap itu!

Bagi saya jelas kedua-dua mereka telah menghina Dewan Rakyat, menghina ahli Parlimen Batu Gajah dan menghina kaum wanita termasuk ibu, isteri dan anak-anak perempuan mereka sendiri.

Perkataan BOCOR tidaklah hina dan lucah tetapi apabila digunakan untuk merujuk kepada kedatangan haid atau bulan seorang wanita, secara terbuka seperti di atas, ia sungguh biadap dan kurang ajar dan menghina sehina-hinanya.

Inilah perangai ahli-ahli Parlimen BN dan inilah akibatnya apabila mereka diberikan majoriti luar biasa oleh rakyat sebagaimana yang ada pada hari ini. Kerana itu rakyat memikul tanggungjawab untuk memastikan agar akhlak dan karekter umpama dua badot ini termasuklah beberap lagi dari BN itu, jangan lagi diberi peluang duduk di dewan yang mulia ini.

Diperingkat ini permohonan maaf dari mereka bredua sudah tidak bererti lagi, kepada para pengundi di Jasin dan Kinabatangan kiranya kedua mereka ini terus menongkat langit dan bertanding juga atas tiket BN dalam pilihanraya umum akan datang, demi membela maruah kaum wanita, iaitu ibu, kakak, adik, isteri dan anak-anak perempuan kita, tolonglah pastikan mereka dan yang seumpama mereka (ditempat-tempat lain) tidak diberikan kepercayaan lagi.
Bersihkan Parlimen dari badot-badot yang biadap dan kurang ajar!
Peristiwa 13 Mei:
Jangan sekat usaha mencari kebenaran


Saya belum lagi selesai menelaah buku MAY 13 Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 setebal 136 halaman karangan bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Dr Kuas Kia Soong. Buku ini dihadiahkan oleh Dr Kua kepada krew WTV8 yang membuat liputan majlis pelancarannya Ahad lepas (sila ke http://wtv8.tv/ untuk menyaksikan majlis tersebut).

Tiba-tiba menurut laporan, pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah merampas buku-buku ini yang baru mahu ditempatkan di sebuah kedai buku di ibunegara Selasa lepas.

Dari kenyataan Dr Kua dan setakat yang sedang saya baca penulis sekadar mahu Perisitiwa Hitam ini dibuka semula bagi mencungkil sebab-musabab sebenarnya mengapa kejadian ini berlaku dan yang lebih penting bagi menyedarkan seluruh masyarakat dalam negara agar tidak lagi mengulangi kesilapan kita yang lampau itu.





Dr Kua meneguhkan hujah dan pandangannya dengan rekod-rekod yang diperolehi dari Public Records Office London yang menyimpan laporan dan ulasan wakil-wakil asing termasuk dari UK darihal peristiwa malang ini ketika itu. Jelas rekod-rekod tempatan seakan dikunci mati dari pengetahuan rakyat.

Benarkah perisitiwa ini tercetus sebagai usaha dalaman Umno untuk menumbangkan Almarhum Tunku dari teraju negara dan parti itu? Benarkah perisitiwa ini sebenarnya dapat dielakkan kiranya pihak-pihak terbabit tidak tunduk pada tekanan politik Umno dan Perikatan ketika itu? Benarkah ketegangan kaum semat-mata tidak mampu mencetuskan peristiwa ini tetapi sebenarnya kecalaruan di dalam Umno dan Perikatan itu sendiri?

Sepatutnya 50 tahun Merdeka telah mendewasakan minda kita semua, untuk lebih terbuka dan kritikal.

Yang lucunya Timbalan Menteri Keselamatan Fu Ah Kiow dalam akhbar hari ini berkata buku Dr Kua itu sebenarnya belum diharamkan. Tindakan para pegawainya tempoh hari adalah semata-mata untuk menelaah kandungan buku itu.

Soalnya kenapa perlu rampas di kedai buku? Takkanlah pihak kementerian tidak boleh berjumpa Dr Kua untuk mendapatkannya dan saya pasti Dr Kua bersedia memberikan naskah percuma siap dengan tandatangannya sekali jika diminta! Menagapa bertindak merampas begitu di tempat awam?

Mengulas kejadian ini Dr Kua berkata buku beliau itu bermaksud membongkar kebenaran, dan fakta yang beliau kemukakan diharap dapat membina masyarakat yang bermaklumat dan cintakan kedamaian bersandarkan kebenaran.

Sementara itu menurut akhbar THE STAR kebanyakkan kedai buku telah kehabisan stok buku ini sebaik sahaja ianya dilancarkan.

Saya percaya jenerasi baru Malaysia tidak mahu persitiwa ketegangan dan rusuhan kaum seumpama 13 Mei itu berulang. Tetapi yang pentignya di sini sungguhpun ia telah 38 tahun berlalu, rakyat berhak tahu apakah sebenarnya punca yang mencetuskannya, suapaya ia tidak lagi berulang. Supaya kepala-kepala yang bertanggungjawab dapat diseret ke hadapan untuk memikul akibatnya.

Wednesday, May 16, 2007

Tepung naik tetapi rakyat (kononnya) jangan risau

Harga tepung gandum kini dinaikkan RM0.15sen sekilogram serta-merta. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri barangan kawalan ini terpaksa dinaikkan oleh kerana kos pengangkutan dan bahan mentahnya meningkat.

Kata Shafie Apdal kenaikkan ini terlalu kecil dan memberi amaran kepada para peniaga terutama restoran-restoran dan pengeluar bahan makanan agar tidak menaikkan harga produk mereka berikutan perkembangan ini.


Belum pun kerajaan mengumumkan kenaikkan gaji kakitangan awam dan lain-lain imbuhan untuk profesyion tertentu, nampaknya harga barangan pula telah mendahuluinya. Malah semalam akhbar-akhbar tempatan mendedahkan betapa barangan-barangan tertentu terutama yang dalam tin telah pun naik secara senyap-senyap antaranya sardin, susu tepung bayi, milo, nescafe dan susu pekat manis. Semuanya naik sekitar 5 ke 10 peratus.

Lalu apa lagi akan naik selepas ini? (Kata orang di Malaysia sejak akhir-akhir ini semuanya naik tidak ada yang turun kecuali hujan).

Pastilah kenaikkan kos barangan ini akan turut menjejaskan kos hidup rakyat Malaysia amnya yang masih belum pulih dari kenaikkan harga minyak, gas, tol, bekalan letrik dan air itu.. Saya tidak pasti berapa lama kedai-kedai Mamak contohnya akan menanggung kos kenaikkan tepung gandum ini tanpa memindahkannya kepada para pelanggan mereka. Mungkin harga roti canai tidak akan naik tetapi yang pasti saiznya sudah tentu mengecil, yang sekarang pun sudah kecil dan tipis.

Saya tertarik dengan komen Penasihat FOMCA Prof Datuk Dr Hamdan Adnan yang menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya memberi jaminan bahawa jika kerana kenaikkan kos pengangkutan dan bahan mentah maka harga tepung gandum ini terpaksa dinaikkan maka jika kos-kos ini turun harga tepung gandum juga akan turun.

Jangan naik kerana kos naik teapi apabila turun harga runcitnya tidak turun-turun sebagaimana yang pernah kita lihat dan alami berlaku kepada harga petrol.

Kesimpulannya saya yakin rakyat Malaysia mula berasa cemas dengan perkembangan ini dan tidak mustahil akalu tepung gandum boleh naik kerana kenaikkan kos pengangkutan maka banyaklah lagi barangan dan perkhidmatan akan bertalu-talu naik pula selepas ini.

Tuesday, May 15, 2007

Jangan letakkan harapan pada Umno sahaja

Saya sungguh terharu apabila artikel saya:

UMNO BAGAIKAN SI TANGGANG

mendapat respon dari SDR WAN INDRA PUTRA AHMAD dari Kota Raja, Selangor. Wan Indra yang sering menulis di ruangan Forum Utusan Malaysia saya yakin seorang yang kuat berpegang pada perjuangan dan ideologi parti pujaannya iaitu Umno.

Saya kagum dengan pembelaan saudara terhadap Umno, dan memang saudara berhak berbuat demikian.

Saya menulis artikel berkenaan apabila melihat parti saudara itu sudah sebenarnya tidak lagi berjuang untuk mempertahankan kepentingan Bangsa Melayu, iaitu prinsip perjuangan asal penubuhan Umno itu sendiri 61 tahun lalu. Saya kemukakan Isu Maybank sebagai satu contoh kecil yang kebetulan tercetus diambang parti idola saudara itu meraikan ulangtahun penubuhannya yang ke 61.

Saudara masih menaruh harapan pada Umno walaupun saudara mengakui bahawa terdapat banyak perbezaan antara pemimpin Umno kini dan dahulu. Dan bahawa saudara juga sukar memahami apa yang diperjuangkan oleh segelintir pemimpin parti itu pada hari ini.

Saya tidak menafikan bahawa bukan saudara seorang malah ramai rakyat Malaysia yang masih menaruh harapan pada Umno termasuklah dikalangan saudara-mara sedarah dan seketurunan dengan saya.

Tetapi yang penting disaat ini kita tidak seharusnya cukup dengan menaruh harapan semata-mata. Pepatah Melayu berkata: Apa diharapkan pada pagar jika agar memakan padi. Orang Melayu perlu realisitik, menerima hakikat dan bertindak dari situ. Kalau dahulu ditahun 40an kita mungkin tidak memiliki pilihan kerana itulah satu-satunya wadah yang ada pada kita, hari ini ianya sudah berubah.

Sebut sahaja tentang politik Melayu, pemimpin Melayu bukan hanya ada dalam Umno, tetapi ada juga dalam PAS dan lain-lain. Lalu kini orang Melayu ada pilihan. Pilihlah yang paling baik, paling jujur dan paling ikhlas dalam memperjuangkan nasib dan masadepan kita. Pejuang Melayu sejati tidak semestinya lahir dari sarung keris Umno sebagaimana yang saudara ungkapkan itu. Pejuang Melayu sejati akan lahir dari kalangan mereka yang teguh fahaman agamanya, mulia tingkah lakunya, baik budi pekertinya. Kalau Umno sudah tidak ada lagi pemimpin seumpama ini, Saudara Wan Indra, tidak berdosa jika kita berpemimpinkan yang lain yang menepati ciri-ciri yang disebutkan itu.

Umno mungkin telah pernah berjasa ditahun 40an dahulu tetapi hari ini ia seakan minta diganti kerana sudah tidak mampu meneruskan prinsip perjuangan asalnya itu. Marilah kita bersama atas bahtera yang lebih meyakinkan, insyallah.



(berikut adalah komen WAN INDRA):

Saudara Roslan,

Terima kasih kerana sudi menyentuh artikel saya, terima kasih juga kepada mereka2 yang komen serta memberi pandangan. Ada dua perkara, pertama tentang UMNO itu sendiri iaitu UMNO di lahirkan untuk mengeluarkan penjajahan Malayan Union dari bangsa Inggeris.

Tentang kepimpinan pula memang terlalu banyak perbezaan antara pepimpin dahulu dan sekarang. Sukar di mengertikan apa yang di perjuangkan oleh segelintir pemimpin UMNO sekarang dalam membela peradaban bangsa melayu. Tetapi janganlah kita marahkan nyamuk kelambu pula yang di bakar. Sedangkan kelambu ini sudah banyak jasanya.

Baik dan buruk UMNO ini terletak kepada pemimpinnya, bukan kepada parti keramat umat melayu ini. Sebagai contoh pengorbanan Alahyarham Dato Harun Idris, mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Menteri Besar Selangor, jika bukan atas gerakan beliau serta pemuda-pemuda gagah perkasa ketika itu (pemuda Talasco - Tahan Lasak Company) yang sudah tidak bersabar lagi dengan tekanan pihak-pihak tertentu, maka peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tentu tidak berlaku. Bukankah ini adalah salah satu dari perjuangan pendekar melayu dalam UMNO.

Banyak lagi jika hendak di perkatakan tentang pejuang-pejuang UMNO terdahulu.Cuma yang menjadi sedikit kehibaan bagi diri saya terhadap segelintir bangsa melayu ini ialah terlalu mudah sangat menelanjangi bangsanya sendiri apatah lagi membabitkan parti politik khususnya UMNO. Ada kalanya saya bertanya dalam diri saya sendiri bila pula UMNO menjadi penderhaka kepada bangsa melayu, bila ?

UMNO tidak pernah menderhaka terhadap bangsanya, tetapi segelintir ahli UMNO atau bangsa Melayu yang pernah menderhaka kepada UMNO, itu saya akui. Penubuhan parti Pas bukankah kerana ahlinya kecewa kerana pemimpin mereka kalah dalam perebutan jawatan Yang Di Pertua UMNO, apa kurangnya penubuhan Parti Melayu Semangat 46, ataupun Parti KeADILan Rakyat, bukankah apabila pemimpin mereka bercakaran akhirnya wujud parti serpihan ini. Waima parti Negara yang di asaskan oleh Alahyarham Dato Onn dahulu pun di sebabkan beliau kecewa dengan pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan cadangan Dato Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan melayu. Adakah kemelut ini membolehkan kita meletakkan UMNO yang menderhaka ?

Bagi saya secara peribadi, mana-mana pemimpin UMNO yang memunggah kekayaan untuk kepentingan diri, tidak jujur kepada perjuangan UMNO, rasuah terhadap diri sendiri atau kedudukan pangkat ataupun jawatan dalam UMNO, mereka inilah yang sebenarnya yang menderhaka kepada UMNO.

Kalau sdr rasa atau mereka yang komen tentang artikel saya meletakkan UMNO adalah punca terhadap penderhakaan terhadap bangsa melayu, kalian adalah silap.

Nukilan terakhir saya:

PERCAYALAH WAHAI BANGSA MELAYU SEKALIAN, AKAN WUJUD SUATU HARI NANTI PEJUANG BANGSA MELAYU SEJATI YANG LAHIR DARI SARUNG KERIS UMNO, DI BALUT TUBUHNYA OLEH SANG SAKA BANGSA, DI AZANKAN OLEH ROH PEJUANG UMNO TERDAHULU, BERTEMPIK MENGGEGAR HALILINTAR, MERAUNG IBARAT PENGHULU RIMBA, MENGHUNUS KERIS

Wan Indra Putra Bin Ahmad 05.14.07 - 2:07 am
Bank tarik KL Monorail

Bukan kenderaan sahaja kalau tidak dibayar ansurannya akan ditarik oleh pihak peminjam malah keretapi sebesar MONORAIL pun boleh ditarik kalau gagal dibayar hutangnya.

Dalam pengumumannya di Bursa Malaysia baru-baru ini, KL Infrastruscture Group Berhad atau KLINFRA memaklumkan bahawa pihak Bank Pembangunan Malaysia (BPMB) telah mengambil-alih aset syarikatnya termasuklah sistem pengangkutan MONORAIL kerana kegagalan mereka menjelaskan faedah tertunggak sebanyak RM4,244,801.91 setakat 29 April 2007 atas pinjaman yang diberikan oleh BPMB. Kerana kegagalan itu BPMB kini menuntut pembayaran keseluruhan hutangnya bernilai RM609,616,423.73 dan faedah tertunggak sebanyak RM906,045,334.61.


KLINFRA memiliki aset termasuklah sistem MONORAIL tadi bernilai RM1,288,745,000.00.

Dalam pada kita asyik dan tenggelam dalam keghairahan FEEL GOOD FACTOR yang dicanangkan oleh PM dan anggota kabinet serta pimpinan BN keseluruh negara dan dunia, rupa-rupanya ada syarikat kita yang bermasalah. Ini yang telah zahir, tidak tahu pula berapa lagi yang sedang tenat dan nazak.

MONORAIL ini adalah sistem pengangkutan awam laknsana keretapi yang merentasi KL dari KL Sentral di Brickfield sehinggalah ke Titiwangsa.

Moralnya disini kalau berhutang kenalah bayar, kalau buat projek kenalah pandai-pandai mengurusnya!