Wednesday, May 16, 2007

Tepung naik tetapi rakyat (kononnya) jangan risau

Harga tepung gandum kini dinaikkan RM0.15sen sekilogram serta-merta. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri barangan kawalan ini terpaksa dinaikkan oleh kerana kos pengangkutan dan bahan mentahnya meningkat.

Kata Shafie Apdal kenaikkan ini terlalu kecil dan memberi amaran kepada para peniaga terutama restoran-restoran dan pengeluar bahan makanan agar tidak menaikkan harga produk mereka berikutan perkembangan ini.


Belum pun kerajaan mengumumkan kenaikkan gaji kakitangan awam dan lain-lain imbuhan untuk profesyion tertentu, nampaknya harga barangan pula telah mendahuluinya. Malah semalam akhbar-akhbar tempatan mendedahkan betapa barangan-barangan tertentu terutama yang dalam tin telah pun naik secara senyap-senyap antaranya sardin, susu tepung bayi, milo, nescafe dan susu pekat manis. Semuanya naik sekitar 5 ke 10 peratus.

Lalu apa lagi akan naik selepas ini? (Kata orang di Malaysia sejak akhir-akhir ini semuanya naik tidak ada yang turun kecuali hujan).

Pastilah kenaikkan kos barangan ini akan turut menjejaskan kos hidup rakyat Malaysia amnya yang masih belum pulih dari kenaikkan harga minyak, gas, tol, bekalan letrik dan air itu.. Saya tidak pasti berapa lama kedai-kedai Mamak contohnya akan menanggung kos kenaikkan tepung gandum ini tanpa memindahkannya kepada para pelanggan mereka. Mungkin harga roti canai tidak akan naik tetapi yang pasti saiznya sudah tentu mengecil, yang sekarang pun sudah kecil dan tipis.

Saya tertarik dengan komen Penasihat FOMCA Prof Datuk Dr Hamdan Adnan yang menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya memberi jaminan bahawa jika kerana kenaikkan kos pengangkutan dan bahan mentah maka harga tepung gandum ini terpaksa dinaikkan maka jika kos-kos ini turun harga tepung gandum juga akan turun.

Jangan naik kerana kos naik teapi apabila turun harga runcitnya tidak turun-turun sebagaimana yang pernah kita lihat dan alami berlaku kepada harga petrol.

Kesimpulannya saya yakin rakyat Malaysia mula berasa cemas dengan perkembangan ini dan tidak mustahil akalu tepung gandum boleh naik kerana kenaikkan kos pengangkutan maka banyaklah lagi barangan dan perkhidmatan akan bertalu-talu naik pula selepas ini.

No comments: