Para perwakilan PAS akan mula bertumpu ke Kota Bharu, Kelantan. Malam ini akan diadakan Muktamar Dewan Pemuda, diikuti Dewan Ulamak dan Dewan Muslimatnya esok. Hari Jumaat adalah hari perasmian Muktamar PAS Pusat kali yang ke 53 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan atau PUTIK di Pengkalan Chepa.
Hari Jumaat juga akan menyaksikan proses pemilihan untuk pucuk pimpinan tertinggi parti itu, kecuali jawatan Presiden yang dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang sekarang Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, kesemua jawatan lain akan dipertandingkan.
Tahun pertandingan kali ini penting bagi parti pembangkang terbesar ini kerana pada tahun ini juga kerajaan BN dijangka memanggil Pilihanraya Umum ke 12. Bermakna saf kepimpinan yang ada akan diamanahkan untu memimpin parti pada pilihanraya tersebut. Kerana itulah tum[uan seluruh negara dan barangkalis ebahagian pemerhati politik antarabangsa akan tertumpu ke PUTIK mulai Jumaat ini.
Saya insyallah akan bertolak ke sana esok bersama beberapa sahabat.
Sebagaimana yang diketahui kini jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang sekarang Ustaz Nasharudin Mat Isa (bekas pensyarah UIA dan UKM dan mantan Setiausaha Agung PAS/EXCO pemuda PAS Pusat) yang akan ditentang oleh Ustaz Dato Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (bekas EXCO kerajaan Terengganu/ bekas Pengerusi TDM berhad).
Manakala bagi jawatan Naib Presiden terdapat kejutan apabila saya mendapat tahu yang Dato Dr Hasan Ali (belas Ketua Pembangkang DUN Selangor/ bekas ahli Parlimen Parit Buntar) menarik diri dari mempertahankan jawatannya itu kerana berhasrat memberi laluan kepada muka-muka baru. Dengan penarikan diri Dr Hasan ini jawatan tersebut dijangka ditandingi oleh Dato Husam Musa, Muhammad Sabu, Mahfuz Omar, Ustaz Ahmad Awang dan Dato Dr Mahfudz.
Pertandingan AJK Kerja Pusat juga dijangka menyaksikan ramai muka baru ekoran pencalonan yang dibuat oleh kawasan-kawasan seluruh negara.
Dalam PAS tidak ada sistem kuota, dalam PAS siapa sahaja yang menjadi ahli layak untuk dicalonkan dan bertanding. Jumaat ini para perwakilan PAS akan membuat keputusan tanpa menerima sebarang sogokan atau janji sebagaimana amalan parti kerajaan yang terbesar iaitu Umno.
Kawasan-kawasan yang mencalonkan calon-calon mereka sudah pastilah mahu melihat calon-calon mereka itu naik berdasarkan kemahuan ahli-ahli di kawasan masing-masing, lalu sudah pastilah ada usaha-usaha mempromosi calon. Ini tidak menjadi satu kesalahan dalam parti dengan syarat tidak ada sesiapa pun yang diserang atau dikritik.
Dalam erti kata lain kempen dan promosilah calon anda tetapi jangan ganggu-gugat pihak lain yang turut bertanding. Saya kira GUIDELINE ini sungguh cantik dan sewajarnya dihormati oleh semua pihak. Kalau mahu SMS sekalipun SMS lah siapa sahaja calon anda tetapi tidak perlulah merendah atau menyerang calon-calon lain yang berkenaan.
Oleh itu saya seperti biasa berasa terpanggil untuk menyenaraikan calon-calon yang saya secara peribadi yakin mampu melonjakkan PAS ke arus perdana politik negara lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihnaraya umum ke 12 yang dijangka diadakan bila-bila masa sahaja itu. Pandangan saya mungkin silap dan ditolak, tetapi biarlah para perwakilan yang menentukannya.
PRESIDEN: Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang (MTB)
TIMBALAN: Usaz Nasharudin Mat Isa
NAIB (1): Dato Hj Husam Musa
NAIB (2): Ustaz Hj Ahmad Awang
NAIB (3): Hj Mahfuz Omar
Selamat bermuktamar kepada para sahabat dan rakan-rakan sekalian, dan selamat bertanding kepada yang bertanding. Pilihan para perwakilan adalah pilihan muktamad parti, insyallah.
No comments:
Post a Comment