Sunday, May 13, 2007

Pemilihan pucuk pimpinan PAS:
Jangan sampai menembak curi

Sekali lagi PAS akan berhadapan dengan pemilihan pucuk pimpinan tertingginya. Dan sekali lagi 1 Jun nanti para perwakilan yang terdiri dari pimpinan tertinggi peringkat kawasan-kawasan seluruh negara disamping wakil Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat akan dipertanggungjawabkan untuk memlih pimpinan parti diperingkat tertinggi dari Presiden ke Ahli-ahli Jawatnkuasa Pusat dalam proses demokrasi yang diamalkan oleh PAS sejak penubuhannya 56 tahun lalu.

Dan seringkali apabila berlaku proses ini bukan hanya para perwakilan dan ahli-ahli parti yang akan merasakan EXCITEMENT nya, tetapi juga para pemerhati, parti-parti lawan dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

PAS tidak boleh lari dari hakikat EXCITEMENT ini kerana ia adalah sebuah parti politik yang bertarung dalam proses demokrasi peringkat kebangsaan.

Saya sendiri tidak pernah terkecuali dari turut EXCITED apabila sahaja tiba musim pemilihan ini. Namun EXCITEMENT itu tidaklah sama dengan EXCITEMENT memperolehi kedudukan, wang dan upah sebagaimana dalam pemilihan Umno atau kaum kerabatnya. Dalam PAS tidak ada perangai dan amalan seumpama itu, cuma EXCITEMENT tadi tertonjol dalam PAS kerana masing-masing mahukan yang terbaik untuk parti dan jemaah yang hakikatnya mengepalai perjuangan Islam dalam negara dan rantau sebelah sini.

Sepanjang yang saya ingat tulisan-tulisan saya di musim pemilihan biasanya tertumpu pada calon-calon yang saya rasakan sesuai dan patut ditonjolkan dalam parti. Citarasa saya mungkin tidak sama dan tidak seiringan dengan citarasa orang lain, tetapi akhirnya keputusan muktamad adalah hak para perwakilan. Saya sekadar menyatakan pandangan, yang saya kira tidak pernah dihalang atau disekat oleh mana-mana pihak.

Saya difahamkan yang dilarang adalah merendah-rendah atau mengkritik calon lain, yang setahu saya sepanjang pengalaman menulis ini tidak pernah saya sekali-kali lakukan.

Walaupun saya mungkin baru di dalam PAS tetapi saya tidak pernah membiarkan ruang kosong dalam ilmu dan pemahaman saya terhadap sejarah satu-satunya parti dan gerakan Islam yang masih unggul dan relevan dalam negara ini. Alhmadulillah apa sahaja penulisan dan karya berhubung sejarah dan perjalanan parti yang saya kasihi ini tidak akan lekang dari mencuri minat saya.

PAS telah melihat dan melalui banyak proses pemilihan pucuk pimpinan sebagaimana dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden dalam wawancaranya dalam NST hari ini.

Contohnya saya kira yang paling sengit adalah pada tahun 1956 ketika menerima kemasukkan Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi. Jika kita lihat susur-galur sejarahnya ketika itu, ramai mungkin (terutama yang tidak mengetahuinya) tidak sedar bahawa menonjol dan mengemukakan nama-nama calon yang layak ini adalah amalan biasa sejak sekian lama.

Almarhum Haji Hassan Adli (pernah menjadi Ketua Pemuda PAS dan ahli Parlimen) pernah kagum kepada ketokohan Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy yang pada awal 1956 masih berada di luar PAS (sila lihat Burhanuddin al Helmy: satu Kemelut Politik oleh Prof Ramlah Adam). Beliau dan beberapa pimpinan PAS ketika itu berusaha untuk membawa masuk Almarhum bagi menerajui PAS khasnya bagi memimpin PAS dalam Pilihanraya Umum Pertama 1959.

Menurut Prof Ramlah dalam bukunya (Bab 8: muka 141):

Dikalangan ahli-ahli PAS sendiri, terdapat perebutan untuk menjadi Presiden. Beberapa orang telah dicalonkan antaranya termasuklah Zulkifli Mohamad (Prof), Haji Zabidi Ali, Dato Abu Samah dan Haji Ahmad Hussien. Kesemua mereka mempunyai pengaruh dan telah lama berkecimpung dalam PAS. Ini menimbulkan rasa kurang senang jika orang luar, yang tidak pernah ,menjadi ahli PAS, tiba-tiba menjadi presiden. Haji Othman (yang ketika itu Setiausaha Agung PAS) melihat ini suatu keadaan yang kurang baik bagi kerharmonian PAS.

Tetapi apa kata Haji Hassan Adli (dalam suratnya kepada Setiausaha Agung PAS bertarikh 17 Disember 1956):

Saya rasa semua calon itu patut menarik diri sahaja kerana apalah persamaannya kaliber kita semua manakala ditandingkan dengan Dr Burhanuddin itu? Saya sendiri kalaulah takdirnya ada orang mencalonkan menjadi presiden itu, saya pun akan menarik diri.

Adakah dalam hal ini Almarhum Haji Hassan Adli dikatakan melobi? Memang beliau melobi kerana memang beliau menonjolkan Dr Burhanuddin ketika itu, tetapi lobi dan kempen beliau dapat diterima kerana ia tidaklah sampai keperingkat menjatuhkan calon-calon lain. Haji Hassan tidak pula memburukkan Zulkifli atau Haji Zabidi atau yang lain-lain.

Menurut rekodnya berlaku juga pertandingan pada Muktamar 1956 itu dimana menurut John Funston di dalam Malay Poltics in Malaysia: A Study of Umno and PAS, Burhanuddin mengalahkan Zulkifli dengan memperolehi 84 undi berbanding Zulkifli 12 undi. Namun Zulkifli kemudiannya menang sebagai Timbalan. (Dan gandingan Dr Burhanuddin dan Prof Zulkili akhirnya memberikan PAS kejyaan yang terbesar apabila menang buat pertama kalinya kerajaan Kelantan dan Terengganu serta memiliki blok terbesar parti pembangkang di Parlimen dengan 13 kerusi.)

Kerana itu saya merasakan apabila saya mengulas darihal laporan akhbar The Star baru-baru ini berhubung apa yang dikatakan kemungkinan pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS, saya yakin saya tidak mengkritik mana-mana calon apabila menulis:

Soal seterusnya adalah apakah Ustaz Harun akan menerima pencalonan itu? Sebagai seorang yang penuh berpengalaman (saya kenal Ustaz Harun kerana pernah berkhidmat di bawah beliau satu ketika dahulu) dan menyandang jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pula, saya yakin Ustaz Harun tidak mudah dipengaruhi oleh sentimen atau oleh mana-mana pihak.

Saya tidak merasakan apabila saya menulis:

Saya tidak dapat meramalkan apakah kesudahan percaturan politik peringkat tertinggi parti ini, tetapi sebagai pencinta Islam dan perjuangannya saya menyeru semua pihak agar meletakkan kepentingan jemaah mengatasi kepentingan peribadi. Jangan kerana marah maka kita bertelagah, jangan kerana iri hati maka kita memutuskan sesuatu yang tidak wajar. Islam lebih penting dari kalian semua!

maka saya telah bias dan merendahkan mana-mana pihak.

Yang jelas bagi saya tulisan saya tidaklah seumpama tulisan sahabat saya Penarik Beca atau Bakar Hak apabila beliau menulis:

Saya tidak peduli kalau orang memaki hamun saya kerana menyatakan tanpa bersembunyi bahawa Ustaz Nasharudin tidak layak sama sekali untuk menjadi Timbalan Presiden PAS dulu, kini dan tidak bolehlah saya mendahului Allah serta menyatakan selama-lamanya.

Iaitu secara terang-terangan menzahirkan tidak setuju beliau kepada Timbalan Presiden yang ada dan malah menyatakan pula yang Ustaz Nasharuddin, tanpa menghuraikan sebabnya, tidak layak sama-sekali meyandang jawatan itu!

Beliau juga tidak setuju dengan kenyataan Naib Presiden Dr Hasan Ali kepada Malaysiakini (yang jika dibaca dengan teliti tidak langsung sebagaimana yang Bakar maksudkan itu) dan malah meletakkan Ustaz Nasha dan Dr Hasan dalam satu bakul apabila beliau menulis:

Kalau Dr Hasan ikhlas mahukan perubahan, carilah orang yang layak untuk menjadi Timbalan Presiden PAS. Saya tak tahu dan saya tak nampak seorang pun.

Saya tidak bermaksud mahu menghalang Bakar dari melepaskan pandangannnya (saya tak berkuasa dan tak kuasa pun), itu hak beliau, sebagaimana saya juga tidak suka hak saya menyuarakan pandangan disekat oleh mana-mana pihak kecualilah ia terbukti tidak beretika, palsu dan bertentangan pula dengan syarak.

Saya sekadar meraikan EXCIMENT dan kesungguhan dalam jiwa saya untuk melihat parti membariskan saf kepimpinan yang mampu menghadapi barisan kepimpinan BN yang zalim dan bobrok itu. Berjaya parti maka berjayalah Islam insyallah.

Saya akan terus gunakan gelanggang saya untuk menyampaikan hasrat ini, keputusan akhir adalah hak para perwakilan, tetapi saya berharap pihak lain, peliharalah etika dan adab yang diamalkan dalam jemaah, jangan menembak curi kerana itu bukan kerja dan amalan kita.

Wallahualam.

No comments: