Menangis tak sudah
Saya terbaca minggu lepas ada pengumuman dari pihak yang berkenaan bahawa harga rumah di Malaysia dijangka naik ekoran kenaikan harga besi-keluli yang banyak digunakan dalam industri pembinaan rumah.
Selepas itu kita mendengar bahawa syarikat pengilangan F&N yang turut terlibat dalam pengeluaran susu manis pekat juga menjangkakan harga keluaran produknya akan naik atas sebab kenaikkan harga bahan-bahan mentah di pasaran.
Dalam pada itu pemegang monopoli siaran TV satelit, iaitu ASTRO juga sedang menimbang untuk menaikkan kadar langganannya. Macam-macam ada!
Demikianlah keadaan hidup kita sejak akhir-akhir ini. Dalam kita leka dengan kehebatan dan apa yang dikatakan kemenangan besar BN di Ijok, dihiburkan pula dengan lonjakkan besar indek Bursa Malaysia kebelakangan ini, diam tak diam, kos hidup kita semakin meningkat.
Makin terhimpit dan tertekan hidup rakyat kebanyakkan.
Dan kemungkinan besar kos-kos lain juga akan terus-menerus meningkat. Tetapi usah lah kita merungut, sebelum ini bila harga minyak petrol dan diesel naik, tol naik, tarif air dan letrik naik, cuma segelintir kecil sahaja yang memberikan reaksi penentangan, sebahagian besar yang lain cuma diam, menahan luka di dada namun lidah tidak berkata-kata.
Berlalulah Batu Talam, berlalulah Machap, berlalulah Ijok, tak siapa yang ambil peduli akan kos-kos yang meruncing ini. Yang penting BN mesti menang bukan sekadar menang tetapi menang besar.
Lihatlah kemajuan negara kita hari ini, lihatlah kemakmurannya. Kita akan bangunkan tamadun dan peradaban baru, kos hidup naik, ahhh itu harga yang perlu dibayar demi pembangunan dan kemakmuran yang dikejar. Maka terimalah seadanya. Malaysia Boleh!
No comments:
Post a Comment