Thursday, May 10, 2007

Umno bagaikan si Tanggang?

Esok Jumaat 11 Mei 2007, adalah ulangtahun ke 61 penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Umno. Saya tertarik membaca suatu artikel dalam ruangan forum Utusan Malaysia hari ini yang ditulis oleh Wan Indra Putra Ahmad dari Kota Raja, Selangor.

Beliau saya yakini adalah seorang ahli Umno yang masih yakin dan percaya kepada prinsip asas penubuhan Umno 1946 dahulu, yang hari ini ramai sudah lupakan atau barangkali tidak sedar dan mengetahui.


Kata Wan Indra:

Umno adalah bangsa Melayu, warisan pusaka Melayu, semangat bangsa Melayu dan khazanah Melayu maka marilah kita menjaganya dengan sempurna.

Apa yang saya khuatirkan jika Umno ini lenyap dari pentas membela anak bangsa, percayalah suatu hari nanti bahawa anak-cucu umat Melayu akan merempat di tanah airnya sendiri.

Demikianlah bersemangat dan berkobar-kobarnya tulisan beliau. Sempena ulangtahun Umno ini saya pun berhasrat mengulas asal-usul penubuhan Umno ini dahulu yang sebenarnya bukan hanya melibatkan Dato Onn Jaafar tetapi ramai tokoh-tokoh lain termasuk yang kononnya kiri dan ekstrimis terlibat sama antaranya Ahmad Boestamam, Pak Sako, Burhanuddin al Helmy dan lain-lain (mungkin bila masa mengizinkan).

Berbalik kepada apa yang dilontarkan oleh Wan Indra ini saya sebenarnya ciba padankan apa yang beliau utarakan itu dengan realiti yang terselak di depan mata kita. Cuba Wan Indra dan rakan-rakan beliau yang meluap-luap semangat Melayunya itu menoleh tajuk mua depan akhbar THE STAR hari ini:

Withdraw bank told, Maybank adheres to Cabinet order
Bank diarahkan tarik balik, Maybank patuhi arahan Kabinet


Muka dua UTUSAN MALAYSIA:

GLC patut beri perniagaan kepada syarikat Bumiputera, bukan Bumpiputera

Isunya adalah berikutan langkah yang diambil oleh Maybank (sebuah bank komersil gergasi berstatus GLC). Pada 4 Mei lalu pengurusan bank ini telah menetapkan bahawa mana-mana firma guaman yang ingin menjalankan pernigaan dengan bank berkenaan perlulah mematuhi beberapa syarat antaranya: sekurang-kurangnya seorang dari tiga rakan kongsi firma berkenaan mestilah Bumiputera dan pemilikan kepentingan Bumiputera dalam firma berkenaan mestilah sekurang-kurangya 50 peratus.

Saya percaya rasional langkah ini adalah untuk membantu firma-firma guaman Bumiputera yang kini bersaing sengit dengan yang bukan Bumiputera di pasaran terbuka. Saya dimaklumkan bank-bank komersil adalah merupakan lubuk bagi syarikat-syarikat guaman untuk memperolehi perniagaan memandangkan institusi ini banyak terlibat dalam urusan dokumen perundangan, tuntutan dan prosiding mahkamah.

Rupa-rupanya langkah Maybank ini dipandang serong oleh banyak pihak termasuklah parti-parti komponan BN yang bukan Melayu. Ia dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi dan menyekat peluang firma-firma bukan Bumiputera. Lalu langkah mulia untuk memperjuangkan nasib firma Bumiputera ini akhirnya menjadi satu kesalahan besar, dan Kabinet atas desakan pihak-pihak ini telah mengarahkan agar Maybank menarik semula syaratnya itu, dan inilah yang terjadi hari ini.

Kabinet yang didominasi oleh pemimpin-pemimpin Umno yang kata Wan Indra sepatutnya membela anak-bangsa rupanya tidak lagi melakukan kerja-kerja pembelaan itu. Mungkin Umno hari ini sudah jauh berbeza dari Umno 1946 yang Wan Indra dan ramai lagi bangga-banggakan itu.

Malah Wan Indra sendiri menulis:

Namun adakah masih ada lagi Melayu seperti ini dalam kelompok kepimpinan Umno sekarang, hanya Allah swt yang mengetahui

Dengan perkembangan kes Maybank ini dan beberapa insiden dan contoh lain saya merasakan pemimpin Umno hari ini sudah semakin luntur JIWA BANGSA MELAYU nya. Mereka yakin orang Melayu sudah tidak perlu keistimewaan dan perlindungan lagi, mereka lupa akan asal-usul perjuangan datuk-nenek mereka. Esok Umno mencecah 61 tahun, namun ia sudah bagaikan si Tanggang, durhaka kepada ibu yang melahirkannya.

Selamat Hari Jadi Umno!

No comments: