Friday, May 18, 2007

Tidak ada sekular dalam PAS

Apakah ada kelompok sekular dalam PAS?

Apakah yang dimaksudkan dengan istilah sekular itu?

Rata-rata definasi perkataan SECULAR yang akan kita perolehi jika kita menelaah kamus-kamus bahasa Inggeris bahawa ianya berasal dari perkataan Latin lama saeculum iaitu merujuk kepada dunia masa kini. Kamus-kamus ini biasanya mendefinasikan SECULAR sebagai:

Worldly rather than spiritual ataupun keduniaan lebih dari keagamaan

Menurut Meriam Webster: Sekular bermaksud tidak terlalu berteraskan agama secara khusus dan tidak terikat dengan peraturan agama. Manakala menurut ensaiklopedia maya WIKIPEDIA isitlah sekular bermaksud fahaman kebebasan agama dan kebebasan kerajaan dari melaksanakan peraturan agama ke atas rakyat dan negara itu tadi bebas dari sebarang fahaman mana-mana agama.


Itu maksud sekular, lalu bolehkah kita jumpa dalam PAS, sebuah parti Islam, seorang ahli yang SEKULAR sedangkan fasal 5 Perlembagaannya terang-terang menyebut:

Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Kalau sekular itu bermaksud memisahkan dunia dengan agama (sebagaimana maksud yang diberikan di atas) maka mustahil ada, walau seorang pun ahli PAS yang kononnya berfahaman SEKULAR. Fahaman ini kemungkinan lebih cenderung diperolehi dalam Umno dan BN, bukannya PAS. Lantas bukan hanya mustahil malah jika ada mana-mana pihak yang berhujah bahawa PAS diresapi golongan SEKULAR maka pihak tadi samada buta istilah atau sengaja memiliki agenda jahat untuk memporak-perandakan perpaduan parti Islam itu.

Tetapi memang ada yang berpendidikan sekular dalam PAS. Lazimnya mereka yang melalui pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kebangsaan, dikatakan berpendidikan sekular kerana kurikulum sekolah-sekolah ini lebih menjurus kepada konsep pemisahan ini. Berlainan dengan mereka yang menerima pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah agama.

Demikian juga mereka yang menerima pendidikan di IPTA dan IPTS dalam aliran bukan agama, mereka juga dikatakan melalui pendidikan sekular iaitu yang memberi penekanan lebih kepada WORDLY RATHER THAN SPIRITUAL.

Tetapi wajarkah kita menghukum semua yang menerima pendidikan sebegini akan sekular juga dari segi anutan dan fahaman agamanya? Ada juga lepasan agama bertaraf Masters dan Phd kini duduk dalam Umno, dan aktif pula memegang jawatan!

Bagi saya yang jelas samada seorang itu berpendidikan sekular atau agama atau tiada pendidikan langsung, sekiranya dia memilih menyertai PAS, sekaligus dia telah mencairkan dirinya dalam larutan yang dipanggil jemaah Islam dan berlandasakan Fasl 5 (2) Perlembagaan PAS akan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Tidak berbangkit seorang yang berpendidikan sekular akan memilih untuk menyertai PAS dan memperjuangkan pula kononnya sekularnya itu, kerana ternyata dia samada akan merasakan dirinya sumbang atau akan ditolak oleh jamaah yang melihat dia itu sumbang.

Yang menyertai PAS hari ini adalah mereka yang berpegang teguh kepada AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH, tidak kira apa bentuk pendidikan dan latar belakang mereka sebelum ini, masuk untuk menegakkan dasar Islam yang dinayatakan dalam Fasal 3 Perlembagaannya.

Diperingkat ini seluruh ahli PAS perlu berlapang dada dan berusaha menambat seramai mungkin mereka yang diluar sana dari pelbagai latar belakang dan disiplin pendidikan agar sama-sama bernaung di bawah jamaah in, bersama-sama berfikir dan menyumbang ke arah kemenangan Islam. Yang kita tidak perlukan adalah mereka yang memiliki agenda asing dan menolak aqidah kita.

PAS mempunyai potensi untuk menyelamatkan bangsa, agama dan negara ini dari terus berada di bawah kekusutan dan kekalutan Umno dan BN serta Islam Hadharinya. Marilah sama-sama kita berusaha ke arah itu. Berteraskan kepimpinan ulamak yang jelas Sunni nya, ayuhlah kita sama-sama menjunjung amanah ini.

Pulihkan demokrasi daulatkan Islam!

No comments: