Delima kes Lina Joy
Hari Rabu ini Mahkamah Persekutuan Putrajaya dijangka membuat keputusan berhubung kes rayuan Azlina Jailani atau Lina Joy yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dua tahun lalu yang memutuskan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara berhak menolak permohonan Lina untuk menukar agamnya atas MyKad beliau dari Islam ke Kristian.
Menurut rekod Lina yang dilahir dan dibesarkan dalam keluarga Melayu/Islam (arwah bapanya orang Kancong Darat manakala ibunya orang Kg Delek, Klang) telah dengan kerelaan hatinya memeluk agama Kristian ketika berusia 26 tahun untuk berkahwin dengan kekasihnya seorang lelaki Kristian berketurunan India.
Lina kini berusia 42 tahun bermakna beliau telah murtad lebih 16 tahun!
Saya menjangkakan kemungkina Mahkamah Persekutuan akan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan sekaligus bersetuju bahawa pihak JPN betul dalam menolak permohonan Lina kerana hal dan urusan agama Islam seharusnya dirujuk kepada Jabatan Agama yang berkenaan.
Cuma jika Mahkamah membuat keputusan itu, apakah akan terjadi pada Lina? Lina yang telah murtad itu kini bahagia disamping suaminya. Saya sempat menziarahi ibu beliau bersama Dato Dr Hasan Ali satu ketika dahulu. Menurut ibunya Lina ini baik orangnya, boleh baca surah Yasin, malah ketika aruah datuknya meninggal, Lina dikatakan turut membaca Yasin di hadapan jenazah arwah datuknya itu. Tetapi Lina juga kuat berpegang kepada agama barunya dan sangat taat pada suaminya, bapa mertua beliau seorang paderi Kristian di sini.
Keputusan mahkamah nanti akan sekadar melarang Lina dari menukar agama atas MyKadnya dari Islam ke Kristian, tetapi Lina dari amalan dan realitinya kini seorang Kristian!
Apakah yang boleh dilakukan ke atas beliau dalam keadaan peraturan dan undang-undang Negara dan negeri-negeri sungguh longgar dan lemah dalam hal ini.
Dalam bab JPN, nampaknya kemas peraturannya menyekat umat Islam dari menukar agama, tetapi itu atas MyKad, bagaiaman secara zahirnya? Berapa banyak kes murtad yang telah kita lihat gagal diatasi dan ditangani oleh pihak berkuasa.
Fitnah semakin besar terhadap Islam sejak akhir-akhir ini dan kita kelihatan bagaikan lesu, tidak bermaya melakukan apa-apa.
Saya menerima SMS meminta masyarakat Islam agar keluar dan berada di Mahkamah Persekutyuan hari Rabu ini untuk menunggu keputusan kes ini. Benar keputusan kes ini besar implikasinya terhadap Islam di Malaysia, tetapi realitinya Lina bukan lagi seorang Muslim tetapi kini seorang Krisitian. Beliau berjaya menukar agamnya kerana kita yang berkuasa memberi ruang dan peluang utnuk beliau melakukan demikian.
Beliau cuma mungkin gagal merubah butir atas MyKadnya, tetapi Lina bukan Azlina lagi, dan kita tidak dapat melakukan apa-apa.
Apa akan jadi jika Mahkamah Persekutuan mebenarkan rayuan Lina? Jawabnya pintu pagar murtad telah dibuka seluas-luasnya, dalam erti kata lain kita memberikan lessen besar, mahu murtad di Malaysia, silakan!
No comments:
Post a Comment