Mustapa: Hanya Umno yang memperjuangkan Islam
BERNAMA melaporkan bahawa ahli Majlis Tertinggi Umno Mustapa Mohamed menyarankan agar ahli-ahli PAS dan PKR yang mahu berjuang untuk menegakkan syiar Islam dalam negara ini agar menyertai Umno. Katanya Umno adalah satu-satunya parti terbaik yang memperjuangkan nasib umat Islam dan bangsa Melayu.
Tambah Mustapa lagi:
Semua orang Melayu dan Islam sepatutnya berjuang di bawah Umno kerana matlamat perjuangannya jelas demi agama dan bangsa. Bagi saya sesiapa yang nak berjuang untuk Islam dan Melayu di Malaysia tak ada parti lain kecuali Umno.
Terpesona juga apabila membaca pelawaan Mustapa itu, tetapi soalnya adakah Umno benar-benar berjuang untuk Islam sebagaimana yang didakwanya itu. Pernah Nazri Azri seorang lagi ahli MT Umno dalam satu majlis menyatakan bahawa Umno terpaksa condong kepada Islam semata-mata kerana adanya PAS!
Realitinya kita lihat betapa lemahnya Islam di Malaysia hari ini. Pegangan kita kepada Islam sungguh longgar sekali sehinggakan anak-anak Melayu hari ini sudah terang-terangan murtad dan memohon meninggalkan agama, sedangkan Umno tidak mampu melakukan apa-apa.
Demikian juga aktiviti dan industri yang haram dan bertentangan dengan Islam terus menerima lampu hijau dari Umno. Di negeri sekecil Kelantan, gagah-gagah juga PAS mengharamkan premis judi dan melarang penjualan arak dikalangan umat Islam, di negeri-negeri dikuasai Umno bagaimana? Di Selangor anak-anak Melayu bukan hanya bebas mengunjungi premis-premis ini malah bekerja dan mencari rezeki melaluinya!
Pendidikan Islam juga semakin rendah dalam priority atau keutamaan Umno. Sekolah-sekolah Agama Rakyat dianak-tirikkan sedangkan sekolah-sekolah jenis kebangsaan mendapat bantuan dan sokongan kewangan.
Rasuah, penyalah-gunaan kuasa menjadi barah besar dalam negara angkara kepimpinan Umno sehinggakan kalangan pimpinan Umno tidak terkecuali terpalit dengan najis sosial ini. Islam apa yang diperjuangkan Umno?
Dalam aspek lain kita lihat anak-anak Melayu semakin terperangkap dalam kebejatan sosial. Dadah, hubungan seks luar nikah, Mat Rempit, berpoya-poya, budaya punk dan berbagai lagi mudah diterima dan dianuti oleh anak-anak muda kita, sedangkan ianya semua jelas bertentangan dengan Islam. Di Kelantan sekurang-kurangnya kerajaan negeri menggalakkan pembentukan akhlak dan sakhsiyah muslim yang baik dikalangan rakyatnya dengan program-program bulan sembahyang, kempen menutup aurat dan lain-lain, di negara dan negeri yang dikuasai Umno bagaimana?
Kalau berdasarkan realiti yang ada saya rasa rakyat Malaysia sudah celik dan faham, yang hanyalah PAS dan bukan Umno yang sebenarnya berjuang untuk memartabatkan Islam dalam negara ini. Umno mungkin ramai ahli dan pemimpin Islam, tetapi Islam yang diperjuangkan Umno sekadar Islam kosmetik iaitu Islam yang boleh membawa keuntungan politik baginya. Kesimpulannya kalau benar-benar mahu memperjuangkan Islam, Mustapalah yang septutnya berhijrah meninggalkan Umno dan duduk sebaris dengan Tuan Guru Nik Abd Aziz dalam memperjuangkannya. Bagaimana?
No comments:
Post a Comment