Monday, May 14, 2007

Warga asing pun boleh maju di Kelantan

Jarang Kelantan mendapat publisiti yang baik. Sejak diperintah oleh PAS 17 tahun lalu iaitu bermula Pilihanraya Umum 1990, Kelantan dimata media arus perdana adalah negeri yang harus dimomokkan, Kelantan mundur, Kelantan jumud, diperintah oleh kerajaan negeri yang tidak progresif dan tidak memiliki sekelumit pun kebaikkan.

Itulah persepsi yang mahu ditonjolkan.

Dan sejak 17 tahun ini kerja-kerja menaburkan gambaran buruk ini sedikit-sebanyak berjaya juga kerana media arus perdana berada di bawah telunjuk kerajaan Persekutuan yang didominasi oleh parti pembangkang di Kelantan iaitu Umno.

Walaubagaimanapun benda yang baik dan indah, disorok atau di lontar ke mana pun, ia pasti unggul dan mengilau jua. Walaupun usaha serius dan terancang dibuat untuk menjatuhkan imej kerajaan Kelantan, namun rakyat yang matang dan dewasa tidak lagi mudah menelannya mentah-mentah.

Kelantan walaupun dipukul dan dipalu namun tetap berjaya melahirkan barisan pimpinan yang bersih dan ikhlas. Mungkin bukan bertaraf malaikat tetapi sekurang-kurangnya jauh lebih baik akhlak dan perwatakkannnya kalau mahu dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Para pelajar yang dikeluarkan oleh negeri ini berjaya dan cemerlang jauh lebih baik dari negeri-negeri lain termasuklah samada di bidang agama, sains atau lain-lain.

Demikian juga pengurusan kekayaan negeri, pembelaan kebajikan rakyat, pembentukan akhlak dan rohani rakyat, Kelantan walaupun dikekang tetap unggul dibidang ini.

Hakikatnya walaupun ada usaha untuk menutup pintu kebenaran bagi Kelantan, kadangkala ia tidak mampu menahan arus kuat yang menolaknya keluar. Tutup dan pendamlah semahu mana sekalipun, tetapi yang hak pasti akan terpacul juga akhirnya.

Ambil laporan THE STAR hari ini di muka 22 di bawah tajuk:

Dutch family in love with village life
They operate resort in Kelantan

Keluarga Belanda terpesona dengan kehidupan kampung
Mengusahakan pusat peranginan di Kelantan



Ya bukan Pulau Pinang, Terengganu atau Pahang, tetapi di Kelantan. Keluarga Mulder ini telah membina resort mereka di Kampong Banggol di PCB sejak tahun 2004 dan menurut laporannya mereka sungguh yakin dengan perniagaan emreka itu malah bercadang membina 3 lagi chalet menjelang penghujung tahun ini.

Setakat ini mereka telah menerima lebih 150 pengunjung kebanyakkannya keluarga asing dari Belanda, Amerika, Britain dan Jerman.

Bayangkan suami, isteri dan dua orang anak kecil warga asing tinggal dengan selesa dan menjalankan perusahaan di Kelantan. Tidakkah negeri ini dikuasai golongan Islam yang dikatakan ekstrim, jumud dan macam-macam yang hodoh lagi. Sudah pasti keluarga Barat ini akan didiskriminasi, dipandang serong atau silap-silap disembelih!

Itu kalau anda percaya dan telan bulat-bulat segala tahyul dan tohmahan separuh tiang media arus perdana negara yang ternyata tidak berasa langsung.

Lihatlah keluarga ini tinggal aman di Kelantan dan malah kini sedang sibuk membuat mempromosi agar warga pelancong dunia turun ke resort mereka di Kelantan. Jadi apa lagi yang hodoh-hodoh tentang Kelantan? Kalau warga asing pun selesa dan boleh buat duit di Kelantan, tak ada sebab warga tempatan mahu memusuhi kerajaan Kelantan kerana termakan racun dan santau parti pembangkang di negeri itu.

Syabas Kelantan.

No comments: