Friday, May 04, 2007

Selamat Hari Ibu Bonda ku tersayang
(Datin Hjh Halijah bt Abd Hamid)

Hari Ibu atau Mothers Day disambut oleh rakyat seluruh dunia pada hari Ahad kedua setiap tahun. Oleh itu Hari Ibu tahun ini jatuh pada 13 Mei 2007.

Bagi saya hari memperingati ibu ini sangat besar maknanya malah saya sering sayu dan merasakan diri saya terlalu kecil apabila mengenangkannya. Seorang insan, wanita yang sanggup mengandungkan kita sembilan bulan atas kerelaannya dengan penuh penat jerih dan kepayahan semata-mata mahu melihat kita keluar sihat dari rahimnya.

Dan dalam kepedihan dan kesakitan itu apabila terpacul sahaja kita keluar, si insan bernama ibu tadi boleh melupakan segala penderitaan fizikalnya dan menyambut kita dengan senyuman penuh kegembiraan.

Mana ada manusia di dunia selain ibu yang memiliki perasaan sedemikian?


Malanglah anak yang durhaka. Malanglah anak yang mencampakkan ibu kandungnya ke rumah orang tua. Malanglah anak yang berjaya sedangkan ibunya merempat entah dimana. Malanglah anak yang melihat ibunya sebagai satu bebanan dan jijik melihatnya diwaktu tuanya.

Si ibu terus menatang kita bagaikan emas, nyamuk atau semut yang mengigit kita sudah mengusarkan hati ibu, jerit tangis kita menggegarkan ibu dari tidur atau rihatnya. Perut kecil kita dipastikannya sentiasa berisi, najis si anak ibu yang sucikan tanpa mengenal waktu.

Dan bila semakin membesar ibu terus berperanan, baju anaknya, sekolah anaknya, sakit pening anaknya, kegemaran anaknya, Subbhanallah manakan tidak dikurniakan syurga di telapak kaki suci mu.

Malah diwaktu tua ini saya kekadang tergamam memikirkan, ibu boleh sahaja membaca wajah anaknya, sakit anak dapat dibaca, susah anak dapat dibaca, masalah anak dapat dibaca, hanya dengan merenung wajah manusia yang ia lahirkan, yang ia kandungkan sembilan bulan, si ibu dikurniakan Allah kelebihan dapat mengesan sesautu hanya dengan menatap wajah anaknya, hebat!

Tiada detik tiada waktu berlalu tanpa si ibu memikirkan akan nasib dan kebajikan anaknya, samada semasa mengandung atau semasa membesar dan demikianlah diwaktu tua. Sedangkan si anak boleh menghabiskan masa berminggu-minggu tanpa langsung ada ruang untuk ibu dalam kotak ingatannya.

Kerana itu saya menganggap siapa sahaja yang memandang rendah dan serong terhadap golongan Hawa terutama yang bakal dan telah bergelar ibu, maka dia telah durhaka kerana sekaligus mencerca dan merendahkan golongan yang telah membawanya dengan izin Allah ke dunia ini.

Hari Ibu ini perlu sangat kita jadikan hari bermuhasabah diri. Renungkan kembali komitmen kita terhadap insan bertaraf ahli syurga yang bergelar ibu ini. Jika telah pergi meninggalkan kita maka janganlah putus-putus berdoa agar Allah menempatkannya dalam seistimewa-istimewa tempat. Manakala yang masih hidup, taburkanlah bakti, murahkanlah senyuman, hiburkanlah hatinya. Sesungguhnya tidak ada wang ringgit dan kekayaan yang boleh membeli jasa dan khidmat ibu kepada kita.

Selamat Hari Ibu, maafkan saya.

No comments: