Sunday, May 27, 2007

Perlukah Timbalan Presiden PAS yang umpama Ibnu al Khattab?

Seorang rakan blogger dan sahabat saya one-g (http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/) menulis di dalam blognya di bawah tajuk:

Kalau Ibnu al Khattab menjadi Timbalan Presiden PAS

Untuk menghuraikan hujahnya beliau menulis:

Melihat keadaan PAS sekarang, PAS perlu kepada seorang tokoh yang mempunyai ketegasan dan keberanian menyatakan pandangan untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden.

Ini adalah kerana, PAS kini sering di perkotak-katikkan oleh sebilangan mereka yang BERALIRAN KIRI disamping sering DIKEMUDIANKAN pandangannya oleh GOLONGAN PAKATAN.Maka dengan demikian, pada pandanganku, dipermilihan ini, PAS memerlukan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai cirri-ciri seperti Omar bin Al-Khattab atau seiras-iras Omar agar PAS ini bukan sekadar di pandang kuat, tetapi sememangnya mempunyai kekuatan.





Demikianlah bukti betapa EXCITED nya ahli dan para penyokong PAS menjelang pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti itu dalam Muktamar Tahunan PAS ke 53 bermula Jumaat hadapan di Kota Bharu, Kelantan.

Masing-masing memiliki pandangan masing-masing terhadap bagaimana seharusnya bentuk barisan kepimpinan PAS ini terutama dengan mengambil kira bahawa Pilihanraya Umum ke 12 dijangka dipanggil pada bila-bila masa sahaja.

Sahabat saya mahukan seorang Timbalan Presiden umpama Omar al Khattab dan beliau memberikan kualiti tegas dan keras dalam perwatakan dan kepimpinan Omar, yang seharusnya dimiliki oleh seorang yang berstatus Timbalan Presiden. Menurut beliau ketegasan dan kekerasan Omar telah berjaya melonjakkan Islam dizamannya.

Sahabat saya bebas berpandangan demikian kerana itu haknya.

Bagi saya apa yang penting Timbalan Presiden PAS seharusnya menjadi regu yang paling baik untuk Presiden. Beliau seharusnya membantu, menyokong dan memperteguhkan kepimpinan Presiden. Ringkasnya beliau dan Presiden adalah satu TEAM yang bertanggungjawab memimpin dan mengarahkan 800,000 ahli PAS ke arah merealisasikan kejayaan perjuangan parti tersebut.

Dan dalam realiti suasana yang ada, kedua-dua mereka berhadapan dengan lebih 20 juta masyarakat Malaysia yang mahu tahu dan mendengar apakah yang mahu dibawa dan diperjuangakn oleh PAS. Kejayaan mereka meyakinkan masyarakat ini akan membawa kesan positif kepada PAS. Dan PAS sudah pasti memerlukan sokongan rakyat jelata tadi bagi maksud mencapai matlamat perjuangannya.

Kerana itu gandingan kedua pemimpin ini perlu mampu turun dan berinteraksi dengan masyarakat. Kita menggunakan keadah menerang dan menjelaskan secara berhadapan dengan masyarakat, kita bukan dalam suasana peperangan, tetapi sebaliknya suasana demokratik, yang aman, yang memerlukan pemimpin yang kaya dengan hujah dan memiliki personalti yang menawan.

Lihat sahaja Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz, betapa beliau setelah 17 tahun duduk sebagai MB Kelantan, kini berjaya menjadi ikon masyarakat, disenangi dan dihormati, bukan kerana ketegasan dan kekerasan wataknya, tetapi kerana kelembutan dan akhlaknya yang mulia.

Bulan lepas saya sempat mengiringi Tuan Guru di sebuah restoran makanan laut di Kelana Jaya kerana meresmikan sebuah majlis di sana. Saya melihat betapa masyarakat berbilang-kaum meluru dan menegur-sapa beliau ketika melihatnya. Mereka tidak lari atau menjauhkan diri. Saya melihat masyarakat India dan Cina yang kebetulan berada di situ untuk majlis yang lain begitu senang melihat dan menegurnya disamping beberapa anak gadis Melayu yang mahu bergambar dengan beliau.

Adakah Tuan Guru Mursyidul Am tidak seperti Omar?

Bagi saya Rasulullah dikelilingi oleh para sahabat yang memiliki kualiti-kualiti yang berbagai, semuanya penting untuk mengukuhkan Islam dan semuanya sesuai menurut suasana dan keadaan. Ada kalanya kita perlukan yang seumpama Omar tetapi ada kala juga kita memerlukan yang seumpama Abu Bakar, Osman dan Ali.

Yang pentingnya bagi saya Presiden dan Timbalan perlu saling bantu-membantu dan sokong-menyokong antara satu sama lain, kerana keakraban mereka akan mencerminkan kesepaduan jemaah. Yang penting PAS nanti akan berjaya diterima masyarakat. Tiada guna kita memiliki pemimpin yang tegas dan keras, tetapi PAS dijauhi masyarakat.

Terserahlah kepada para perwakilan PAS Jumaat ini.

No comments: