Terus berkarya walaupun memikul risiko yang besar
Saya tidak pernah terbayang bahawa pada satu hari nanti karya dan tulisan saya akan dibaca oleh sekian ramai manusia. Samada yang meminatinya, yang membenci, yang mual termasuklah yang marah-marah.
Sebelum ini saya mengira walaupun minat dan keinginan menulis itu ada mengalir ditubuh ini barangkali ianya tidaklah kemana kerana tidak mungkin akan mendapat pencapaian yang meluas. Sekarang pun sebenarnya tidaklah meluas mana pencapaiannya pun, Blog ini dikunjungi antara tiga ke tiga ribu setengah kali sehari secara purata tidak termasuk tulisan saya yang terbit di laman-laman web yang lain atau diguna pakai oleh rakan-rakan lain atau yang masuk ke akhbar-akhbar media alternatif.
Ia munkin kecil tetapi bagi saya yang kecil ianya cukup mempersonakan, tambahan kadang-kala menerima reaksi yang pedas dan panas-panas dari kawan dan lawan (yang sebenarnya kadangkala menguris juga hati kecil ini, tetapi menyedari makin marah orang maka makin ramailah yang akan membaca, ia menjadi semacam dorongan pula).
Yang pasti saya akan sentiasa menulis berdasarkan fakta, berdasarkan pengalaman, berdasarkan cinta dan kasih saya kepada perjuangan Islam yang mahu menegakkan kebenaran dan keadilan itu. Yang pasti saya tidak akan menulis untuk memungut dosa, menulis untuk mengumpul musuh, menulis untuk merugi dan memalukan Islam.
Saya mungkin kadangkala kritis tetapi saya yakin ianya untuk kebaikan perjuangan ini. Saya tidak menafikan saya juga mungkin tidak sunyi dari melakukan kesalahan dan kesilapan, tetapi sebagai penulis, jika ianya berlaku, saya berpeluang memperbetul dan memohonmaaf kepada mana yang perlu.
Bacaan politik saya mungkin selaras dengan selera sebahagian yang membaca mungkin tidak pada sebahagian yang lain. Tetapi saya bukan hakim atau pendakwa, saya penulis yang seperti mana orang lain, berhak untuk memiliki bacaan politiknya sendiri selagi mana ianya tidak bertentangan syarak, insyallah siapa pun tidak berhak mencuck hidung saya ini apalagi mengugut atau menakut-nakutkan dalam bab politik.
Tidak ada seorang pun boleh mendakwa dirinya guru politik terhebat, termasuklah para profesor yang mengajar bab politik di menara gading. Samada anda raja atau bangsawan atau ulamak atau profesyional atau buruh dan penganggur sekalipun, semua kita adalah murid belaka dalam hal ini kerana politik adalah benda yang hidup.
Ia tidak mati dan malah ia terus hidup dan pasti hidup selagi ada manusia di dunia ini walaupun kita mungkin telah dan akan mati.
Politik kini digunakan untuk menegakkan Islam, Islam yang telah berjaya ditegak dan dilaksanakan oleh Rasullah saw dan para sahabatnya berpandukan al Quran dan as Sunnah itu mahu dikembalikan. Politik menjadi alat untuk merealisasikan cita-cita mulia ini. Bagimana ia mampu dijayakan terpulanglah kepada para pendokongnya tadi. Berbincang, bertukar pandangan, berbeza pendapat, semuanya politik dan dalam hal ini matlamat akhir adalah untuk menegakkan Islam.
Oleh itu dalam hal ini juga sebenarnya semua kita adalah murid belaka. Islam mesti berjaya, penggerak dan penegakknya tidak penting, yang penting adalah Islam itu mesti menjadi peneyelamat ummah.
Saya yang kecil ini akan terus menyumbang walaupun dalam bentuk yang kecil bagi mengejar cita-cita ini, samada ada yang bersetuju atau tidak. Sesungguhnya saya juga tidak penting, yang penting adalah Islam itu kembali ke kedudukannya sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya.
Saya telah menulis secara serius sejak sebelum zaman Reformasi lagi (di Harakah English Section ketika itu), diikuti dengan sumbangan kepada laman-laman web semasa zaman Reformasi dan kini di Blog ini. Insyallah saya akan terus menulis dengan berani dan benar walaupun risiko yang menanti besar dan mencabar.
Mudaha-mudahan lebih ramai lagi yang akan membaca dan memberikan pandangan dan teguran terhadap karya dan tulisan saya. Terima kasih kepada mereka yang memautkan saya di blog atau laman-laman mereka (termasuklah yang telah mengugurkan saya kerana marah-marah). Tidak lupa terima kasih juga kepada adik-adik di UK, Amerika Syarikat dan Timur Tengah yang terus menerus memberikan sokongan.
Marilah bersama-sama kita menyumbang ke arah Malaysia yang adil dan bersih yang mampu menjunjung Islam sebagai agama resmi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Ad Deen, insyallah.
No comments:
Post a Comment