Tuesday, May 15, 2007

Jangan letakkan harapan pada Umno sahaja

Saya sungguh terharu apabila artikel saya:

UMNO BAGAIKAN SI TANGGANG

mendapat respon dari SDR WAN INDRA PUTRA AHMAD dari Kota Raja, Selangor. Wan Indra yang sering menulis di ruangan Forum Utusan Malaysia saya yakin seorang yang kuat berpegang pada perjuangan dan ideologi parti pujaannya iaitu Umno.

Saya kagum dengan pembelaan saudara terhadap Umno, dan memang saudara berhak berbuat demikian.

Saya menulis artikel berkenaan apabila melihat parti saudara itu sudah sebenarnya tidak lagi berjuang untuk mempertahankan kepentingan Bangsa Melayu, iaitu prinsip perjuangan asal penubuhan Umno itu sendiri 61 tahun lalu. Saya kemukakan Isu Maybank sebagai satu contoh kecil yang kebetulan tercetus diambang parti idola saudara itu meraikan ulangtahun penubuhannya yang ke 61.

Saudara masih menaruh harapan pada Umno walaupun saudara mengakui bahawa terdapat banyak perbezaan antara pemimpin Umno kini dan dahulu. Dan bahawa saudara juga sukar memahami apa yang diperjuangkan oleh segelintir pemimpin parti itu pada hari ini.

Saya tidak menafikan bahawa bukan saudara seorang malah ramai rakyat Malaysia yang masih menaruh harapan pada Umno termasuklah dikalangan saudara-mara sedarah dan seketurunan dengan saya.

Tetapi yang penting disaat ini kita tidak seharusnya cukup dengan menaruh harapan semata-mata. Pepatah Melayu berkata: Apa diharapkan pada pagar jika agar memakan padi. Orang Melayu perlu realisitik, menerima hakikat dan bertindak dari situ. Kalau dahulu ditahun 40an kita mungkin tidak memiliki pilihan kerana itulah satu-satunya wadah yang ada pada kita, hari ini ianya sudah berubah.

Sebut sahaja tentang politik Melayu, pemimpin Melayu bukan hanya ada dalam Umno, tetapi ada juga dalam PAS dan lain-lain. Lalu kini orang Melayu ada pilihan. Pilihlah yang paling baik, paling jujur dan paling ikhlas dalam memperjuangkan nasib dan masadepan kita. Pejuang Melayu sejati tidak semestinya lahir dari sarung keris Umno sebagaimana yang saudara ungkapkan itu. Pejuang Melayu sejati akan lahir dari kalangan mereka yang teguh fahaman agamanya, mulia tingkah lakunya, baik budi pekertinya. Kalau Umno sudah tidak ada lagi pemimpin seumpama ini, Saudara Wan Indra, tidak berdosa jika kita berpemimpinkan yang lain yang menepati ciri-ciri yang disebutkan itu.

Umno mungkin telah pernah berjasa ditahun 40an dahulu tetapi hari ini ia seakan minta diganti kerana sudah tidak mampu meneruskan prinsip perjuangan asalnya itu. Marilah kita bersama atas bahtera yang lebih meyakinkan, insyallah.



(berikut adalah komen WAN INDRA):

Saudara Roslan,

Terima kasih kerana sudi menyentuh artikel saya, terima kasih juga kepada mereka2 yang komen serta memberi pandangan. Ada dua perkara, pertama tentang UMNO itu sendiri iaitu UMNO di lahirkan untuk mengeluarkan penjajahan Malayan Union dari bangsa Inggeris.

Tentang kepimpinan pula memang terlalu banyak perbezaan antara pepimpin dahulu dan sekarang. Sukar di mengertikan apa yang di perjuangkan oleh segelintir pemimpin UMNO sekarang dalam membela peradaban bangsa melayu. Tetapi janganlah kita marahkan nyamuk kelambu pula yang di bakar. Sedangkan kelambu ini sudah banyak jasanya.

Baik dan buruk UMNO ini terletak kepada pemimpinnya, bukan kepada parti keramat umat melayu ini. Sebagai contoh pengorbanan Alahyarham Dato Harun Idris, mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Menteri Besar Selangor, jika bukan atas gerakan beliau serta pemuda-pemuda gagah perkasa ketika itu (pemuda Talasco - Tahan Lasak Company) yang sudah tidak bersabar lagi dengan tekanan pihak-pihak tertentu, maka peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tentu tidak berlaku. Bukankah ini adalah salah satu dari perjuangan pendekar melayu dalam UMNO.

Banyak lagi jika hendak di perkatakan tentang pejuang-pejuang UMNO terdahulu.Cuma yang menjadi sedikit kehibaan bagi diri saya terhadap segelintir bangsa melayu ini ialah terlalu mudah sangat menelanjangi bangsanya sendiri apatah lagi membabitkan parti politik khususnya UMNO. Ada kalanya saya bertanya dalam diri saya sendiri bila pula UMNO menjadi penderhaka kepada bangsa melayu, bila ?

UMNO tidak pernah menderhaka terhadap bangsanya, tetapi segelintir ahli UMNO atau bangsa Melayu yang pernah menderhaka kepada UMNO, itu saya akui. Penubuhan parti Pas bukankah kerana ahlinya kecewa kerana pemimpin mereka kalah dalam perebutan jawatan Yang Di Pertua UMNO, apa kurangnya penubuhan Parti Melayu Semangat 46, ataupun Parti KeADILan Rakyat, bukankah apabila pemimpin mereka bercakaran akhirnya wujud parti serpihan ini. Waima parti Negara yang di asaskan oleh Alahyarham Dato Onn dahulu pun di sebabkan beliau kecewa dengan pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan cadangan Dato Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan melayu. Adakah kemelut ini membolehkan kita meletakkan UMNO yang menderhaka ?

Bagi saya secara peribadi, mana-mana pemimpin UMNO yang memunggah kekayaan untuk kepentingan diri, tidak jujur kepada perjuangan UMNO, rasuah terhadap diri sendiri atau kedudukan pangkat ataupun jawatan dalam UMNO, mereka inilah yang sebenarnya yang menderhaka kepada UMNO.

Kalau sdr rasa atau mereka yang komen tentang artikel saya meletakkan UMNO adalah punca terhadap penderhakaan terhadap bangsa melayu, kalian adalah silap.

Nukilan terakhir saya:

PERCAYALAH WAHAI BANGSA MELAYU SEKALIAN, AKAN WUJUD SUATU HARI NANTI PEJUANG BANGSA MELAYU SEJATI YANG LAHIR DARI SARUNG KERIS UMNO, DI BALUT TUBUHNYA OLEH SANG SAKA BANGSA, DI AZANKAN OLEH ROH PEJUANG UMNO TERDAHULU, BERTEMPIK MENGGEGAR HALILINTAR, MERAUNG IBARAT PENGHULU RIMBA, MENGHUNUS KERIS

Wan Indra Putra Bin Ahmad 05.14.07 - 2:07 am

No comments: