Friday, May 11, 2007

Isu Maybank: Rumah siap pahat berbunyi

Akhbar THE STAR milik MCA terus memainkan isu arahan Kabinet terhadap langkah Maybank memberikan keistimewaan kepada firma guaman milik Bumiputera. Saya kira keputusan Kabinet itu dianggap mereka sebagai satu kejayaan besar khasnya dalam memastikan terhapusnya sebarang keistimewaan kepada Bumiputera diambang 50 tahun kita mengecapi kemerdekaan ini.

Dalam muka 3 akhbar yang sama hari ini dipaparkan tajuk:

Maybank issue a lesson to all says Hisham

Isu Maybank satu pengajaran kepada semua kata Hisham

Menurut laporannya Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran berkata bahawa semakin negara menuju ke ambang 50 tahun merdeka sepatutnya perkara seumpama ini tidak berbangkit kerana dalam negara berbilang kaum umpama Malaysia, perkara sekecil ini boleh menjadi sensitif.

Dalam laporan itu juga dimuatkan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Ng Yen Yen, Pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang masing-masing menyokong langkah kabinet itu.

Sesungguhnya perkembangan ini mencetuskan banyak tanda-tanya, adakah kerajaan sudah mengambil keputusan untuk meniadakan terus bantuan dan keistimewaan Bumiputera?

Ini mungkin boleh dilihat benar kerana dalam hal Maybank ini sehinggakan Ketua Pemuda Umno sendiri, bangun mempertahankan keputusan Kabinet yang bagi saya melenyapkan sebarang keistimewaan Bumiputera sedangkan Ketua-ketua Pemuda Umno dizaman awal-awal dahulu merupakan tonggak pembela bangsa dan agama.

Cuma yang saya perhatika setelah keputusan Kabinet ini barulah terkial-kila akhbar UTUSAN MALAYSIA mahu memperjuangkan perkara ini. Lalu diletakkanlah di muka hadapannya:


Dalam laporan itu seorang ahli ekonomi Haim Hilman Abdullah berkata:
Maybank sebenarnya telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat terhadap kaum Bumiputera di negara ini dengan memperkenalkan syarat-syarat itu.

Mengapa kita tidak sama-sama mempertahankan langkah ini?

Soalan Haim ini saya percaya ditujukan khas kepada pejuang-pejuang bangsa, para pimpinan dan ketua-ketua Umno termasuklah Hishamuddin sendiri!

Manakala pensyarah Fakulti Ekonomi UUM Prof Madya Asan Ali Gulam pula berkata langkah Maybank itu sebenarnya ke arah membantu usaha kerajaan meningkatkan penglibatan Bumiputera sebanyak 30% dalam ekonomi negara.

Kata beliau lagi:
Kabinet sepatutnya menggalakkan bank lain mengikuti langkah Maybank dan tidak melihat syarat ini sebagai diskriminasi kepada kaum lain.

Kalau Hishamuddin selaku Ketua Pemuda menyokong langkah Kabinet, Ketua Pemuda Umno Johor Razali Ibrahim pula memilih untuk menentangnya. Kata beliau:

Selepas berlaku penggabungan bank-bank di negara ini bantuan kepada Bumiputera termasuk kepada firma guaman semakin berkurangan.

Beliau dilaporkan oleh UTUSAN menyokong langkah Maybank kerana merasakan penglibatan Bumiputera dalam bank itu amat diperlukan.

Dan Presiden Persatuan Peguam Musli Malaysia pula Zaitoon Othman berkata:

Selama ini firma guaman Bumiputera khususnya yang bersaiz kecil sukar untuk mendapatkan pelanggan yang terdiri dari badan-badan korporat besar.

Tolong jangan perlekeh usaha Maybank ini.

Demikianlah suara dan pandangan pimpinan Melayu diperingkat pertengahan. Mengapa Kabinet tidak mengambil kira pandangan-pandangan ini, dan terus sahaja akur dengan tekanan MCA, DAP dan akhbar-akhbar milik mereka?

Hari ini menurut perkiraan orang-orang Umno parti mereka telah berusia 61 tahun, adakah ini menandakan di usia setua itu Umno sudah letih dan tidak lagi berminat membela, memperjuang dan mempertahankan nasib, kebajikan dan masadepan orang Melayu dan golongan Bumiputera. Adakah hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera khusunya dalam bidang ekonomi kini sudah tidak penting lagi?

Bagi saya 50 tahun Merdeka sebenarnya membuktikan yang Pertubahan Cina Se Malaysia, MCA menjadi semakin efektif membela kepentingan kaum minoriti Cina. Mereka semakin konsisten dan bertenaga manakala Umno yang ditubuhkan seusia mereka semakin tua, kabur penglihatan dan berpuas hati dengan apa yang ada.

Mungkin sudah tiba masanya untuk orang Melayu Bumiputera bertukar kenderaan politik?

No comments: