Sunday, September 11, 2005

Tandatanya di sebalik Misi Jelajah Niaga Malaysia

Kedua-dua berita di RTM dan Buletin Utama TV3 memaklumkan darihal Misi Jelajah Niaga Malaysia yang diketuai oleh PM ke London dan New York. Tujuan misi tersebut menurut BERNAMA adalah:

Untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik kepada para pelabur.

Dan menurut BERNAMA lagi ini merupakan jelajah pertama seumpama ini yang diketuai Pak Lah sejak menjadi Perdana Menteri pada Oktober 2003.

Baguslah Pak Lah membuat kunjungan seumpama itu dalam keadaan negara memerlukan sangat pelaburan asing khasnya ketika harga minyak mentah dunia sedang mencacak naik. Saya mengharapkan misi ini akan benar-benar berjaya membawa pulang hasil, walaupun tindakan Tun Dr M mengecam Barat khasnya Britain dan Amerika Syarikat dalam majlis SUHAKAM beberapa hari lalu mungkin memberi kesan kepada misi ini.

Dalam pada itu apa yang lebih menarik minat saya adalah apabila kedua-dua berita di RTM dan TV3 menyebut darihal penglibatan ECM Libra Berhad dalam misi Pak Lah ini.



Siapakah ECM Libra ini?

ECM Libra adalah sebuah syarikat pelaburan dan kewangan swasta yang terlibat dalam memberi khidmat perundingan dan nasihat kepada syarikat-syarikat koperat dan individu yang memilki kewangan yang teguh.

Siapakah yang terlibat dalam ECM Libra ini?

Salah seorang Pengarahnya yang terlibat dalam bidang investment banking adalah menantu Pak Lah sendiri, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda Umno. Khairy sebelum ini adalah Timbalan Setiausaha Sulit Kanan kepada PM dan Pengarah Bahagian Komunikasi dan Polisi di Pejabat PM.


Pak Lah dan menantu kesayangan

Mengapa kerajaan Malaysia perlu menggunakan khidmat ECM Libra dalam misi ini? Mengapa badan-badan atau syarikat milik kerajaan tidak digunakan memandangkan ini adalah misi rasmi kerajaan? Apakah pulangan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada ECM Libra?

Bagi saya penglibatan ECM Libra yang salah seorang Pengarahnya adalah menantu Perdana Menteri sendiri, akan mencetuskan pelbagai konflik ketidaktelusan dan menimbulkan banyak tanda tanya, sedangkan Pak Lah selama ini cuba memprojekkan diri sebagai PM yang menitik-beratkan ketelusan. Apa peranan Khairy disini? Sebagai broker, sebagai orang tengah?

Saya rasa rakyat Malaysia berhak bertanya dan berhak mendapatkan penjelasan dalam hal ini.

No comments: