Biar kita tekan butang panik mulai sekarang
Dengan kenaikkan harga petrol sebanyak 10 sen seliter pada 29 Julai lalu rakyat sudah mula mengeluh dan gelisah. Ini merupakan kenaikkan kedua bagi tahun ini setelah naik sebanyak 10 sen juga pada 4 Mei lalu (kenaikkan ketiga bagi diesel iaitu Mac naik 5 sen, Mei 20 sen dan Julai 0 sen).
Rakyat mengeluh kerana kos belanja hidup mereka turut naik. Jika mereka berkenderaan samada motosikal ataupun kereta bermakna mereka terpaksa berbelanja lebih kerana kenaikkan ini.
Dan sudah pastilah perkara-perkara lain yang berkaitan akan turut terkena kesan kenaikan ini, lalu akan naik juga. Kos pengangkutan akan naik maka harga barangan, bahan makanan, bahan mentah, bahan masak akan naik, tambang bas, bas sekolah semuanya akan terjejas. Dan ini akan terus menjerut belanja hidup setiap warga Malaysia samada disedari ataupun tidak. Ini belum lagi mengambil kira kos bekalan utiliti terutama letrik yang juga dikhabarkan akan naik.
Beban ini kini dirasai, dan ianya bukan perkara kecil khasnya bagi rakyat yang berpendatan sederhana dan rendah.
Tiba-tiba hari ini dalam akhbar THE STAR Menteri di JPM, Mustapha Mohamed mengatakan:
No need to press panic button for time being
Tak perlu lagi menekan butang kecemasan
Katanya suasana kenaikan harga minyak mentah ini masih berada dalam kawalan dan kerajaan tidak bimbang. Lainlah kalau harga ini terus naik untuk satu jangkamasa panjang.
Saya pernah menulis dalam BLOG ini bahawa bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah, menjangkakan harga minyak mentah boleh mencecah USD100 se tong menjelang akhir tahun ini. Ini suatu lonjakkan yang besar yang sudah pasti akan memberi implikasi terhadap keadaan ekonomi dalam negara khususnya.
Baru naik USD67 se tong kita telah naikkan harga petrol tempatan sebanyak dua kali dalam tempoh 3 bulan, bayangkan kalau ia mencecah USD100 dan Menteri berkenaan dengan tenang boleh berkata tak perlu bimbang!
Isunya apakah persediaan kita? Saya difahamkan kabinet yang bersidang hari ini dijangka akan mengemukakan beberapa pelan bagi menghadapi situasi ini. Kerajaan perlu bertindak serius dan jangan mengalihkan beban semata-mata kepada rakyat yang sudah pun sarat menanggungnya. Jangan lagi berbelanja mewah. Contohnya, hentikan sama-sekali kerja-kerja lanskap dan pengindahan di mana-mana sahaja buat masa ini.
Bela dan jaga nasib dan kebajikan rakyat sendiri terlebih dahulu. Lihat keadaan hidup mereka, salami kesusahan mereka. Dan yang paling penting, kerajaan jangan berselindung hakikat ataupun kenyataan sebenar dari pengetahuan rakyat.
Ini tidak, keadaan sedang mula runcing, tapi Pak Menteri boleh dengan mudah mengatakan tak perlu panik, semuanya terkawal sedangkan keperitan rakyat semakin menekan bisa dan menekan. Jangan mencabar kewarasan kami.
No comments:
Post a Comment