Tuesday, September 06, 2005

Khairy menggemis publisiti murahan

Akhbar UTUSAN MALAYSIA semalam sebagaimana biasa bertindak sebagai dapur membakar api yang dicucuh oleh Umno. Kali ini giliran Khairy Jamaluddin Naib Ketua Pemuda Umno untuk mencucuh.

Tajuk utama UTUSAN semalam:

DAP niat jahat Dakwa Tunku Abdul Rahman bukan pejuang sebenar kemerdekaan :Pemuda


Ronnie dan Khairy

Kononnya atas sikap penuh prihatin menantu Pak Lah itu mendedahkan bahawa Ronnie Liu, Setiausaha Biro Antarabangsa DAP telah mendakwa pertama: bahawa Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman bukannya pejuang sebenar kemerdekaan. Dan keduanya: pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan, Chin Peng, turut menyumbangkan kepada kemerdekaan negara.

Lalu dengan berang dan marah di depan kaca TV Khairy mencabar pemimpin DAP yang juga Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang untuk berbahas berkenaan perkara ini di Parlimen. Kata Khairy kenyataan Ronnie itu mengelirukan rakyat dan menafikan catatan sejarah sambil mengiktiraf perjuangan PKM.

Dan dalam akhbar UTUSAN hari ini pula (yang masih menjulang-julangkan api di dapur kayunya itu) Ketua Pemuda Hishamuddin Tun Hussien menuntut agar DAP memohon maaf, dan gesaannya turut disahut oleh kalangan rakan-rakannya dalam komponan BN. Malah Hishamuddin turut mencabar:

Pemuda UMNO juga mencabar parti-parti pembangkang yang bersekongkol dengan DAP untuk menjelaskan pendirian masing-masing sama ada bersetuju dengan DAP yang mendakwa komunis juga merupakan pejuang kemerdekaan.

Soalnya di sini apakah sebenarnya yang telah ditulis oleh Ronnie itu ? Benarkah dakwaan Khairy? Siapakah yang berbohong dan mengelirukan rakyat?

Saya telah membaca sepenuhnya artikel Ronnie yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu. Tajuk artikel Ronnie adalah:

The real fighters for MERDEKA ataupun Pejuang KEMEREDEKAAN yang sebenar

Artikel Ronnie bermaksud khusus menyuluh kembali sejarah kemerdekaan tanahair dan pejuangan menujunya. Benar sebagaimana Ronnie menulis:

The history textbooks they studied in schools do not give them the real picture.
Buku- buku sejarah anak-anak kita di sekolah tidak menggambarkan keadaan sebenar darihal perjuangan menuntut kemerdekaan.


Ronnie di dalam artikelnya tidak sekali-kali menafi kedudukan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Cuma yang dibangkitkan beliau adalah peranan banyak pihak lain yang sebenarnya telah memungkinkan kemerdekaan itu dicapai.

Kata Ronnie:

Umno leaders were treated as friends of the British. Together with the leaders of MCA and MIC, they cooperated with the British master to negotiate for the Independence of Malaya.

Memang penjajah British senang dan selesa dengan tokoh-tokoh Umno, MCA dan MIC, kecuali Khairy boleh mengemukakan fakta menafikannya. Yang British bimbang, yang British gusar menurut sejarah adalah golongan di luar Umno yang ketika itu turut aktif, malah antara yang terawal melaungkan laungan MERDEKA! Mereka ini dari golongan kelas bawahan dan mendapat sokongan rakyat jelata.

Mereka ini British cap sebagai ektrimis, golongan kiri dan apa sahaja gelaran yang boleh mematahkan simpati dan sokongan orang ramai terhadap mereka. Mereka adalah Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang melahirkan Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), BATAS, MATA dan lain-lain termasuklah Hizbul Muslimin iaitu antara parti Islam yang terawal. Sedangkan ketika itu Umno sekadar asyik dengan slogan HIDUP MELAYU nya sahaja.

Hakikatnya Umno dan kerabatnya dalam Perikatan dianugerahkan kuasa dalam suasana tiada saingan. Kerana segala saingan yang ada telah berjaya dipatahkan oleh pihak British. Itulah yang cuba dikemukakan oleh Ronnie, suatu fakta yang Khairy boleh dapati kalau dia merujuk kepada tulisan para pengkaji sejarah yang lain selain dari teks sejarah di sekolah-sekolah.

Britishlah yang telah mengisytiharkan darurat pada 20 Jun 1948 atas alasan suasana negara ketika itu tegang dan telah menangkap hampir keseluruhan pimpinan parti-parti yang dianggapnya kiri. Kesemua parti-parti ini kemudiannya diharamkan sehingga tinggallah Umno, MCA dan MIC tanpa saingan untuk memudahkan British mengalihkan kuasa negara Malaya Merdeka kepada mereka.

Ketika itulah juga laungan Hidup Melayu yang dimainkan Umno tiba-tiba ditukar kepada Merdeka.

Tak perlulah Khairy dan Hishamuddin cabar-mencabar sesiapa, kerana demikianlah hakikat dan fakta sejarah yang tidak boleh dipadam atau dirobah oleh sesiapa pun. Upahlah mana-mana professor kangkong untuk bersetuju dengan mereka namun ianya tidak dapat memendamkan apa yang sebenarnya telah berlaku.

Kesimpulannya tiada siapa yang menafikan Almarhum Tunku (yang dipenghujung hayatnya telah diserang dan dibuang oleh Umno sendiri) tegak berdiri dalam sejarah sebagai Bapa Kemerdekaan. Namun sejarah juga membuktikan bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan itu sebenarnya tidak melibatkan Tunku dan Umno sahaja, tetapi banyak pihak lain yang telah menderita berkorban nyawa dan airmata, merengkok dalam penjara semata-mata kerana mahu memerdekakan negara.

Dan dalam bab PKM pula, Ronnie sebenarnya memetik apa yang telah diperakui oleh bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor bahawa pihak British sesungguhnya tidak akan menyerahkan kemerdekaan negara kiranya tiada tekanan dari pihak PKM yang diketuai oleh Chin Peng.

Janganlah mencari publisiti murahan sehingga terpaksa menangguk di air keroh. Saya pasti banyak lagi agenda Melayu yang belum atau gagal dibereskan oleh Pemuda Umno, berilah tumpuan kepada perkara itu, tak perlulah mengemis publisiti murahan seumpama ini.

Dan Khairy pula kalau nak mencabar Kit Siang berdebat di Parlimen, mintalah Pak Lah kosongkan kerusi Kepala Batas terlebih dahulu agar boleh beliau bertanding dan menjadi ahli parlimen, barulah boleh berdebat di Parlimen!

Tak tahulah berapa lama dapur UTUSAN akan terus membara, yang pastinya melalui publisiti ini dapatlah menantu Pak Lah menonjolkan diri kononnya sebagai wira bangsa Melayu (itupun bagi mereka yang boleh percaya).

No comments: