Sunday, September 25, 2005

AADK: Cukupkah dengan membuka pekong sendiri?

Agensi Anti Dadah Kebangsaan ataupun AADK adalah sebuah organisasi di bawah kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Ianya telah ditubuhkan pada 7 Februari 1996 dengan menggabungkan Pasukan Petugas Anti Dadah(PPAD) dan Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah(BRPD).

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bertanggungjawab sebagai urusetia kepada Majlis Dadah Kebangsaan(MDK) dan semua aspek tindakan anti dadah. Misi AADK ialah untuk memerangi ancaman dadah bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas dari dadah.



Oleh itu apabila terbit berita dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai Timbalan Menteri berkenaan yang berang dengan sikap para pegawai AADK Pulau Pinang kerana gagal turun padang ke program anti dadah anjuran Belia 4B Pulau Pinang, berbagai tandatanya dan persoalan timbul?

Kalau saya seorang pengurus syarikat, para pekerja saya ponteng ataupun lalai, saya tidak akan laporkan ke pihak luar kerana ini masalah dalaman syarikat dan perlu ditangani diperingkat dalaman.

Demikian juga kalau saya nakhoda kapal, kiranya kelasi saya curi tulang atau tidak berdisiplin, saya akan tanganinya segera tanpa terjerit-terlolong memaklumkan hal ini sehingga kepengetahuan nakhoda kapal-kapal lain!

Oleh itu memandangkan AADK letaknya di bawah batang hidung Timbalan Menteri berkenaan, sewajarnyalah beliau sendiri memikul tanggungjawab dan tak perlulah menjadi juara membuka pekong sendiri untuk diteropong oleh orang-ramai.

Sebentar tadi Berita RTM melaporkan timbalan menteri yang sama terus merungut kerana sebuah lagi majlis, kali ini di KL pula, juga menghadapi masalah yang sama bilamana agensi berkenaan yang sepatutunya menghantar seorang penceramah telah gagal berbuat demikian.

Nampaknya AADK di bawah Noh Omar semakin pincang, parah dan bermasalah.

Pasukan Perak yang kalah Piala FA semalam, pasti akan membuat post mortem, dimana kesilapan dan kekurangan mereka. Yang menjadi amalan biasanya pertanggungjawaban akan dipikul oleh jurulatih dan pengurus. Ada kalanya jurulatih ataupun pengurus terpaksa memberi laluan kepada orang yang lebih layak dan mahir.

Mungkinkah dalam hal ini Noh Omar juga berada dalam kedudukan yang sama?

No comments: