Kasihan Mawi di seret Ketua Putera Umno
Siapa bilang Umno tak bimbang bila Mawi setuju ke Kelantan?
Terbukti hari ini Pengerusi Putera Umno, yang memiliki latarbelakang serba berwarna-warni itu, terpaksa menyeret Mawi ke PWTC bagi membuktikan yang Mawi kononnya benar-benar menyokong Umno. Dikhabarkan majlis di PWTC itu sepatutnya majlis pengisytiharan Mawi menyertai Putera Umno (sila lihat Harakahdaily), akan tetapi majlis yang dirancangkan itu tidak menjadi sedemikian.
Sebagaimana Azeez pun difahamkan pernah merancang mendapatkan ijazah Phd (yang membawa gelaran Dr. ) sehinggalah beberapa pihak termasuk BLOG ini mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak pernah layak memasuki mana-mana universiti berdasarkan kelayakan akademiknya, lalu cadangan memperolehi Doktor Falsafah secara segera itu telah dibatalkan. (Azeez pernah kononnya mendakwa Universiti Prestoon yang beliau masuk belajar adalah Universiti tertua di Amerika Syarikat, mengikut rekod universiti berkenaan ditubuhkan pada tahun 1994, baru 11 tahun, tua lagi UM)
Mawi muncul dikaca TV hari ini menyatakan:
Saya penyokong setia Pak Lah dalam memerangi musuh nombor satu negara (dadah), memang saya sokong habis-habisan. (Petikan BERNAMA)
Sesungguhnya bukan hanya Mawi malah saya percaya MB Kelantan, orang-orang PAS, orang-orang tidak berparti siapa sahaja memang menyokong Pak Lah selaku PM dalam bab memerangi dadah. Dan tidak sekadar itu termasuklah dalam bab memerangi rasuah, membawa ketelusan dalam kerajaan, membela rakyat termiskin dan berbagai lagi masalah yang melibatkan rakyat dan negara, kita semua bersama Pak Lah.
Kalau sekadar itu sahaja matlamat Azeez, saya percaya jangankan Mawi, Ketua Dewan Pemuda PAS pun boleh mengisytiharkan demikian tanpa perlu dipaksa-paksa!
Tetapi Azeez sebenarnya telah merancang agar Mawi mengisi borang Putera Umno lalu mengisytiharkan dirinya ahli Putera sebagaimana pernah seorang artis wanita dahulu yang mengisytiharkan dirinya ahli Puteri Umno.
Akan tetapi hajat Azeez itu tak kesampaian. Dalam majlis tersebut menurut beberapa wartawan (yang malangnya tak terbit pula di TV) Mawi mengatakan:
Saya tidak berpihak ke mana-mana pihak, saya neutral.
Mengapa mahu dipaksa anak muda ini? PAS sendiri tidak pernah terhegeh-hegeh mempelawa Mawi menyertai parti itu. Tok Guru MB Kelantan umpamanya sekadar mengiktiraf kesungguhan Mawi yang dilihat cenderung kepada budaya hiburan yang tidak bertentangan dengan Islam.
Atas kecenderungan inilah maka Mawi diundang ke Kelantan. Mawi tidak perlu menyertai PAS, cukup sekadar memberikan kesediaan untuk membuat persembahan yang menepati peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Mengapa Azeez begitu ghairah mahu memaksa Mawi menyertai Umno, jika tidak kerana bimbang yang anak muda ini akan nanti terpikat dengan PAS dan terus membawa bersama para peminatnya naik bulan!
Biarlah Mawi membuat keputusannya sendiri. (Tak payah paksa-paksalah Azeez, jangan bawa budaya amalan anda itu dalam kes melibatkan Mawi ni). Sebelum ini pun beliau pernah menegaskan tidak menyertai mana-mana parti, siapa sahaja undang, beliau akan pergi. Biarlah dia bebas memutuskan halnya sendiri.
Siapa yang menonton siaran di TV tadi dengan jelas dapat melihat betapa Azeez cuba mempengaruhi Mawi ketika Mawi membuat kenyataan dengan cara berbisik-bisik di sebelahnya. Sehingga Mawi diajukan persoalan darihal kecenderungan politik ayahnya, sampai begitu sekali.
Janganlah sampai memeras dan mengugut untuk mendapatkan kepuasan politik, itu amalan zaman Hang Tuah.
Ayah dan keluarga Mawi sebagaimana Mawi sendiri berhak menyokong siapa sahaja yang mereka mahu. Dan mereka tidak perlu menzahirkan pada seiapa pun, lebih-lebih lagi Azeez. Cukuplah poster Tuan Guru yang membisu di dinding rumah di FELDA Taib Andak sebagai saksi bagi mereka yang berakal.
No comments:
Post a Comment