Lanjutan tahanan ISA: Jangan cenderung kepada si zalim
Saya teringat dalam satu majlis dialog tertutup di Subang Jaya yang dihadiri oleh Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz bin Nik Mat pada tahun 2001 lalu. Ketika itu anakandanya Nik Adli baru sahaja menjadi mangsa ditahan di bawah akta zalim ISA.
Seorang muslimat telah bertanya apakah reaksi beliau sebagai seorang bapa apabila mendapat khabar yang anaknya itu ditahan di bawah ISA.
Allah bersama-sama kamu semua
Kata Tuan Guru ketika menerima panggilan dari pihak polis, beliau baru sahaja selesai memimpin sebuah majlis kuliah. Kebetulan katanya tajuk kuliah beliau pada hari itu adalah redha. Lalu katanya kepada pegawai yang menelefonnya insyallah beliau redha dengan penahanan itu sebagai sebahagian dari ujian Allah swt terhadap beliau dan keluarganya.
Namun katanya harus diberi ingat kepada semua pihak yang bertanggungjawab samada menteri ataupun orang politik ataupun sesiapa sahaja, sebagai seorang bapa beliau akan menuntut haknya di depan Allah swt di akhirat kelak. Oleh kerana beliau dan keluarganya jelas dizalimi dalam hal ini, maka bila berhadapan dengan Allah swt kelak beliau akan memohon pengadilan, kalau perlu dipijak dan diinjak muka mereka yang bertanggugjawab dan tali barutnya sekali akan beliau lakukan dihadapan Kadhi Rabbul Jalil.
Ramai yang hadir ketika itu sebak dan turut bersama bersama Tuan Guru diatas beban yang dipikulkan ke atas beliau dan keluarganya. Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Hari ini akhbar tempatan melaporkan Nik Adli dan rakan-rakan dilanjutkan tempoh tahanan mereka masing-masing untuk 2 tahun lagi setelah merengkok menjalani tahanan tanpa bicara selama 4 tahun. 2 tahun lagi mereka akan dipisahkan dari kaum keluarga yang tersayang, 2 tahun lagi mereka akan dikurung, 2 tahun lagi akan tersiksa hidup mereka semata-mata kerana kerajaan yang memerintah merasakan yang kehadiran mereka kononnya mengancam keselamatan negara.
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
(Surah Hud:113)
Hadis riwayat Ibnu Umar ra.:
Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat
No comments:
Post a Comment