Thursday, September 15, 2005

Berbeza pendapat jangan sampai membawa rebah

Saya menerima banyak email dan sms hari ini berkenaan satu kenyataan akhbar yang saya kira sedang hangat diperbincangkan oleh banyak pihak termasuklah kawan dan lawan.

Berita yang dimaksudkan adalah kenyataan akhbar Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib yang dikatakan membantah tindakan kerajaan Pas Kelantan menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi mengadakan persembahan di negeri itu.

Ramai yang keliru, ramai juga yang tertanya-tanya, bagaimanakah PAS sebagai sebuah parti politik Islam sebenarnya beroperasi?



Menteri Besarnya yang bertaraf Mursyidul Am telah mengumumkan penganjuran majlis berkenaan dengan persetujuan ahli-ahli EXCO nya. Majlis tersebut kemudiannya menerima endorsement ataupun persetujuan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam beberapa siri ceramah rasminya.

Tiba-tiba Ketua Dewan Ulamaknya berkata Dewan Ulamak tidak dapat menerima malah membantah usaha kerajaan negeri Kelantan itu.

Sebelum ini kita mendengar Dewan Muslimat PAS bersetuju dengan langkah kerajaan Kelantan dan sokongan turut diterima dari Ketua Penerangan Pusat dan kebanyakan pimpinan Pusat yang lain. Jadi apakah yang sebenarnya telah berlaku?

Orang ramai bertanya, apakah sebenarnya pendirian PAS sekarang?

Isunya di sini adalah perbezaan pandangan, namun apakah kesudahannya?

Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

Insya Allah selamat, selagi Islam ni dikawal oleh ulamak sama ada yang berpakaian jubah atau seluar biasa, selagi dia berjiwa ulama, Insya Allah aktiviti manusia itu akan selamat.

Sementara itu di Subang Jaya sebentar tadi ketika memberikan respon terhadap isu yang sama Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Naib Presiden PAS Dato Dr Hassan Ali telah berkata bahawa PAS Selangor menganggap bahawa perjuangan PAS ini adalah berpandukan dua dasar yang kukuh iaitu pertama dakwah dan kedua politik.

Oleh itu pada pandangan PAS negeri, rasional Tok Guru Mursyidul Am dalam isu ini sungguh bertepatan dan berpadanan sangat dengan kedua-dua dasar tersebut. Tok Guru menjemput Mawi ke Kelantan kerana ianya memiliki implikasi politik yang positif dan sebagai kaedah dakwah terhadap anak-anak muda di Kelantan. Kelantan telah dan sedang cuba menghidupkan budaya akhlak konsert yang berbeza dari amalan di negeri-negeri lain lalu usaha ini sewajarnya disokong oleh semua pihak.

Ditanya oleh pemberita berkenaan kenyataan Ustaz Harun dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini Dr Hassan mengatakan bahawa itu adalah bukti betapa kebebasan pandangan diraikan dalam PAS.

Dalam kenyataan yang berbeza Ketua Dewan Pemuda PAS pula dalam Malaysiakini berkata:

This is parallel to our stand on embracing the youth. We must love them and not isolate them. Involving alternative artistes would be useful to such attempts. I always look forward to pro-active approaches by PAS.

(Langkah Kelantan) ini adalah bertepatan dengan usaha kami medekati golongan remaja. Kita mesti kashi kepada mereka dan jangan sekali-kali mengasingkan diri dari mereka. Mendapatkan khidmat artis alternative dalam usaha ini dikira sangat penting. Saya sentiasa mengalu-alukan sebarang langkah pro aktif PAS dalam hal ini.

Dan terbaru Harakahdaily melaporkan bahawa:

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yakin Konsert Tautan Kasih yang bakal dipersembahkan di Kelantan nanti berlainan dengan konsert-konsert hiburan yang dianjurkan di tempat lain. Lagipun, ia dibuat berdasarkan undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri Kelantan yang ada iaitu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Demikianlah concern nya semua pihak dalam hal ini. Namun jika pimpinan tertinggi telah membuat keputusannya maka adab berjemaah menuntut kita agar akur dan patuh.
Kita boleh berbeza pandangan tetapi akhirnya cuma satu keputusan sahaja yang patut kita ambil, patuhi dan zahirkan.

Dalam suasana genting ini teringat saya kepada ucapan dasar Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pada Muktamar PAS ke 47 tahun 2001 dahulu:

Kita juga harus jelas apakah perkara yang tetap dan prinsip yang tidak mengalami perubahan walau apa pun pergolakan dunia ini. Inilah perkara-perkara tetap atau at thawabit yang perlu dipelihara dengan segala sifat cemburunya. Secara dasarnya ia menyinggung persoalan aqidah, syariat dan moral. Adapun dari sudut perlara-perkara yang yang boleh berubah mengikut peredaran zaman dan tamaddun, maka ulamak harus menunjukkan bimbingan yang bijak atas perkara –perkara yang berubah ini (al muthaghayirat). Kita tidak perlu syadidi (keras) tetapi sempit dalam perkara yang tidak menuntut sikap yang sedemikian khasnya dalam suasana negara yang bermasyarakat majmuk dan dalam perhubungan praktik antara amalan budaya dan agama.

Ucapan dasar bertajuk Menyanggah Serangan Menjana Kemenangan ini untuk rekod telah dipersetujui dan diterima sebulat suara oleh para perwakilan muktamar tahun itu.

PAS perlu menangani isu ini dengan penuh hikmah dan jangan mudah gelabah. Kewibawaan dan kredibiliti Mursyidul Am, Presiden dan Timbalan Presiden yang ketiga-tiganya ulamak belaka perlulah dipelihara dan dihormati.

Masyarakat mengharapkan PAS menjadi penyelamat ummah, membawa formula penyelesaian kepada berbagai permasalahan ummah dan bukan sebaliknya. Pandangan yang berbeza perlulah disuarakan dalam forum dalaman namun akhirnya apabila pimpinan tertinggi telah membuat keputusan dan menetapkan sikap maka siapa sahaja samada yang setuju ataupun yang tidak perlulah akur dan taat.

Kita tidak mampu melihat bumi Islam Kelantan gugur dari genggaman setelah kita lalai di Terengganu. Fikirlah.

No comments: