Kenaikan harga minyak:
Langkah awal kerajaan yang belum meyakinkan
Sebagaimana yang dijanjikan Pak Lah mesyuarat kabinet hari ini akan membincangkan langkah persediaan bagi menghadapi impak kenaikan harga minyak mentah dunia khusus terhadap rakyat jelata. Sebelum ini kerajaan telah pun menaikkan harga minyak petrol untuk tahun ini sahaja sebanyak dua kali iaitu kenaikan sebanyak RM0.20 sen.
Menurut BERNAMA sebanyak 5 langkah serta-merta akan diperkenalkan oleh pihak kerajaan iaitu:
1. harga petrol, diesel dan gas masak tidak akan dinaikkan lagi sehingga ke penghujung tahun ini
2. cukai jalan bagi kenderaan komersial dan persendirian diturunkan serta-merta. Kenderaan komersial turun 25 peratus. Kenderaan persendirian bawah 1000 cc hanya membayar cukai jalan RM30.00, kenderaan 1000 ke 1600 cc turun 50 peratus, motorsikal 151 ke 250 cc juga turun 50 peratus
3. kadar tol tidak dinaikkan bagi tahun ini dan tahun hadapan
4. kadar bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat kepada golongan tua, miskin dan kanak-kanak yang tidak bernasib baik akan dinaikkan (angka kenaikan tidak disebutkan)
5. Anggota penguatkuasa akan memastikan agar para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan
Kita mengalu-alukan langkah-langkah di atas walaupun berpendapat bahawa cukai jalan bagi kenderaan persendirian yang berkapasiti 1600 cc ke bawah sepatutnya dihapuskan sahaja.
Ini kerana harga petrol telah pun dinaikkan sebanyak 2 kali bagi tahun ini sahaja manakala kadar tol juga sudah cukup membebankan para pengguna. Benar penghapusan cukai jalan ini bermakna kerajaan menanggung kerugian yang besar, akan tetapi langkah boleh diambil dengan mengalihkan bebanan ini kepada syarikat-syarikat koperat besar yang kini menanggung laba dan untung besar hasil dari penat-lelah rakyat.
Saya pernah tulis dalam BLOG ini sebelumnya, mengapa syarikat yang terlibat dalam industri maksiat contohnya perjudian dan pengeluaran arak dan rokok tidak dijadikan mangsa menggantikan rakyat jelata.
Mereka ini mencatat keuntungan berlipat kali ganda dan merupakan syarikat korporat yang termewah di Bursa Malaysia.
Kerajaan perlu mengambil kira perkara ini secara serius dan barangkali mengenakan seberat-berat cukai ke atas mereka dalam Bajet 2006 yang dijangka dibentangkan pada 30 September ini.
Langkah-langkah awal ini walaupun nampaknya positif namun belum cukup memadai. Harga minyak tidak akan naik sehingga akhir tahun ini, iaitu kira-kira 3 bulan sahaja lagi. Apa akan berlaku seterusnya pada 2006 nanti? Rakyat akan terus dibelenggu kebimbangan dan keyakinan mereka akan terus menurun sehinggalah sesuatu yang benar-benar kukuh dapat mereka lihat dan rasai.
No comments:
Post a Comment