Jangan izinkan Islam dipersenda
Neil Armstrong, manusia pertama yang menjejakkan kakinya di bulan pada tahun 1969 dulu kini berada di Kuala Lumpur. Beliau menjadi tetamu di Global Leadership Forum yang diadakan di sini.
Apa yang saya ingin catatkan berkenaan Armstrong ini adalah satu khabar angina yang telah bertiup kencang satu ketika dahulu. Kononnya ketika berada di bulan Armstrong telah mendengar suatu suara yang nyaring. Kemudian apabila kembali ke bumi dan dalam satu lawatannya ke Timur Tengah Armstrong terdengar suara muezzin menyampaikan azan. Lalu beliau mengakui bahawa suara yang suara yang beliau dengar di bulan itu adalah sebenarnya suara yang mengumandangkan azan. Dan kononnya lagi Armstrong telah memeluk Islam.
Cerita ini paling hangat kalau tak silap saya disampaikan oleh kawan-kawan kita dari jemaah tabligh. Dan umat Islam dengan mudah menerimanya sebagai betul.
Di KL semalam Armstrong ditanya berkenaan perkara ini dan akhbar THE STAR melaporkan:
Armstrong, 75 also denied he had heard the Muslim call to prayer on the moon and had converted to Islam.
Armstrong, 75 juga menafikan yang beliau mendengar suara azan dibulan lalu telah memeluk Islam.
Pengajarannya: umat Islam jangan mudah terpengaruh atau percaya dengan khabar berita yang luar biasa seumpama ini. Seelok-eloknya kita teliti, kaji dan buktikan terlebih dahulu. Cukuplah kita dengan al Quran sebagai mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada Rasulullah saw sebagai pedoman dan pembimbing kita, yang relevan dan sesuai untuk sepanjang zaman.
Baru-baru ini ada pula kononnya rakaman suara dari perut bumi yang diedarkan melalui internet. Janganlah kita terperangkap lagi.
Yang penting bagi kita adalah untuk menjunjung dan mendukung Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw kepada kita. Perkara-perkara pelik dan luarbiasa biarlah berlaku, tak perlu dijadikan hujah untuk meyakinkan kita, bimbang kalau nanti dibuktikan palsu maka kita yang akhirnya tersepit.
Cukuplah Ayah Pin dan kaum kerabatnya yang kufur itu berseronok dengan perkara-perkara ajaib. Macam dalam THE STAR hari ini liputan sebanyak satu mukasurat penuh diberikan tentang kejadian ajaib yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariaman di Puchong, Selangor. Seekor ular tedung albino kononnya muncul di Kuil tersebut dan kini melingkar disekitar salah satu berhala di sana.
Bagi kita umat Islam, Al Quran dan Hadis lah panduan kita. Allah swt berfirman dalam surah Al Aaraf: 188
Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman
Dalam hal ini saya teringat hujah Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang di DUN Terengganu pada tahun 80an dahulu. Ketika itu kerajaan negeri pimpinan Wan Mokhtar menggunakan satu insiden kelab/surau PAS dipanah petir sebagai bukit Allah swt tidak meredhai perjuangan PAS.
Kata Tuan Guru (lebih kurang seingat saya) kalaulah hujah sedemikian mahu digunakan maka bermakna Allah redha kepada segala gereja dan kuil yang tidak pun dipanah petir.
Oleh itu biarlah kita berhati-hati jangan sampai agama ini nanti dipersendakan orang.
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).
(An Nisaa: 83)
No comments:
Post a Comment