Tuesday, September 20, 2005

Bahana menganugerahkan majoriti besar pada BN

Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat ke 3 Penggal ke 2 Parlimen ke 11 bermula semalam. Namun apa yang berlaku dalam dewan tidak banyak diketahui oleh rakyat di luar oleh kerana kerajaan Malaysia enggan menyiarkan secara lansgung persidangan tersebut walaupun negara-negara lain termasuklah Singapura menyiarkan secara langsung persidangan dewan mereka.



Dalam hal ini kita berkokok dan mendabik dada dipentas antarabangsa kononnya ghairah mahu menjadi negara maju (Selangor kononnya dah pun capai status itu tahun ini) akan tetapi dari segi amalannya khusus berhubung membuka persidangan badan perundangan negara yang tertinggi kepada orang-ramai, kita tak banyak berbeza dengan negara dunia ketiga dan negara mundur yang lain.

Adapun apa sahaja berita dari Parlimen maka kita terpaksa mendengar dari mulut ataupun kacamata parti pemerintah iaitu apabila ianya disiarkan oleh TV ataupun akhbar-akbar perdana yang rata-rata dimiliki parti pemerintah atau di bawah kawalan mereka. Demikianlah bebas dan meredekanya Malaysia sejak 48 tahun lalu.

Di Malaysia hari ini Parlimennya condong memihak kepada parti pemerintah sehinggakan majoriti itu acapkali dieksploitasi untuk menutup ruang keterbukaan ataupun tranparensi. Sering dengan majoriti yang besar dan berlebihan itu BN boleh melindungi dirinya dari sebarang penyelewengan, penyiasatan ataupun tindakan yang dikemukakan oleh parti-parti pembangkang.

Dalam Dewan Rakyat hari ini dari 219 kerusi, BN memiliki 199 ataupun 91 peratus kerusi dan selebihnya iaitu 19 milik parti-parti pembangkang dan 1 kerusi Bebas.

Inilah untung ataupun ruginya kita (tertakluk kepada kacamata apa yang kita gunakan). Bermakna apa sahaja yang dikemukakan oleh parti pemerintah di Parlimen, akan didebatkan namun akhirnya suka ataupun tidak akan terus sahaja diluluskan kerana keupayaan parti bukan kerajaan yang terlalu lemah itu tidak akan berdaya menahan asakkan mereka.

Parti pembangkang sekadar boleh bersuara, walaupun pada hakikatnya apa yang dikemukakannya mereka mungkin bernas, tepat ataupun betul, namun kiranya tidak dipersetujui oleh majoriti besar tadi kaca tetap kaca walaupun hakikatnya ia permata.

No comments: